Monday 4 December 2023

Keterlihatan Koleksi Sastera Peranakan Cina : Naratif Baharu

Koleksi Sastera Cina Peranakan merupakan penghuni terawal Perpustakaan UKM. Pemilikannya seusia Koleksi Manuskrip dan Nadir yang disimpan bersama Koleksi Khas Perpustakaan bertempat di Aras 6. Perpustakaan Tun Seri Lanang. Bersesuaian dengan sifat bahan-bahan tersebut yang dianggap sebagai nadir kerana penulisannya sudah tidak diterbitkan lagi.

Koleksi ini merupakan sebuah koleksi yang unik dan unggul yang setara dengan Perpustakaan Muzium Pusat di Jakarta. Kebanyakan karya tersebut, contohnya Njai Dasimah adalah cerita novel yang menerangkan sejarah sosial zaman tersebut. Kandungan karya tersebut memberikan gambaran menarik mengenai masyarakat tempatan terhadap penjajah.

Sejarah penempatan koleksi ini di perpustakaan bermula pada tahun 1973. Usaha ini dilakukan oleh Watson, seorang pensyarah Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM). Ketika beliau berada di Jakarta, Indonesia, beliau terpikat dengan sastera Cina Peranakan yang dijual oleh tukang luak (penjual jalanan). Terpesona dengan keunikan dan nilai budaya koleksi tersebut, Watson mencadangkan pembelian seluruh koleksi tersebut untuk ditempatkan di perpustakaan. Cadangan ini disambut baik oleh Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin, Ketua Pustakawan Pertama UKM, dan koleksi ini dibawa ke Perpustakaan UKM.

Meskipun koleksi ini tersimpan di Arkib & Koleksi Khas, keunikan di dalamnya semakin pudar dengan berlalunya waktu dan kemajuan teknologi. Namun, Perpustakaan UKM tetap berusaha mempromosikan dan memperkenalkan nilai koleksi klasik ini kepada generasi muda dengan inisiatif seperti pameran terpilih, reruai, dan promosi di media sosial.

Prakarsa yang dilakukan termasuk:

Pameran Koleksi Terpilih - Peranakan Cina

Sebuah pameran memperkenalkan etnik dan budaya Cina Peranakan telah diadakan di ruang legar aras 4 Perpustakaan dengan kerjasama  Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka dan QIT Teknikal. Selain poster dan bunting terdapat juga pameran busana, tayangan video dan peralatan tradisi yang sinonim dengan budaya Baba Nyonya ditampilkan. Koleksi Arkib dan Khas juga membuat sorotan khas beberapa koleksi bahan bacaan dan novel fiksi Baba Nyonya yang terdapat dalam koleksi khas. Koleksi juga mendapat khidmat nasihat daripada Dr. Pue Giok Hun pensyarah daripada Institut Kajian Etnik (KITA) semasa menyediakan bahan pameran dan jaringan sosial. Pameran telah berlangsung bermula pada 26 Oktober 2023 hingga 9 November 2023.

 
Busana Baba & Nyonya
Bunting Pameran Dewan Bahasa & Pustaka




Sekitar Pameran di Aras 4, PTSL

Demo Masakan Kuih Tradisional Cina Peranakan – Kuih Angku

Koleksi dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor membuat demo masakan kuih tradisi Cina Peranakan iaitu kuih angku. Acara dimulakan pada jam 11.00 pagi dikelolakan oleh Nyonya Adeline Ee selaku jurucakap manakala  Nyonya Jennifer Lee dan Nyonya Clytia Wong membuat demo masakan. Semasa sesi masakan jurucakap turut menceritakan beberapa aspek daripada budaya Cina Peranakan terutamanya tentang masakan dan busana yang dipakai mereka. Para pengunjung disajikan dengan kuih angku yang telah siap dimasak di hujung sesi.



