Cari Rekod Arkib UKM

Masukkan kata kunci dan pilih kategori carian.





Tuesday, 28 April 2026

SEJARAH JUBAH KONVOKESYEN PERTAMA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

 

SEJARAH JUBAH KONVOKESYEN PERTAMA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Oleh : Siti Derwina Mostapa & Ruzita Kamis (Penyunting)


Asal Usul Jubah Konvokesyen

Menurut Dr. Alfifi Al-Akiti, pensyarah dan Felo Pengajian Islam di Universiti Oxford, pemakaian jubah dan mortar board dalam majlis konvokesyen diinspirasikan daripada tradisi ilmuwan Islam terdahulu. Jubah yang berbeza warna melambangkan perbezaan antara penuntut ilmu, ilmuwan dan masyarakat umum, serta mempunyai makna tersendiri mengikut institusi.

Mortar board pula berasal daripada amalan meletakkan Al-Quran di atas penutup kepala sebagai simbol ketinggian ilmu dan tanggungjawab menyampaikannya dengan amanah. Kini, ia digantikan dengan bentuk segi empat.

Sehubungan itu, pemakaian jubah dan topi akademik hanya dibenarkan kepada mereka yang benar-benar layak.


Sejarah Jubah Konvokesyen Pertama UKM

Sejarah jubah konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula dengan penuh simbolik pada 23 Jun 1973, apabila Istiadat Konvokesyen pertama universiti ini dilangsungkan di Bangunan Parlimen. Dalam istiadat ini, Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein diisytiharkan sebagai Canselor pertama UKM. Istiadat ini turut menampilkan pemakaian pakaian konvokesyen pertama UKM. 

Pakaian rasmi bagi Canselor dan Barisan Pengurusan Universiti diperbuat daripada kain songket berwarna biru manis yang disulam dengan motif bunga raya. Pemilihan bunga raya sebagai elemen utama sulaman kerana ia  adalah bunga kebangsaan Malaysia yang mengukuhkan watak UKM sebagai "Universiti Kebangsaan".

Proses penyediaan jubah-jubah ini juga memperlihatkan kesungguhan pihak universiti dalam memastikan kualiti yang terbaik. Bagi mendapatkan hasil seni yang halus, pencarian tukang sulam mahir dilakukan sehingga ke negeri Terengganu, yang sememangnya terkenal dengan kehebatan kraf tangan tekstilnya. Menariknya, walaupun elemen hiasan dan motifnya bersifat lokal, proses tempahan dan potongan jubah tersebut dilakukan di London bagi memastikan standard pemakaian akademik yang kemas dan berprestij, setanding dengan universiti-universiti ternama di dunia.

Bagi para graduan, identiti mereka dizahirkan melalui jubah yang dibezakan mengikut warna fakulti masing-masing, berbeza dengan kebanyakan universiti lain yang menggunakan hood berwarna. Sistem kod warna ini bukan sahaja memberikan kepelbagaian visual semasa istiadat berlangsung, malah ia menjadi simbol kebanggaan bagi graduan mengikut disiplin ilmu yang mereka ceburi.


Gambar 1 : YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri merangkap Canselor Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyampaikan Ijazah kepada Encik S. Indralingam pada Istiadat Konvensyen Pertama UKM yang diadakan di bangunan Parlimen Kuala Lumpur. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)






Gambar 2: Contoh Jubah yang dibuat di London 

(Sumber: Koleksi Muzium Warisan Akademik)




Rujukan: 1. Wawancara  dengan Dr. Alfifi Al-Akiti 

               2. Wawancara dengan Prof. Datuk Dr. Ariffin Ngah Marzuki


No comments:

Post a Comment