Hikayat



Hikayat Isma Yatim (MS 19) - (5hb Sya’ban 1262H)

Merupakan sebuah hikayat lama Melayu. Kandungan ini menunjukkan bahawa ia merupakan kesusteraan istana, yang bertujuan untuk bacaan golongan istana, kerana jalan ceritanya banyak membayangkan hal ehwal penghidupan di dalam istana, demikian juga menceritakan sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pegawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja. Dari sebab itu, hikayat ini bolehlah juga dijadikan sebagai suatu contoh bagi merupakan bagaimana keadaan bentuk coraknya hasil-hasil sastera ciptaan zaman Kerajaan Melayu Melaka yang memberi penekanan kepada sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pegawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja.

Megat Nira, mendapat anak yang diberi nama Isma Yatim. Isma Yatim telah menunjukkan kepandaiannya sejak kecil lagi. Mula berkhidmat di istana sebagai pengurus permaidani, mengarang gurindam dan mempersembahkan hikayat-hikayat yang menyenangkan, sehingga dijadikan Biduanda.





Hikayat usul Majlis Perdana Halim (MS 20) - (Hadiah daripada Syed Alwee Alkaf pada 21 Disember 1975)

Mengesahkan Putera Sultan Perdana Agong bernama Usul Majlis yang sejak dari kecil telah menggemari pantun dan menyumpit burung. Usul majlis gemar memakai pakaian yang indah-indah. Seisi istana tercengang melihat kehebatan Usul Majlis.

Tuan Puteri Kembar Cahaya juga memakai pakaian songkit tanah puteh bertindikan emas permata, berantai mayam mengurai tujuh belit berkeroncong, bertatah intan, bercincin manis di jari, tuan puteri seperti bulan dipagar bintang.

Setelah keduanya mengadap bonda Raja Mangkubumi tidaklah terhingga gembirannya keduanya melihatkan gilang gemilang cahaya mukanya.





Ini Kahwin Dengan Puteri Jinjana (MS 21)

Naskhah yang menggambarkan tentang kehidupan golongan diraja yang sarat dengan aspek sosial dan budaya.  Baginda Usul Majlis Perdana Halim merupakan watak utama dalam penceritaan ini selain Permaisuri Beranta Nurhalam, Puteri Jinjana dan Shah Alam Besar. 

Antara yang ditemui dalam naskhah ini seperti kepercayaan terhadap kewujudan makhluk halus, pengamalan unsur magis dalam kalangan golongan diraja, penggunaan sirih, perubatan tradisional dan institusi perkahwinan. 





Ini Perang Maulana Bongsu |(MS 22)

Mengisahkan tentang hubungan kekeluargaan dan kehidupan seharian dalam kalangan kerabat Diraja. Golongan tersebut termasuklah permaisuri dan Raja, Bonda, Putera Muda Kedua, Khalifah Muda. Pada permulaannya, ia menceritakan tentang keadaan permaisuri yang sakit dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh suaminya. 




Ini Permaisuri Merajuk Suaminya Kahwin (MS 23) -  Dihadiahkan oleh Syed Alwee Alkaff pada 21 Dis 1975

Kisah mengenai Baginda Usul Majlis dan isterinya, Puteri Jinjang.

Permulaan manuskrip ini mengisahkan dengan kisah Baginda Usul Majlis Perdana Halam yang beristerikan puteri jinjang kembar sekerab. Suatu hari, isteri baginda Usul Majlis bersama-sama permaisuri  Nur Halam yang sedang bermain membal lalu datang seorang dayang untuk meminjam siti keempat dan bonda dang dewi untuk menyanyi sekali kerana diarahkan oleh Puteri Jinjang. Setelah mendapat keizinan permaisuri, dang dewi dan siti keempat pun pergi menyembah Puteri Jinjang. Kemudian, Puteri Jinjang berhasrat untuk menjadikan siti keempat penghulu segala bidawan. Namun, ditolak oleh siti keempat dan disokong oleh bondanya dang dewi. Puteri Jinjang murka lalu menampar Dang Dewi. Perkara ini diketahui oleh suaminya Baginda Usul Majlis yang melihat isterinya berkelakuan seperti orang gila. Baginda bertemu dengan Puteri Jinjang lalu berpegangan tangan dan baginda berkata sesuatu yang menyebabkan puteri murka dan menyuruh suaminya pergi.