Sesi Demo Masakan Kuih Angku



Reruai Peranakan Cina sempena Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan UKM

Kakitangan koleksi menyediakan meja reruai dengan konsep Cina Peranakan dengan hiasan alas meja daripada kain batik dan daun herba yang biasa digunakan dalam masakan seperti pandan, kantan, kunyit, kari dan limau purut. Selain itu air bunga telang dan bungkusan bunga rampai disediakan sebagai saguhati kepada pengunjung. Permainan tradisional iaitu 2 unit papan congkak dan 2 set batu seremban turut diletakkan di meja reruai. Permainan ini menarik minat pengunjung dan pelajar antarabangsa untuk mencuba. Turut diadakan kuiz tentang budaya dan etnik Cina Peranakan yang menyediakan hadiah penanda buku magnetik bertemakan Cina Peranakan.

Peserta bersama bungkusan bunga rampai

Pelajar Luar Negara sedang mencuba Permainan Tradisional Batu Seremban

Peserta Luar Negara sedang mencuba Permainan Tradisional Congkak



Sepanjang aktiviti Reruai Peranakan Cina


Promosi Bahan di Platform Facebook

Bahan-bahan terpilih akan dimuat naik ke media sosial secara berkala bagi menghebahkan koleksi ini kepada masyarakat. Langkah menyebar luas koleksi melalui platform digital adalah bertujuan untuk mencapai lebih banyak audiens, khususnya di kalangan generasi yang aktif menggunakan media sosial. Dengan kehadirannya di dunia maya, diharapkan akan timbul interaksi dan keterlibatan yang lebih aktif dari masyarakat. Dengan cara ini, tidak hanya informasi yang tersebar luas, tetapi  terjalinlah komunikasi antara perpustakaan dan masyarakat, secara tidak langsung menjadikan koleksi ini lebih hidup dan relevan di tengah-tengah dinamika perkembangan zaman.

Inisiatif seperti pameran Peranakan Cina, demo masakan kuih tradisional, dan promosi di Facebook bertujuan untuk melibatkan masyarakat dan menjaga kehidupan koleksi ini dalam era digital. Dengan langkah-langkah ini, Perpustakaan UKM telah memainkan peranannya dalam menghubungkan warisan klasik dengan dunia digital dan memastikan warisan budaya yang berharga ini terus berkembang.

Promosi di Media Sosial



Tuesday 28 November 2023

Syarahan Tun Ahmad Sarji: Keunggulan Tamadun Islam

Majlis Syarahan Tun Ahmad Sarji Siri Kedua telah berlangsung di Anjung Pro Canselor, Perpustakaan Tun Seri Lanang pada 16 Nov 2023. 

Majlis wacana ilmiah ini mengabadikan nama Allahyarham Tun Ahmad Sarji, seorang negarawan dan figura terbilang dalam  pentadbiran awam negara dan korporat.   Ia adalah syarahan bersiri yang dirancang untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dalam pelbagai bidang khususnya bidang yang pernah diceburi dan diminati oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji.  Bertemakan ‘Keunggulan Tamadun Islam’, majlis ini merupakan anjuran Perpustakaan UKM dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). 

Objektif penganjuran program adalah;

  • Mengingati jasa, sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji di peringkat negara dan antarabangsa. pada masa yang sama memanjangkan waqaf ilmu yang beliau sumbangkan.
  • Berkongsi pengetahuan dan pemikiran  dalam bidang yang diceburi dan diminati.
  • Menjalin kerjasama strategik universiti bersama rakan sinergi.
  • Meningkatkan keterserlahan UKM, khususnya perpustakaan  sebagai hub kepada penciptaan ilmu baharu selain penyebaran dan perkembangan ilmu dan pemikiran kontemporari serta retrospektif.
  • Meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang keunggulan tamadun Islam di Malaysia.


Pada kali ini, syarahan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz. Pemilihan Dato’ Wan kerana beliau merupakan Alumni UKM yang paling rapat dan pernah bekerjasama dengan Almarhum Tun. Ini terbukti syarahannya banyak menumpukan sumbangan besar dan jasa utama Almarhum Tun semasa era beliau menyandang jawatan Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi IKIM sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 28 Ogos 2021.



Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz sedang menyampaikan syarahan
 

Antara jasa Almarhum  yang dikongsi ialah menyediakan panduan pengiklanan di radio IKIM dan menapis iklan di saluran radio termasuk mengangkat  IKIM sebagai satu badan yang mesra dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam.  Almarhum  juga banyak mengeluarkan pekeliling dalam perkhidmatan awam sehingga beliau di gelar Mat Pekeliling.

Dato’ Wan turut berkongsi pengalaman beliau yang berlaku 33 tahun yang lepas, iaitu ketika beliau menguruskan pernikahan anak Almarhum yang sulung di mana beliau mencadangkan supaya  Almarhum sendiri yang menikahkan anaknya tanpa menggunakan khidmat wakil wali. Almarhum tidak memberi reaksi negatif bahkan bersetuju dengan cadangan tersebut. Inilah dikatakan resepi kecemerlangan Almarhum kerana beliau bersedia menerima pandangan dan nasihat orang lain walaupun idea itu adalah daripada kakitangan bawahan. Almarhum bersifat tawaduk dalam ketegasan, mencintai ilmu dan membudayakan membaca. 




Sesi lawatan ke Tapak Pameran

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Dekan Fakulti Pengajian Islam mewakili Naib Canselor, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long; isteri Allahyarham Tun Ahmad Sarji, Toh Puan Sagiyah Salikin serta ahli keluarganya.



Toh Puan Sagiyah Salikin menyumbang koleksi tokoh kepada PTSL


Barisan tetamu VIP yang hadir


Program ini berjaya memberi impak yang besar, antaranya sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji sentiasa dihargai dan diingati terutama sifat kepimpinan dan cintakan ilmu yang dimiliki. Untuk menjadi tokoh hebat sepertinya, kita perlulah membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu dan ulamak.




Sunday 26 November 2023

Koleksi Pengasas UKM dirasmikan

Pengasas UKM merupakan tokoh pejuang yang terlibat secara langsung dalam merancang penubuhan sebuah Universiti Kebangsaan. Gagasan Idea untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pengajian dan keilmuan.

Perjuangan tokoh-tokoh hebat ini tidak pernah pudar sehingga mencapai kejayaan dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 yang beroperasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tokoh yang berada dalam kumpulan ini ialah;

• Profesor Tunku Shamsul Bahrin
• Profesor Syed Husin Ali
• Profesor Abu Bakar Hamid
• Profesor Mohd Ghazali Abdul Rahman
• Datuk Mohd Zain Majid
• Profesor Zainal Abidin Wahid.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka, Perpustakaan UKM mewujudkan Koleksi Khas Pengasas UKM.  Koleksi ini menempatkan bacaan ilmiah milik tokoh yang mengandungi pengetahuan dan pemikiran dalam bidang yang diceburi dan diminati oleh mereka. Pengasas yang telah menyumbangkan koleksi mereka adalah:

  • Dr Syed Husin Ali – sebanyak 5,677 naskah (Majalah, Buku, Surat, Keratan Akhbar, Artikel,laporan, Seminar/bengkel, kertas kerja, memorandum, terbitan, sulit dan umum)
  • Allahyarham Prof Zainal Abidin Abdul Datuk Wahid – 645 naskah (Buku , Risalah / Seminar, Buku, Seminar) dan
  • Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid – 160 naskhah (Majalah dan Buku)

Dalam usaha untuk meningkatkan keunikan dan kepentingan, satu transformasi yang signifikan telah dilakukan pada ruang eksklusif ini. Ruang yang sebelumnya adalah Bilik Senyap Bestari kini telah ditingkatkan menjadi sebuah bilik khas yang dirancang khusus untuk Koleksi Pengasas. Perubahan ini bukan hanya sekadar dari segi estetik, tetapi juga mencerminkan komitmen untuk memberikan penghormatan yang setimpal kepada peranan dan sumbangan pengasas dalam perkembangan UKM.


Kerja-kerja menceriakan dinding Pameran Bilik Koleksi Pengasas


Kerja-kerja menceriakan rak koleksi


Keputusan untuk menaiktaraf ruang kepada satu bilik khas pengasas adalah tindakan strategik yang menonjolkan penghargaan terhadap sejarah dan warisan koleksi. Bilik ini tidak hanya mencerminkan peribadi pengasas, tetapi juga berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk generasi akan datang.  Usaha menceriakan bilik ini dilakukan dengan kerjasama erat warga kerja Arkib & Koleksi Khas, Unit Perkhidmatan Pelanggan dan Muzium.

