Lakaran Memori Korporat UKM: Wawancara Sejarah Lisan Bersama Prof. Ding Choo Ming dan Encik. Ismail Juhail
Oleh Ruzita Kamis
Bangi, 6 Mei 2026 – Unit Arkib dan Koleksi Khas, Perpustakaan Tun Seri Lanang telah berjaya menganjurkan program wawancara sejarah lisan sebagai usaha mendokumentasikan memori korporat dan warisan institusi Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh rekod sejarah universiti melalui pengumpulan koleksi peribadi mantan kakitangan serta rakaman pengalaman mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Program ini dibahagikan kepada dua sesi utama yang menampilkan dua tokoh daripada latar perkhidmatan yang berbeza, namun masing-masing meninggalkan kesan besar terhadap pembangunan universiti.
Sesi 1: Prof. Ding Choo Ming – Dari Penyelaras IBKKM ke Ketua Koleksi Asia Tenggara
Sesi pertama menelusuri perjalanan intelektual Prof. Ding Choo Ming, seorang tokoh akademik dan kepustakawanan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ilmu di UKM.
Beliau menyertai UKM pada 1 Jun 1972, ketika universiti masih beroperasi di kampus sementara di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, dengan memulakan kerjaya sebagai Pembantu Perpustakaan. Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah berkhidmat sebagai Penyelaras di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), dengan peranan penting dalam memperkukuh penyelidikan serta pengurusan ilmu berkaitan Alam Melayu.
Kemuncak kerjayanya ialah sebagai Ketua Koleksi Asia Tenggara, satu jawatan strategik yang menuntut visi besar dalam membangunkan koleksi serantau yang komprehensif. Beliau turut memainkan peranan penting dalam menangani isu pengaksesan bahan pengajian Melayu, pembangunan makmal mikrofis bagi menyelamatkan manuskrip lama, serta pembentangan pelbagai kertas kerja di peringkat antarabangsa berkaitan kepustakawanan Orientalis.
Menurut beliau, kekuatan sesebuah universiti terletak pada kelengkapan koleksi ilmu tempatan yang menjadi “jantung ilmu” kepada penyelidikan dan pembangunan akademik negara.
Sesi 2: Dari Tukang Kebun ke Pemandu – Kisah En. Ismail Hj. Juahil
Sesi kedua menyelami kisah En. Ismail Hj. Juahil, antara kakitangan terawal yang menyaksikan sendiri sejarah awal penubuhan UKM di Lembah Pantai sebelum perpindahan ke kampus induk Bangi.
Beliau memulakan kerjaya sebagai tukang kebun di Kolej Islam Malaya sebelum diberi kepercayaan memegang tanggungjawab sebagai pemandu universiti. Perjalanan kerjaya ini memperlihatkan ketekunan dan kesetiaan beliau dalam menyokong kelancaran operasi universiti pada era awal pembangunannya.
Satu fakta sejarah yang menarik ialah beliau merupakan antara kakitangan yang diserap terus daripada Kolej Islam Malaya tanpa melalui proses temu duga rasmi.
Dalam sesi wawancara, Beliau berkongsi kisah-kisah menarik tentang suasana Bandar Baru Bangi yang masih dalam fasa pembangunan, kewujudan warung di bawah jambatan yang menjadi tempat tumpuan warga kampus, serta pelbagai kisah mistik yang mewarnai pengalaman kehidupan kampus pada era awal.
Antara perkongsian yang paling mencuri perhatian ialah penjelasan beliau terhadap kisah lagenda “pemindahan warga halus” dari kampus UKM ke tangga Bukit Larut, sekali gus menjawab persoalan yang sekian lama menjadi cerita lisan dalam kalangan warga universiti.
Program ini membuktikan bahawa sejarah universiti bukan sahaja tercatat melalui dokumen rasmi, tetapi turut hidup melalui pengalaman, kenangan dan naratif lisan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan institusi.
Usaha seperti ini amat signifikan dalam memastikan memori korporat Universiti Kebangsaan Malaysia terus terpelihara sebagai khazanah ilmu untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment