Friday 10 December 2021

Dato’ Dr. Mohd Noordin Bin Haji Keling

 

27336891_10155359233686295_7345099170418244522_n


Latar Belakang

Dato’ Dr. Mohd Noordin Bin Haji Keling dilahirkan pada 15 Jun 1926 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan Darul Khusus. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Ann Salmiah Binti Abdul Majeed dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua anak mereka berjaya melanjut pelajran hingga ke menara gading dan telah mendapatkan kelulusan di dalam bidang Undang-undang.


Latar Belakang Pendidikan

Pendidikan awal Dato’ Dr. Mohd. Noordin bermula di Sekolah Melayu Mersing, Johor Darul Takzim pada tahun 1932 sehingga 1934 dan bertukar sekolah ketika bapanya berkhidmat dengan Kerajaan pada tahun 1935 sehingga 1939  di sekolah Inggeris Kerajaan Segamat. Setelah bapanya bersara pada tahun 1939, beliau memasuki Sekolah Tuanku Muhammad pada bulan Mac 1939 sehingga lulus Darjah Lapan pada akhir tahun 1941.

Minatnya dalam bidang sukan membolehkan beliau dipilih untuk mewakili sekolah dan maktab dalam permainan hoki dan memain golf semenjak tahun 1955 dan ia merupakan hobi beliau sehingga kini, dimana beliau menjadi ahli Kelab Golf di Raja bertempat di Lake Club dan Turf Club, Selangor, Kuala Lumpur.


Pada tahun September 1945, belaiu telah memasuki Sekolah Tuanku Muhammad dan berjaya lulus di dalam peperiksaan Senior Cambridge pada akhir tahun 1946. Dalam bulan Mei 1947, belaiu bertolak ke Calcutta untuk melanjutkan perlajarannya dalam bidang Ilmu Haiwan. Sekembalinya ke tanah air pada bulan April 1950, beliau berkhidmat di Jabatan Haiwan Johor Darul Takzim. Minatnya yang mendalam untuk membaiki kerjayanya telah membuahkan kejayaan dengan beliau diterima masuk University of London untuk mengikuti kursus Ijazah selama lima tahun dibawah biasiswa Kerajaan Persekutuan. Dato’ Dr. Noordin juga telah mengikuti kursus Ijazah Lanjutan di University of Edinburgh, Scotland dan University of Toronto, Canada. 


Kerjaya

Pada masa pemerintahan Jepun, Dato’ Dr. Noordin telah berkhidmat dengan Jabatan Haiwan selama dua tahun. Dari masa ke semasa, beliau telah dinaikkan pangkat dalam Perkhidmatan Haiwan sehinggalah menjadi Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ternakan Negara sehingga pembubaran badan tersebut. Beliau juga pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Tingkatan Tertinggi C mulai bulan Oktober 1973.


Pada tahun 1977, beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tetap bagi kelayakan Sains dan seterusnya menjadi Ahli Majlis Universiti Putra Malaysia. Dalam persaraanya, Dato’ Dr. Mohd Noordin menjadi Pengarah dua buah syarikat swasta, Naib Yang Di Pertua Badan Kebajikan Anak-anak Negeri Sembilan di Wilayah Persekutuan, Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Pesatuan Zaaba. Dari tahun 1988 sehingga 1993 menjadi Setiausaha Kehormat Persatuan Di Raja Asia Bahagian Malaysia, (MBRAS), tetapi kini menjadi ahli sahaja. Bagi menentukan bahawa beliau tidak ketinggalan dalam bidang pelajaran, beliau telah mengikuti kursus dari University of London sebagai penuntut luar dalam bidang Undang-Undang dan telah mendapat kelulusan LLB( Hons.).


Karya

Kebanyakan hasil penerbitan Dato’ Dr. Mohd. Noordin Hj. Keling adalah mengenai industri ternakan, haiwan, penyakit haiwan dan sebagainya. Ini telah dimuatkan dalam The Bulletin terbitan Kementerian Pertanian Malaysia, The Medical Journal of Malaysia dan Bulletin of Public Health Society dimana beliau merupakan pengarang bersama, kecuali Rabies in Malaysia dalam Bulletin of Public Health Society; Vol.8 1974 adalah hasil penulisannya secara individu. Beliau juga menulis kertas kerja yang dibentangkan di dalam simposium/persidangan.


Penglibatan dan Sumbangan.

Sebagai seorang bekas pelajar Sekolah Tuanku Muhammad, Dato’ Dr. Mohd. Noordin sentiasa mendampingi sekolahnya dalam banyak hal, samada dari segi kemajuan pelajaran sekolah atau menghulurkan derma demi kebaikan pelajar sekolah tersebut.

Sebagai seorang ahli profesional, beliau banyak menganggotai jawatnkuasa yang berkaitan dengan pendidikan dan kerjayanya. Kegiatannya dalam bidang politik dapat dilihat melalui penglibatannya sebagai Setiausaha Persatuan Pemuda UMNO Kuala Pilah pada bulan Oktober 1945 sehingga Mei 1947. Setelah itu, beliau menjadi ahli UMNO Cawangan Ibu Kota semenjak penubuhannya pada tahun 1971. Beliau juga menganggotai beberapa buah pertubuhan profesional dan persatuan, antaranya selaku Pengerusi, Pengetua Asas, Setiausaha dan sebagai ahli sahaja.

Atas jasa-jasa beliau kepada masyarakat dan negara, Dato’ Dr. Mohd Noordin dikurniakan Bintang Kemahkotaan Al-Sultan Kelantan (1961). Pingat Peringatan Malaysia Perak (1963), Pingat Seri Mahkota Kelantan (1963), Kesatria Mangku Negara (1971), Pingat Pekerti Terpilih(1976), Johan Mangku Negara (1979) dan Dato’ Setia Negeri Sembilan (1980).

Dato’ Dr. Mohd. Noordin Hj. Keling telah bermurah hati menyumabangkan kepada Perpustakaan Tun Seri Lanang sebanyak 281 judul bahan yang merangkumi 249 judul buku dalam Bahasa Inggeris, 18 judul bahan dalam Bahasa Melayu dan 14 naskah jurnal. Bahan-bahan dari koleksi peribadi beliau ini merangkumi buku-buku mengenai sians politik, undang-undang, Pengajian Islam, Kemasyarakatan, Kesusateraan, Sukan dan Rekreasi yang diterbitkan di dalam dan luar negara.