Pembangunan Sumber Manusia Perpustakaan UKM : Sepuluh tahun pertama
Oleh:
Harith Faruqi Sidek
Bahagian Pengurusan Memori Korporat
Perpustakaan Tun Seri Lanang
Harith Faruqi Sidek
Bahagian Pengurusan Memori Korporat
Perpustakaan Tun Seri Lanang
Laporan Jawatankuasa penaja yang disediakan pada tahun 1969 menetapkan, ketika Perpustakaan UKM ditubuhkan, ia perlu mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) orang kakitangan yang terlatih serta mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang Sains Perpustakaan. Enam pegawai perintis ini akan bertindak sebagai Pengarah Perkhidmatan atau Ketua Pustakawan, Ketua Pengkatalog, Ketua Bahagian Pemilikan (kini disebut Perolehan) dan 3 jawatan sebagai pengkatalog. Pegawai perintis ini juga akan berfungsi sebagai pembimbing kepada pegawai baru yang dilantik sementara mereka memperolehi kelayakan ikhtisas ketika dalam perkhidmatan, iaitu melalui skim pengajian lanjutan sepertimana yang dirancang oleh Universiti Kebangsaan bagi kakitangan akademik.
Perancangan kakitangan pelaksana bagi perpustakaan juga diambilkira, jawatankuasa penaja mencadangkan 13 kakitangan pelaksana perlu disediakan bagi perpustakaan pada ketika ia ditubuhkan, pecahan jawatan yang dimaksudkan juga termasuk seorang jurutrengkas yang akan membantu tugas pentadbiran Ketua Pustakawan. Dibahagian perkhidmatan pembaca pula akan diletakkan dua orang atendan pejabat, sementara Bahagian Pengkatalogan pada peringkat awal ini akan mempunyai tiga orang kerani dan dua orang atendan pejabat. Bahagian Perolehan (dulunya Pemilikan) akan disediakan seorang pembantu pegawai perolehan, tiga orang kerani dan seorang atendan pejabat. Jawatankuasa penaja juga meletakkan unjuran perkembangan kakitangan perpustakaan bagi lima tahun pertama. Menjelang tahun 1975, Perpustakaan UKM perlu mempunyai 16 orang pegawai ikhtisas atau Pustakawan dan 43 orang kakitangan pelaksana.
Pencarian kakitangan awal
Berdasarkan Buku Log Perkhidmatan Kakitangan tahun 1970, 10 kakitangan perpustakaan yang terawal mengisi perjawatan di UKM mengikut Nombor Pekerja ialah Kamarudin Alimat (Nombor Pekerja 18), Rukiah Kamaruddin (Nombor Pekerja 21), Tuan Haji Abdul Aziz Sheikh Mydin (Nombor Pekerja 22), Shamsiah Ismail (Nombor Pekerja 30), Ho Chooi Hon (Nombor Pekerja 36), Zawiyah Mahmud (Nombor Pekerja 64), Mohd Tahir Alang Abas ( Nombor Pekerja 65), Mohd Amin Osman (Nombor Pekerja 67), Khairul Bariah Osman (Nombor Pekerja 73) dan Masnah Omar (Nombor Pekerja 77). Pegawai pengurusan Perpustakaan UKM yang terawal dilantik ialah Ketua Pustakawan, Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin, dan Penolong Pustakawan, Ho Chooi Hon. Sharifah Naema Syed Mansor ialah satu-satunya Pembantu Perpustakaan dengan kelulusan ikhtisas dalam bidang kepustakawanan, sementara lima lagi Pembantu Perpustakaan terawal tanpa kelulusan ikhtisas ialah Hapipah Mubin, Galoh Zakiah Abdul Malik, Embok Chik Hussein, Norsham Muslim dan Zainal Azman Rajudin. Perpustakaan juga mempunyai seorang Pembantu Perpustakaan Muda, iaitu Ali Haji Ahmad.
