Wednesday 14 December 2022

Manusrip Melayu: Hukum Gadaian dan Hutang Piutang Kerajaan Acheh

Ilmu Pustaka Watan Menerusi Manusrip Melayu: Hukum Gadaian (Gala) dan Hutang Piutang Kerajaan Acheh

Manuskrip 6 ini mengandungi peraturan bergadai dan berhutang yang perlu dipatuhi oleh rakyat Acheh. Peraturan yang ditetapkan adalah bagi menjaga kemaslahatan dan mengelak berlaku unsur riba di kalangan rakyat Acheh.



Fasal hukum gala ini adalah berkaitan pajak gadai ampas atau huma serta pakaian yang diperbuat daripada emas. Bagi pemilik kebun atau sawah yang mengadai tanah yang ada hasil buah-buahan atau padi, tetapi mereka berhasrat ingin mengambil hasil tanaman tersebut. Kerajaan Acheh menetapkan bahawa mereka boleh mengambil hasil tersebut sebanyak 10 tahil sahaja (dikirakan harga tanaman). Namun sekiranya mereka ingin mengambil lebih dari kadar yang ditetapkan, mereka dikehendaki mengembalikan tanah tersebut kepada penerima gadaian. Sekiranya mereka enggan, hakim berkuasa mengembalikan tanah tersebut kepada penerima gadaian. Jika mereka melanggar perintah hakim, mereka akan dikurung selama 3 bulan.


Ini berbeza pula dengan hukum gala pakaian emas, pemilik berhak menebus kembali pakaian emas tersebut. Sekiranya didapati berlaku kehilangan atau kecurian. Penerima gadaian perlu membayar ganti rugi harga penuh pakaian tersebut atau emas yang sudah menjadi pakaian kepada pemiliknya.

Bagi permasalahan berkaitan hutang pula, sekiranya seseorang itu berhutang semasa mata wang rendah kemudian berlaku kenaikan mata wang, pemiutang perlu menjelaskan hutang dengan kadar mata wang asal iaitu semasa nilai mata wang rendah. Contoh: pinjam 10 tahil kemudian berlaku perubahan pimpinan pemerintah /bertukar kerajaan, matawang menjadi mahal iaitu 100 tahil, pemiutang hanya perlu membayar semula sebanyak 10 tahil sahaja. 

Fasal bab hukum yang digariskan diatas adalah sebagai usaha menerapkan dalam diri rakyat Acheh bahawa mereka bangsa yang kuat beragama berpegang teguh zahir batin hukum adat syariah dan syarak Islam kerajaan Acheh.

Nota: Intisari ini adalah hasil transliterasi daripada Manuskrip 6:  Hukum Gadai (Gala) Hukum Hutang Piutang dan Penjelasannya sehingga Tidak Menyebabkan Riba(Larangan) dan Susunan Menteri-Menteri Kerajaan Acheh Darussalam.Manuskrip ini ditempatkan di Unit Arkib & Koleksi Khas, PTSL

Glosari / Daftar Kata ;
Gala ; Gadai
Ampas ; Kebun
Huma ; Sawah
Menggala ; Menggadai

No comments:

Post a Comment