oleh:
Siti Wahida Amanullah
Unit Kualiti dan Perancangan Strategik, Perpustakaan Tun Seri Lanang
Sejarah perpustakaan ini bermula sekitar Mac 1985 apabila sebuah koleksi undang-undang dibentuk di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Seiring dengan perkembangan Fakulti Undang-Undang, koleksi tersebut dipindahkan ke bangunannya sendiri pada Jun 1996, lalu berkembang sebagai sebuah perpustakaan cabang yang berdiri hingga kini.
Namun, di sebalik deretan rak buku yang teratur, tersimpan sebuah koleksi khas yang memberi nilai tambah pada identiti perpustakaan ini, iaitu Koleksi M.B. Hooker. Koleksi ini bukan sekadar bahan bacaan, tetapi cerminan tradisi ilmu dan hasil kerja seorang sarjana yang memberikan sumbangan besar dalam bidang undang-undang dan masyarakat di rantau ini.
Siapakah M.B. Hooker?
Michael Barry Hooker (1939-1991), lahir di New Zealand, merupakan seorang sarjana Barat yang menumpukan penyelidikannya kepada undang-undang adat Melayu dan undang-undang Islam di Asia Tenggara. Kerjaya beliau dalam bidang pendidikan bermula apabila berkhidmat di Fakulti Undang-Undang Perbandingan di Universiti Kent (Canterbury). Sekitar tahun 1966 hingga 1969, beliau berkhidmat sebagai penyelidik di Universiti Singapura, sebelum meneruskan karier sebagai Profesor di Fakulti Undang-Undang, Australian National University (ANU) dalam bidang Syariah (Undang-Undang Islam) dan Adat (Undang-Undang Adat Tradisional).
Sepanjang kerjayanya, Hooker menghasilkan karya-karya penting yang masih menjadi rujukan utama, seperti Readings in Malay Adat Laws (1970), Legal Pluralism (1975), dan Islamic Law in South-East Asia (1984). Beliau dikenali sebagai tokoh yang banyak membincangkan bagaimana adat Melayu, undang-undang Islam, dan undang-undang kolonial berinteraksi serta membentuk wajah perundangan di rantau ini.
Selain bergiat dalam akademik, Hooker turut diiktiraf sebagai figura penting dalam bidang perundangan. Beliau pernah mengusulkan pendapat di Mahkamah Tinggi London, Jabatan Kerajaan British, Suruhanjaya Diraja dan juga Peguam Negara Malaysia dalam hal ehwal perkahwinan dan perceraian bagi orang bukan Islam. Malah, beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Kerajaan Negeri Sembilan dalam urusan berkaitan undang-undang adat.
Koleksi M.B. Hooker di UKM
Pada Februari 1994, UKM berjaya memperoleh koleksi peribadi Hooker dengan harga sekitar £70,000. Sejak itu, ia ditempatkan sebagai koleksi khas di Perpustakaan Undang-Undang dan merupakan sebuah koleksi penyelidikan yang menyeluruh mengenai sejarah, pengajian Islam, falsafah dan aplikasi sistem undang-undang Asia Tenggara. Isi kandungannya mencerminkan keluasan minat dan ketelitian Hooker sebagai seorang ilmuwan:
- Lebih 2,000 judul buku merangkumi bidang undang-undang, sejarah, dan antropologi.
- 250 judul dalam bahasa Melayu dan Indonesia, banyak berkaitan Islam dan undang-undang Islam.
- 31 tesis sarjana dan PhD mengenai Melayu dan Islam.
- Manuskrip Arab dan Jawi, termasuk teks klasik fikah, hadis, dan hikayat.
- Ratusan buku mengenai Patani, hasil daripada kajian dan tumpuan Hooker terhadap sejarah dan masyarakat di rantau tersebut.
- Fail penyelidikan dan nota kuliah, yang memberikan gambaran unik tentang cara Hooker berfikir, menulis, dan mengembangkan hujah akademiknya.
Sebagai koleksi khas, ia bukan sahaja berfungsi sebagai bahan bacaan, tetapi juga sebuah arkib hidup yang merakam perjalanan intelektual seorang sarjana serta legasi keilmuannya.
Kepentingan Koleksi Khas Ini
Koleksi M.B. Hooker membuka ruang luas kepada pelajar dan penyelidik untuk memahami realiti pluralisme undang-undang di Asia Tenggara, tentang bagaimana adat, syariah, dan undang-undang Barat bertembung, saling bertindih, dan akhirnya membentuk landskap perundangan hari ini.
Lebih penting, koleksi ini menjadi tapak kepada wacana kritis. Hooker sendiri pernah berpendapat bahawa Adat Perpatih bertentangan dengan syariah Islam. Walaupun pandangan ini mencetuskan polemik, ia turut menggalakkan sarjana tempatan mengemukakan hujah balas serta memperkayakan perbincangan akademik. Di sinilah terletaknya nilai sebuah koleksi khas yang bukan sahaja menyimpan teks, tetapi juga semangat perdebatan ilmiah yang merentas generasi.
- Maimunah Kadir. 1995. Koleksi M.B. Hooker: Dokumentasi dan Organisasi Bahan. Seminar Antarabangsa Koleksi Khas Pengajian Asia Tenggara. Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 19-21 Jun 1995.
- Mohd Anuar Ramli, Nurul Asmida Saad dan Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar. 2018. Perspektif M.B. Hooker Tentang Adat Melayu. JMS, Vol. 1, No. 1: 106-136. Available at https://ejournal.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article/view/13386/8513
- Randall, J. 1995. Special Collections: A Booksellers View with Reference to Professor M.B. Hooker’s Library. Seminar Antarabangsa Koleksi Khas Pengajian Asia Tenggara. Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 19-21 Jun 1995.
- Tan, KY and Dowdle, MW. 2018. Michael Barry (MB) Hooker in Conversation with Kevin Tan. Asian Journal of Comparative Law. Vol. 3, No. 1 :173-196. Available at doi:10.1017/asjcl.2018.1
No comments:
Post a Comment