Thursday 22 December 2022

Lahirnya seorang pejuang : Tun (Dr.) Syed Nasir Syed Ismail

Tun (Dr.) Syed Nasir bin Syed Ismail dilahirkan di Bandar Penggaram, Batu Pahat, Johor. Beliau merupakan anak kesembilan dari sebuah keluarga bangsawan. Ayahandanya Syed Ismail adalah sepupu kepada Sultan Siak Inderapura. Tun Syed Nasir telah mendirikan rumahtangga dengan Toh Puan Seri Sharifah Aishah Syed Mohamad ketika berumur 25 tahun. Perkahwinan beliau selama 36 tahun telah dikurniakan dengan sepuluh cahaya mata, iaitu lima orang putera dan lima orang puteri.

Pada tahun 1928 sehingga 1933 beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Tinggi, Batu Pahat,Johor Memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Pahat sehingga lulus Peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1938. Pada tahun 1939, Tun (Dr.) Syed Nasir telah dipilih untuk mengikuti latihan Penolong Nazir Sekolah selama dua tahun di Maktab Penguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan Kuala Kangsar.

Minat beliau dalam arena politik telah bermula sejak penubuhan UMNO pada tahun 1946. Beliau juga merupakan ahli yang paling lama duduk di Majlis Tertinggi UMNO, selaku ahli yang dipilih. Dalam pilihan raya umum pada tahun 1969. beliau telah memenangi kerusi tanpa bertanding dan menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pagoh,Johor. Kejayaan ini diulangi sekali lagi dalam pilihanraya pada tahun 1974.

Pada 9 Jan 1978 Tun Syed Nasir telah diberi mandat sebagai Speaker Dewan Rakyat. Beliau merupakan 'orang pertama' dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat sepenuh masa.

Gelaran "Panglima Bahasa" diberikan kepada Allahyarham Tun Syed Nasir kerana keterlibatannya yang serius dalam perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sehinggalah pada tahun 1967, apabila Bahasa Melayu telah diistiharkan sebagai bahasa rasmi yang tunggal di Malaysia.

Tun Syed Nasir telah dilantik sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1957. Ketokohan Tun Syed Nasir sebagai seorang pejuang dan pentadbir begitu menonjol ketika beliau menjadi Pengarah DBP. Beliau juga mengembangkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan dikalangan rakyat yang terdiri dari berbilang kaum walaupun telah mendapat tentangan dari golongan-golongan tertentu pada awalnya. Namun sebagai seorang yang berjiwa patriotik, beliau gigih meneruskan usaha cita-cita murni. Bermula pada tahun 1960, Tun Syed Nasir telah mencetuskan gagasan untuk mengadakan kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan di seluruh tanahair bagi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Melalui kempen Bahasa Jiwa Bangsa, maka lahirlah semangat muhibbah dikalangan masyakarat dan komuniti yang terdiri dari pelbagai keturunan dan agama. Antara petikan ucapan Tun Syed Nasir Ismail semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1965, melalui radio dan televsiyen Malaysia pada 6 Mei 1965 yang perlu menjadi ingatan generasi kini ialah:

."..........Kita akan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Sains dan bahasa ilmu;......"

Tun Syed Nasir juga merupakan pelopor dan pendorong utama sehingga tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi. Bermula pada 25 Ogos 1968 beliau telah dipilih oleh Kerajaan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan Malaysia yang pertama. Selaku Pengerusi, Tun Syed Nasir bersama beberapa orang cerdik pandai Melayu lain telah menyemarakkan semangat serta cita-cita rakyat menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia. Akhirnya sebuah universiti yang dengan megah menjadikan semangat kebangsaan sebagai tiang serinya telah diwujudkan dengan rasminya pada tahun 1970.

Pada tanggal 21 Disember 1977 Tun Syed Nasir Ismail telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.Semasa beliau menjadi Pro-Canselor beliau telah menjadi pelopor dan penyumbang idea untuk menggalakkan penubuhan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia.

Atas jasa dan bakti Tun Syed Nasir kepada negara dan UKM, beliau telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Tuanku Canselor UKM dalam Konvokesyen Keenam Universiti Kebangsaan Malaysia pada Julai 1978.



Pada tahun 1974 Tun Syed Nasir dilantik menjadi Yang Dipertua / Pengerusi pertama Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM). Tun Syed Nasir turut terlibat dalam menganjurkan Musabaqah al-Quran yang pertama dan memperkenalkan anugerah Ibu Mithali

Nyatalah bahawa Tun Syed Nasir telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara. Tun Syed Nasir telah kembali menemui Rabbul Izzati pada 16 Mac 1982 ketika berusia 61 tahun. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman.


Rujukan:

Majlis Mengenang Jasa Ketokohan Allahyarham Tun (Dr.) Syed Nasir Ismail



No comments:

Post a Comment