Bilik Koleksi Pengasas sebelum Perasmian

Pada 8 November 2023 yang lalu, detik bersejarah tercipta apabila bilik koleksi ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak. Majlis ringkas ini dimulai dengan bacaan doa khusus untuk pengasas, diikuti dengan bicara perjuangan tokoh pengasas oleh Encik Mohd Yazid bin Mohd Abzal Khan, Kurator Muzium Warisan Akademik, UKM, dan diakhiri dengan sesi tanda tangan plak.


Warga Arkib & Muzium bergambar kenangan bersama tokoh hebat UKM



Sesi perkongsian kehebatan tokoh kepada semua tetamu yang hadir. 


Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Tuan Haji Abdul Razak Husin Mantan Pendaftar UKM, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Bin Abdul Hamid, Datuk Zainal Izlan Bin Datuk Zainal Abidin, Waris Allahyarham Datuk Zainal Abidin) dan beberapa orang Alumni UKM.

Kempen Derma Koleksi Arkib dan Muzium dilancarkan

 


Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium dilancarkan semasa Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM pada 8 November 2023 yang lalu. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak.

Kempen ini merupakan satu inisiatif yang julung kali dilaksanakan bagi memberi kesedaran serta menarik lebih ramai lagi yang memiliki bahan-bahan berkaitan UKM untuk disumbangkan kepada Perpustakaan. Inisiatif ini terbuka kepada seluruh komuniti UKM, termasuk warga universiti yang masih berkhidmat, mereka yang telah bersara, alumni UKM, dan juga orang awam.

Bahan-bahan yang boleh didermakan merangkumi gambar, kad pekerja lama, pelekat kenderaan lama, cop jawatan, hasil karya, bahan penyelidikan, anugerah dan pengiktirafan, serta koleksi peribadi lain yang relevan sepanjang mereka berkhidmat di UKM.

Dalam majlis ini Perpustakaan menerima koleksi peribadi milik Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak alumni pertama Fakulti Perubatan UKM, yang menyumbangkan baju korporat, baju sukan dan tali leher UKM.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak bersama koleksinya 

Prof. Asiah Sarji menyumbangkan koleksinya kepada Pengerusi LPU

Selain itu, Prof. Asiah Sarji, Prof Fatimah Abdullah dan Prof Asmah Bee Md. Noor ( Graduan Sulung UKM) turut memberi sumbangan koleksi foto kenangan sepanjang pengajian mereka di UKM, Lembah Pantai pada tahun 1971-1975.

Antara koleksi yang diterima;

Kad Perpustakaan


Koleksi Foto dalam Perpustakaan

Perpustakaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Alumni UKM yang memberi kerjasama yang baik dalam memastikan warisan UKM  kekal  untuk generasi akan datang.


Monday 14 August 2023

Arkib@Pertandingan Poster PTPM 2023


Pada 3-4 Ogos 2023, Kumpulan Arkib bersama KIK Arisc telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Poster PTPM 2023 yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.Pertandingan ini melibatkan penyertaan seramai 15 kumpulan dari pelbagai institusi yang berbeza-beza dalam bidang perpustakaan dan pengetahuan. Tujuan pertandingan ini adalah untuk memberikan platform kepada peserta untuk mempersembahkan dan berkongsi projek-projek inovatif mereka, sekaligus mendorong perkongsian pengetahuan dan perkembangan dalam komuniti perpustakaan.

                                           

Projek inovasi "Merakyatkan Koleksi Unggul Perpustakaan UKM: Satu Prakarsa" adalah sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memperkaya dan memberikan akses yang lebih luas kepada koleksi unggul di Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Melalui prakarsa ini, Unit Arkib berusaha untuk meningkatkan keterlihatan koleksi perpustakaan dengan cara-cara yang inovatif dan berkesan.