Ini Wasul Sakit (MS 25) - Dihadiahkan oleh Syed Alwee Alkaff pada 21 Dis 1975

Mengisahkan Raja Pertapaan yang ditimpa sakit dan permaisuriya yang berduka atas kesakitan yang dialami raja tersebut. Rakyat yang turut berduka bersimpati dengan permaisuri telah bersama mencari penawar untuk kesembuhan raja. 





Permainan Indera Nur Kehidupan (MS 26) - Dihadiahkan oleh Syed Alwee Alkaf pada 21 Dis 1975

Kisah ini menceritakan tentang kehidupan Sultan Paduka Raja Mahkota Muda bersama keluarganya di saat suka dan duka, jatuh bangun terutamanya dalam membesarkan putera kesayangan mereka. Pada awalnya, Raja Mahkota Muda keluar dari Gunung Bandarang dan apabila baginda pulang ke istana, baginda mendapati isterinya, Permaisuri Indera Nur hamil. Sebagai tanda kesyukuran, Raja Mahkota mengadakan majlis menjamu makan dan  minum dengan menjemput isteri raja-raja menteri dan orang kaya. Akhirnya permaisuri melahirkan seorang putera yang bernama Merju Kemala. Di pertengahan kisah ini, permaisuri dihukum rejam oleh Raja Mahkota lalu anaknya, Merju Kemala datang menenangkan ayahandanya dengan memeluknya. Manakala di pengakhiran kisah ia menceritakan tentang putera raja yang telah dewasa dititahkan untuk melihat negeri jajahan di gunung yang terdapat banyak emas urai sehingga sampai ke lembah gunung. Lalu Putera Mahkota menetap di sana sehingga tujuh bulan lamanya. 




Kehidupan Maha Bisnu Raja Halam (MS 27) - Dihadiahkan oleh Syed Alwee Alkaf pada 21 Dis 1975

Permulaan manuskrip Hikayat Maha Bisnu Raja Halam mengisahkan tentang baginda disumpah oleh Dewa lalu keluar merajuk meninggalkan ibu bapa baginda. Raja Halam meninggalkan negeri bersama tiga hamba dengan perasaan pilu dan hiba. Baginda pergi masuk ke hutan rimba mengikut arah langkah kaki baginda. Di samping itu, diselitkan juga kisah seorang Puteri Jauhar Mahnikam yang mempunyai rupa paras yang cantik walaupun berpakaian seperti lelaki sehingga dapat menawan hati bonda Raja Halam. Disebabkan hal ini, terdapat seorang puteri yang bernama Puteri Mengindar Kembar Ajaib yang menangis kerana mengetahui suaminya hendak beristeri lagi. Hatinya bertambah sakit lagi apabila anaknya Embung Gunung memberitahu khabar tentang Puteri Jauhar Mahnikam adalah seorang perempuan. Secara ringkasnya, manuskrip Hikayat Maha Bisnu Raja Halam mempunyai kepelbagaian jalan cerita dan watak-watak di istana yang menarik dan unik.





Hikayat Mesa Prabu Jaya  (MS 29 ) 

Naskah ini dalam bahasa jawa yang ditukarkan ke Melayu.  Hikayat Misa Perbu Jaya merupakan salah satu daripada kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu sekitar 1904 dan menunjukkan pengaruh oleh corak kesusasteraan Hindu-Jawa.

Prabu Indrajaya turun ke bumi dan menjadi raja di Kuripan. Ia berputra empat orang, masing-masing kemudian menjadi raja di Kuripan (Jenggala), Daha (Kediri), Gegelang (Jangmanang), dan Singasari. Teks dilanjutkan dengan kisah hilangnya Candrakirana dari kerajaan.

No comments:

Post a Comment