Sebagai sebuah perpustakaan akademik yang sedang berada diperingkat awal penubuhannya, antara cabaran yang dihadapi ialah kekurangan pustakawan terlatih untuk melaksanakan perkhidmatan asas sebuah perpustakaan. Pada ketika itu perpustakaan UKM hanya mempunyai dua orang pustakawan yang mempunyai kelayakan ikhtisas sebagai seorang pustakawan, mereka ialah Tuan Haji Abdul Aziz Mydin dan Ho Chooi Hon. Mereka memperolehi ijazah dalam bidang kepustakawanan ketika dalam perkhidmatan di Perpustakaan Universiti Malaya, sementara lima lagi pembantu perpustakaan mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang lain, mereka ialah Zainal Azman Rajudin, Hapipah Mubin, Galoh Zakiah, Embok Chik Hussein dan Norsham Muslim. Pada tahun 1971, perpustakaan UKM berjaya mendapatkan seorang pustakawan terlatih dari Amerika Syarikat yang akan berkhidmat dibawah program sukarelawan United States Peace Corps (USPC), iaitu Robin Barker, beliau kemudiannya disertai oleh Donald Clay Johnson dan Rebecca Padgett yang juga dibawah program USPC. Donald Johnson yang pada ketika itu berusia 31 tahun merupakan bekas pustakawan di Northern Illinois University dan Yale University, sementara Rebecca Padgett yang berusia 29 tahun pada ketika itu pernah berkhidmat sebagai pustakawan dan pensyarah dalam bidang Sains Perpustakaan di University of California.
Kehadiran pustakawan luar negara dibawah program United States Peace Corps (USPC) di UKM adalah untuk memberi bimbingan dan latihan kepada kakitangan perpustakaan UKM, selain mengisi jawatan Penolong Pustakawan. Donald Johnson telah diamanahkan untuk mengetuai bahagian perkhidmatan pelanggan, sementara Rebecca Padgett pula mengetuai bahagian katalog. Perkhidmatan Robin Barker di Perpustakaan UKM berakhir pada akhir 1973, diikuti Donald Johnson pada bulan November 1974, sementara perkhidmatan Rebeccca Padgett pula berakhir pada bulan Mac 1975, kehadiran kedua sukarelawan United States Peace Corps (USPC) ini ternyata memberi impak yang besar dalam pembangunan Perpustakaan UKM, Robin Barker misalannya telah dilantik sebagai Penolong Bendahari Persatuan Perpustakaan Malaysia bagi sesi 1972/1973, sementara Rebecca Padgett pula telah berjaya menyelesaikan masalah katalog tertunggak apabila beliau dengan kakitangan bahagian katalog telah berjaya mengkatalog bahan dengan purata 300 bahan seorang. Antara Pembantu Pustakawan bahagian katalog yang bertugas bersama Rebecca Padgett pada ketika itu ialah Embok Chik Hussein, Nora Karen Iqbal, Zainab Ab. Kader, Thuraiyen Nadzrah Mohd Ghazali, Rogayah M. Yassin, Tusiman Mingun dan Jamilah Ahmad.
Pada tahun 1975, Perpustakaan UKM berjaya mendapat 4 orang lagi Pustakawan sukarelawan, iaitu Sue Anne Manville, Joyce L. Anggio dan Lynne M. Byrne dari United States Peace Corps (USPC) dan Frances Turner dari Australian Volunteer Abroad (AVA). Sue Anne Miller memulakan perkhidmatan sebagai Ketua Cawangan Rujukan dan Latihan, sementara Frances Turner, Joyce L Anggio dan Lynne M. Byrne berkhidmat sebagai pengkatalog dibawah Rebecca Padgett.
Kesimpulannya, pengisian perjawatan perintis Perpustakaan UKM telah berjaya mengemudi organisasi ini melepasi tempoh kritikal 10 tahun pertama dengan jayanya. Kekurangan kakitangan dengan latar pendidikan bidang Sains Perpustakaan juga dapat ditampung dengan adanya kakitangan sukarelawan terlatih dibawah program United States Peace Corps (USPC) dan Australian Volunteer Abroad (AVA).
Rujukan:
- Laporan Kedudukan Perpustakaan pada awal Februari 1975, Perpustakaan UKM.
- Adibah Amin (23 April 1972) Donald dan Rebecca to train varsity staff. The Straits Times.
- Buku Log Perkhidmatan Kakitangan 1970, Jabatan Pendaftar, Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Laporan Tahunan Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 – 1971
- Laporan Tahunan Kedua Universiti Kebangsaan Malaysia 1971- 1972
No comments:
Post a Comment