Selain itu, projek bertujuan memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dan efisien dalam mengakses dan mengeksplorasi koleksi perpustakaan. Teknologi seperti sistem pencarian canggih, platform digital, atau aplikasi mobile dapat diperkenalkan untuk memudahkan penggunaan koleksi.


 

Di sisi lain, KIK Arisc telah mempersembahkan projek berjudul "Inisiatif Wakaf Sumber Pemberdayaan Perpustakaan Madani." Dalam projek ini, usaha dilakukan untuk mengumpulkan sumbangan atau wakaf sumber  yang akan dialokasikan kepada Perpustakaan Madani. Inisiatif ini merupakan sebuah upaya nobel yang bertujuan kuat untuk memperkuat perpustakaan tersebut sebagai pusat keilmuan dan pengetahuan yang berdaya saing.

Kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen Unit Arkib dan KIK Arisc dalam memajukan bidang perpustakaan dan pengetahuan. Kumpulan tidak hanya berusaha untuk meningkatkan aksesibiliti kepada sumber-sumber ilmu, tetapi juga turut menyumbang kepada pembangunan komuniti akademik dan intelektual di dalam institusi . Keikutsertaan mereka dalam Pertandingan Poster PTPM 2023 adalah bukti semangat mereka untuk berinovasi dan berkongsi kebaikan dengan masyarakat akademik yang lebih luas.

Dalam pertandingan ini, Unit Arkib memenangi Penghargaan Presentasi Terbaik, menunjukkan kualiti unggul projek mereka. Walaupun begitu pemenang pertandingan adalah:

  • Emas: USIM (Universiti Sains Islam Malaysia)
  • Perak: UPM (Universiti Putra Malaysia)
  • Gangsa: UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris)
  • Penghargaan Persembahan Terbaik: UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia)
  • Penghargaan Poster Terbaik: UMT (Universiti Malaysia Terengganu)
  • Anugerah Berlian: USIM (Universiti Sains Islam Malaysia)


Para Pemenang Pertandingan bersama hadiah masing-masing


Kejayaan kumpulan Arkib meraih Penghargaan Presentasi Terbaik menunjukkan usaha mereka dalam merakyatkan koleksi perpustakaan telah mendapat pengiktirafan yang setimpal. Walaupun tidak memenangi tempat pertama secara keseluruhan, penyertaan dan pencapaian mereka dalam pertandingan ini adalah sumbangan penting dalam memajukan bidang perpustakaan dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat akademik dan seluruh lapisan masyarakat.


Anugerah Presentasi Terbaik



Ahli kumpulan bersama JK Penggerak Inovasi










 



 

Wednesday 19 July 2023

Program MOU bersama Akademi Jawi Malaysia


Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Akademi Jawi Malaysia  untuk tempoh 5 tahun bermula 15 Feb 2023 hingga 14 Feb 2023.  Fakulti Pengajian Islam merupakan institusi yang bertanggungjawab menguruskan kolaborasi ini.  Antara bentuk kolaborasi yang dipersetujui merangkumi penyelidikan, pelatihan dan pembangunan modal insan, perundingan dan penerbitan.



Rentetan itu, pada 11April 2023, satu Bengkel Pelan Tindakan Kerjasama Awal antara wakil-wakil daripada kedua agensi telah diadakan. Mereka yang terlibat adalah Puan Azmah Ishah, En Hazmir Hj Zainal, Encik Mohd Yazid Sabtu, Cik Ruzita Kamis, Pn Maslia Manshor(PTSL), Dr Wan Haslan Khairuddin (FPI), dan wakil dari Akademi Jawi Malaysia. 

Hasil bengkel tersebut, satu pelan telah dirangka antaranya yang akan diusahakan adalah ;

  • Content curation bagi bahan Arkib dan Koleksi Khas perpustakaan
  • Latihan / khidmat nasihat Perumian Jawi Lama daripada koleksi manuskrip dan naskah penerbitan dalam tulisan jawi seperti buku atau majalah lama
  • Khidmat nasihat berkaitan pengurusan pameran (content curation) bagi bahan Arkib dan Koleksi Khas perpustakaan 
  • Penerbitan semula bahan langka / klasik dalam format digital termasuk dalam bentuk podcast jurnal 

Pada 21-22 Jun 2023, Arkib & Koleksi Khas bersama Akademi Jawi Malaysia telah menganjurkan Bengkel Kefasihan Jawi kepada warga Perpustakaan UKM. Seramai 20 orang peserta telah menyertai bengkel ini.  

