Monday, 11 August 2025

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Mohd. Ghazali Hj. Abdul Rahman

 

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Mohd. Ghazali Hj. Abdul Rahman

Pemangku Naib Canselor
1 April 1974 – 31 Mac 1975



Prof. Dato’ Dr. Mohd Ghazali Abdul Rahman dilahirkan pada 16 Mei 1938 di Tanjung Malim, Perak, sebagai anak ketiga kepada pasangan Haji Ab Rahman Yusop dan Hajah Esah Bachik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Jalan Batu sebelum melanjutkan persekolahan di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Selepas tamat Tingkatan Lima, beliau menyambung pengajian peringkat matrikulasi sains di Australia.

Beliau menamatkan pengajian di University of Western Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) pada tahun 1962 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik nuklear pada tahun 1964. Kerjaya beliau bermula sebagai pensyarah di Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Malaya sebelum berhijrah ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pensyarah di Jabatan Kaji Hayat.

Prof. Ghazali memberi sumbangan besar kepada penubuhan UKM dan merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan UKM. Beliau adalah antara tenaga akademik terawal, pengasas Fakulti Sains UKM serta Dekan Fakulti Sains yang pertama. Pada 1 April 1974, beliau dilantik sebagai Pemangku Naib Canselor UKM sehingga 31 Mac 1975 dan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Program Matrikulasi UKM serta mengukuhkan asas pembangunan universiti pada peringkat awal. Beliau turut menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor UKM dari 1975 hingga 1982 dan dua kali memangku jawatan Naib Canselor, iaitu pada 1974–1975 dan 1980.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam menubuhkan Fakulti Perubatan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan memajukan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Mahasiswa (PALAPES) universiti.

Prof. Ghazali berkahwin dengan Sharifah Mariam Syed Mansor dan dikurniakan dua orang putera serta seorang puteri. Beliau meninggal dunia pada 25 Mei 2007 pada usia 69 tahun. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan sains dan teknologi negara terus dikenang sebagai sebahagian penting daripada sejarah UKM. 

Sumber: Roosfa Hashim. Mohd Ghazali Abdul Rahman 1938-2007: dari Mercu ke Mercu. 2010

No comments:

Post a Comment