Wednesday 27 April 2022

Datuk Zainal Abidin Wahid





LATAR BELAKANG

Allahyarham Datuk Zainal Abidin merupakan tokoh sejarawan negara yang banyak memberi sumbangan dalam bidang Sejarah. Beliau dilahirkan pada 14 Mei 1933 dan merupakan seorang pejuang Bahasa Melayu, Ahli Jawatankuasa Pengasas UKM dan tokoh sejarah tanah air. Anak jati Teluk Intan Perak ini bersama-sama beberapa orang rakan seperjuangannya iaitu Prof. Tengku Shamsul Baharin, Prof. Abu Bakar Hamid dan Dr. Syed Hussein Ali serta beberapa orang lagi telah bersama-sama berjuang dalam merencanakan penubuhan UKM pada tahun 1967. 

Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat cintakan dan memperjuangkan Bahasa melayu kerana pada ketika itu tiada universiti tempatan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengajaran dan pembelajaran. Justeru kesungguhannya itu memberikan motivasi kepada beliau dan rakan-rakannya untuk menubuhkan sebuat pusat pengajian tinggi awam yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar yang kini dikenali Universiti Kebangsaan Malaysia. Prof Datuk Zainal Abidin merupakan ahli Jawatankuasa Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Allahyarham Zainal Abidin menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun akibat jangkitan paru-paru kerana menghidap sakit tibi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.

Datuk (Dr. Zainal Abidin Abdul Wahid bersama isteri, Datin Badariah Abdul Hamid 
dan dua cucu.
PENDIDIKAN 

Pendidikannya bermula di sekolah melayu Teluk Intan iaitu dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson, kemudian bersekolah di Sekolah Anglo-Chinese Teluk Anson dan menerima tawaran belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemudian beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti of Queensland, Australia dalam bidang sejarah. Ketika di University of London, beliau pernah mengikuti kursus pasca sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa di London School of Economic selama setahun pada tahun 1958 hingga 1959.
Allahyarham Zainal Abidin menitikkan pendekatan dan isi kandungan tempatan dan dunia dalam bidang pengajian sejarah. Selain daripada itu, beliau juga aktif dalam persatuan sejarah, syarahan umum, seminar, penerbitan jurnal dan aktif menjadi pakar rujuk oleh institusi di dalam dan di luar negara.


KERJAYA 

Sebelum beliau berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kemudian, pada tahun 1962, beliau menjadi pensyarah subjek sejarah di Universiti Malaya (UM). Setelah penubuhan UKM, pada tahun 1970 hingga 1991, beliau dilantik sebagai professor dan Ketua Jabatan Sejarah. Sepanjang dua dekad, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Jabatan Sejarah di UKM dan itu merupakan pencapaian penting dalam kerjaya akademiknya. Kemudian pada 1991 hingga 1993, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Borneo, UKM. Beliau telah dianugerahkan Doktor Falsafah Kepujian UKM pada tahun 1996. Allahyarham pernah menyandang Kerusi Tun Abdul Razak di Ohio University selama dua penggal iaitu pada tahun 1986 hingga 1987 serta menyandang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Guru-Guru Sejarah Melayu selama empat tahun pada tahun 1964 sehingga 1967. 

Selain itu, pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Istilah Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968 hingga 1985. Kemudian, menjadi Presiden International Association of Historian of Asia pada tahun 1977 hingga 1980 dan akhir sekali pada tahun 1973 hingga 1982, beliau menjadi Penyelaras Projek UNESCO dan Project on Malay Sultanate and Malay Culture. Pada tahun 1975, Allahyarham mendapat gelaran Datuk daripada kerajaan Sabah ketika menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK).


HASIL KARYA & PENERBITAN 

Antara karya yang pernah dihasilkan: 
  • Manusia dan Kemajuan pada tahun 1961 
  • History Teaching: Its Problems in Malaya (1964) 
  • Glimpses of Malaysian History (1970) 
  • Malaysia: Warisan dan Perkembangan (1972) 
  • Perpaduan Negara: Beberapa Persoalan (1990) 
  • Sejarah Perkembangan Tabung Haji Malaysia 30 Tahun Rabies in Malaysia (Bulletin of Public Health Society; vol.8, 1974) 
  • Animal Parasites of Animals which effect Man in Malaysia (The Medical Journal of Malaya; vol.11, 1967) (Pengarang bersama) 
  • An Outbreak of Rabies in West Malaysia in 1970, with unusual Laboratory Observations. (The Medical Journal of Malaysia; vol.27, 1972) (Pengarang bersama) 
  • Beberapa Kertas Kerja Simposium, antaranya dimuatkan dalam The Bulletin terbitan Kementerian Pertanian dan Perikanan.

SUMBANGAN 

Himpunan buku-buku yang disumbangkan oleh Datuk (Dr.) Zainal Abidin bin Abdul Wahid kepada Perpustakaan Tun Seri Lanang berjumlah 108 judul buku, termasuk karya beliau yang berjudul: 

  • Malaysia: warisan dan perkembangan, 1992 
  • Perpaduan Negara: berapa persoalan, 1990 
Sebahagian besar buku-buku yang disumbangkan adalah dalam bidang pengajian sains, perubatan dan alam sekitar. Bahan-bahan ini ditulis dalam Bahasa Melayu dan telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahan-bahan ini juga merangkumi buku-buku teks yang diterjemahkan dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Buku-buku yang dikumpul ini merupakan penerbitan antara tahun 1980-an dan 1990-an. 

Pada tahun 2002 pula, beliau menyumbangkan 124 bahan yang terdiri daripada buku dan jurnal. 

Disamping koleksi buku, penyumbang juga telah menghadiahkan kertas kerja seminar/ persidangan dan risalah. Antara kertas kerja yang dihadiahkan berjudul: Pendidikan dan Pembangunan, 1999 dan Ke Arah Mempertingkatkan Bahasa Melayu 1988.

ANUGERAH 
  • 1961- Bintang Kemahkotaan al-Sultan Kelantan 
  • 1963- Sri Mahkota Kelantan & Pingat Peringkatan Malaysia Perak 
  • 1971- Kesatria Mangku Negara 
  • 1976- Pingat Pekerti Terpilih 
  • 1979- Johan Mangku Negara 
  • 1980- Dato’ Setia Negeri Sembilan

SUMBER 

  1. Pengasas UKM meninggal dunia. Diperoleh pada 2022, April 14 daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/340996/pengasas-ukm-meninggal-dunia Berita Harian Online. (2017, Oktober 23). 
  2. Arwah berjuang tubuhkan universiti guna Bahasa Melayu. Diperoleh pada 2022, April 14 daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/341088/arwah-berjuang-tubuhkan-universiti-guna-bahasa-melayu mStar. (2017, Oktober 23). 
  3. Tokoh Sejarah Negara Meninggal Dunia. Diperoleh pada 2022, April 14 daripada https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2017/10/23/tokoh-sejarah-meninggal Helmi. (2004, September 7). 
  4. Tokoh Pejuang Bahasa: Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid. Professional Training Service. https://pts.com.my/berita/tokoh-pejuang-bahasa-datuk-zainal-abidin-abdul-wahid

No comments:

Post a Comment