Program ini bertujuan mendidik warga perpustakaan; 

1) Mengenalpasti kandungan dan bahan Jawi di Perpustakaan Tun Sri Lanang 
2) Mengetahui pengurusan ma‘lumat berkaitan bahan-bahan Jawi. 
3) Menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menguruskan bahan-bahan Jawi.

Bengkel ini disampaikan oleh Encik Muhammad Syukri bin Rosli,  Pengarah Ahli Lembaga Pengarah, Akademi Jawi Malaysia.


Dalam bengkel ini peserta didedahkan dengan Sejarah dan Falsafah Dasar Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Jawi, Pengenalan Persuratan Jawi: Sha‘ir, Warqah dan Kitab dan Pengenalan Asasi Bahasa Jawi: Huruf, Ejaan & Tanggaman Jawi.


Peserta juga diberi peluang membuat Pengkatalogan Ringkas dan membuat ‘Amali Pembacaan Naskhah Jawi Koleksi Harun Aminurrashid. Boleh dikatakan semua peserta teruja dapat memegang dan membaca naskhah jawi klasik milik sasterawan rakyat ini.




Di akhir bengkel, peserta diberi peluang memberi idea bagi memperkasakan koleksi jawi ini di PTSL. Antara cadangan menarik yang diutarakan adalah menganjurkan pertandingan jawi challenge, menerbitkan semula hasil karya jawi dalam pelbagai format seperti rakaman video, teater dan sebagainya. Juga dicadangkan mempergiatkan promosi kepada warga perpustakaan dan pelanggan.

Semoga usaha murni dalam mengenengahkan koleksi jawi ini diterima oleh Allah dan diterima sebagai amal jariah oleh-Nya.

Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM

 


Program Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM 2023, 15-16 Jun 2023, anjuran Unit Arkib & Koleksi Khas. Pelbagai program menarik dianjurkan seperti pameran Koleksi Jawi Pak Har, Pertandingan Baca & Ulas Naskhah Jawi Klasik, Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium dan Bicara Arkib.




Pameran Koleksi Jawi Pak Har atau Harun Aminurrashid ini berlangsung secara fizikal dan maya bermula Jun-Julai 2023.

Antara karya yang ditonjolkan dalam pameran ini ialah ;

  • Hikayat pelayaran Gulliver ke Pulau Liliput
  • Hikayat setia asyik kepada ma'syuk (Faridah Hanom)
  • Cerita Sherlock Holmes
  • Cerita Ibu Rokumbul
  • Syair Siti Zubaidah Perang Cina
  • Syair unggas adanya
  • Syair Haris Fadhilah adanya
  • Syair cendawan putih adanya
  • Puteri Gunung Ledang
  • Cerita terung pipit
  • Singapura di malam hari
  • Digila bantal pelok
Pameran secara fizikal telah berlangsung di aras 4, PTSL, manakala pameran secara maya adalah di link  : https://sites.google.com/ukm.edu.my/perpustakaan-ukm/home



  



Pertandingan Baca & Ulas Naskhah Jawi Klasik  diadakan pada 21 Jun 2023 - 26 Jun 2023. Pertandingan ini disertai  seramai 7 orang peserta ;  (3 orang staf UKM),  (1 orang pelajar UKM), (1 orang pelajar UITM) dan (1 orang luar UKM). 



Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium  - Satu usaha untuk mengumpulkan koleksi Arkib dan memperkasakan Arkib sebagai Institusi Pengurus Memori Korporat Universiti. Hebahan derma koleksi ini dibuat melalui saluran konvensional dan media sosial.


Individu yang berminat menyumbang koleksi peribadinya boleh hubungi kami, KAMI AKAN HUBUNGI ANDA SEGERA....💕💕💕