Saturday 11 December 2021

Tan Sri Abdullah Mohd. Salleh






Tan Sri Abdullah Mohd. Salleh berasal dari negeri Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tinggi Melaka (Malacca High School). Selepas beliau lulus peperiksaan ‘School Certificate', Tan Sri Abdullah meneruskan persekolahannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar bagi persediaan masuk ke universiti. Pengalaman beliau di masa Perang Dunia Kedua telah menjadikan beliau seorang yang amat tabah dan cekal menghadapi cabaran. Dalam tahun 1950, beliau telah berjaya memasuki Universiti Malaya di Singapura dan berjaya memperoleh B. A. (Hons.) dalam tahun 1955.


Kerjayanya dalam bidang pentadbiran bermula apabila beliau berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1955. Berikutnya dalam tahun 1956, Tan Sri Abdullah telah diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) M.C.S (Malayan Civil Service) dan ditempatkan di Negeri Perak sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri. Sebagai seorang pentadbir sudah tentulah ada pihak yang memerhatikan kebolehan Tan Sri Abdullah menjalankan serta melaksanakan tugas-tugasnya. Kebolehan beliau ini telah menarik perhatian Pegawai-pegawai Kanan di Federal Establishment Office (FEO) yang telah memilih Tan Sri Abdullah sebagai Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1959. YTM Tunku telah memberikan masa percubaan  kepada beliau selama 6 bulan. Oleh kerana kegigihan, ketabahan serta kepandaian beliau menyesuaikan diri dengan tugas penting sebagai Setiausaha Sulit  kepada seorang Ketua Negara, Tan Sri Abdullah meneruskan khidmatnya dengan Perdana Menteri Pertama itu sehinggalah tahun 1962 apabila beliau diminta bertukar sebagai Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam selama 5 tahun.

Pada tahun 1967 Tan Sri Abdullah telah ditukarkan semula ke Jabatan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Rendah Kabinet. Semasa memegang  jawatan ini pengalaman beliau sebagai seorang pentadbir semakin bertambah kerana beliau berhubung rapat dengan Perdana Menteri dan timbalannya. Berikutnya pada tahun 1972, beliau ditukarkan pula ke Kementerian Pertanian dan Perikanan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian sehingga tahun 1974. Disebabkan pengalaman Tan Sri Abdullah yang luas dalam bidang pentadbiran negara beliau telah ditugaskan pula sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Ogos 1974. Kejayaannya terus menuju ke puncak pada tahun 1976 apabila Tan Sri Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara.

Selain daripada menjalankan tugas sebagai pentadbir, Tan Sri Abdullah juga menjawat beberapa jawatan penting dalam badan kerajaan, sukan dan sukarela. Di antaranya termasuklah:-

  1. Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia;
  2. Naib Pengerusi, Kelab Golf Negara Subang;
  3. Presiden Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga; dan
  4. Presiden Persatuan Murid-murid Tua Malacca High School di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sebagai seorang pentadbir beliau telah menabur bakti terhadap negara dan bangsanya dan berpeluang berkhidmat dengan tiga Perdana Menteri iaitu YTM Tunku Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak dan YAB Tun Hussein Onn. Pengalaman yang bermula di zaman mengatur semula pentadbiran negara selepas merdeka dan diikuti dengan zaman di mana tempoh pembangunan negara berubah dengan terbentuknya Dasar Ekonomi Baru telah memberi peluang kepada Tan Sri Abdullah untuk melengkapkan pengetahuan serta kematangannya dalam bidang pentadbiran. Pengalaman dan kematangan yang mencerminkan kebolehan serta kecekapan beliau sebagai seorang pentadbir menjadi asas bagi pelantikan beliau sebagai Pengerusi dan Ketua  Eksekutif PETRONAS pada 1 Januari 1979. Penglibatannya dalam bidang pentadbiran telah banyak membantu ke arah pembangunan negara dan di sepanjang penglibatannya itu, beliau dapat dianggap sebagai seorang yang berjaya dalam kerjayanya.

Jasa yang baik tetap dikenang dan dihargai. Begitunya juga di atas jasa yang telah ditaburkan oleh Tan Sri Abdullah kepada negara. Beliau  telah diberi penghormatan oleh negara dengan dianugerahkan pingat Darjah Mulia Sri Melaka (DMSM) pada tahun 1974. Beliau juga telah dianugerahkan pingat Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong dalam tahun 1977. Pada tahun 1980 Tan Sri Abdullah telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam tahun yang sama juga beliau telah dianugerahkan INTAN FELLOW oleh Institut Tadbiran Awam Negara. Seterusnya Tan Sri Abdullah telah dianugerahkan Pingat Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) pada tahun 1981.

Sumber : Laman Web Arkib Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment