Thursday, 7 May 2026

Sejarah Perpustakaan Kanak-Kanak SUKMANITA

Sejarah penubuhan Perpustakaan Kanak-Kanak SUKMANITA bermula sebagai sebuah visi murni dalam menyemai budaya membaca di kalangan anak-anak warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Projek ini merupakan salah satu agenda terbesar persatuan yang melibatkan pembinaan serta pengubahsuaian ruang untuk dijadikan Balai SUKMANITA yang terletak di paras bawah Bangunan PUSANIKA. Dengan kos pelaburan mencecah RM20,000, Balai SUKMANITA berjaya disiapkan sepenuhnya pada akhir Jun 1986 dan dirasmikan secara gilang-gemilang pada 4 Julai 1986. 

Pada peringkat awal, perpustakaan ini dibina atas semangat gotong-royong di mana koleksi buku mula dikumpul melalui sumbangan ahli-ahli sendiri, sementara kerja memproses buku dan penyediaan perabot dijalankan secara intensif bagi memastikan keselesaan para pengunjung kecil.

Operasi rasmi perpustakaan ini bermula pada 1 Februari 1987, menyediakan kemudahan pinjaman dan rujukan yang khusus bagi kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah. Dengan struktur yuran tahunan yang sangat inklusif—iaitu RM3.00 bagi anak ahli SUKMANITA dan RM5.00 bagi bukan ahli—institusi ini menjadi pusat tumpuan pada setiap hujung minggu. Kepentingan perpustakaan ini dalam komuniti universiti terbukti apabila Y.B. Dato’ Dr. Siti Zaharah Sulaiman, selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak SUKMANITA pada 17 September 1988. Majlis tersebut yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Ketujuh persatuan di Balai SUKMANITA menandakan satu pencapaian bersejarah buat seluruh ahli persatuan.

Pelajar -pelajar Taman Siswa Muda UKM sedang membuat persembahan nyanyian semasa Perasmian Perpustakaan Kanak-Kanak Sukmanita

Y.B. Dato’ Zaharah Sulaiman sedang memberi ucapan perasmian Perpustakaan Sukmanita  pada 17 Sept 1988

Bagi memastikan koleksi bahan bacaan sentiasa segar dan mencukupi, pelbagai inisiatif seperti Skim Derma Buku telah dilancarkan. Skim kreatif ini menerapkan konsep penghargaan di mana nama setiap penderma akan dipaparkan pada buku yang disumbangkan sebagai tanda terima kasih. Salah satu kejayaan ketara Biro adalah melalui Kempen Derma Buku yang dijalankan antara Januari hingga Mac 1999, yang menyaksikan penerimaan sebanyak 200 naskhah buku dalam tempoh yang singkat. Selain itu, usaha lain yang dilakukan adalah mendapat peruntukan khas daripada persatuan SUKMANITA UKM termasuk Perpustakaan UKM sebagai dana tetap perolehan buku.

Pengurusan perpustakaan pula diuruskan oleh pembantu Sukmanita yang dibayar gaji secara harian sekitar RM17-RM22 sehari.

Sepanjang dekad berikutnya, perpustakaan ini melalui fasa evolusi lokasi yang dinamik selaras dengan perkembangan infrastruktur universiti. Dari lokasinya di paras bawah Balai SUKMANITA pada tahun 1993, ia pernah ditempatkan di sebuah bangunan kayu yang unik pada tahun 1996 sebelum beralih ke bangunan perpustakaan yang lebih tetap pada tahun 1999. Sokongan pihak korporat turut memainkan peranan penting apabila Syarikat SAPURA membekalkan sebanyak 40 unit rak buku pada Mac 2000 untuk menampung koleksi yang kian bertambah. Menjelang 26 Oktober 2002, satu operasi perpindahan dilakukan secara kolaboratif oleh kakitangan perpustakaan ke lokasi baharu, dan akhirnya pada tahun 2003, perpustakaan ini menetap di bangunan bekas pejabat PJJ.

Apabila Tadika Tunas berpindah ke bangunan baharu pada 2 Mei 2018, perpustakaan turut sama dipindahkan ke lokasi tersebut dan kemudiannya dinaiktaraf serta dikenali sebagai Perpustakaan Ibn Khaldun. Perpustakaan ini hanya terbuka kepada anak-anak Tunas UKM dan pada suatu ketika dahulu berperanan sebagai medan penting dalam menyemai minat membaca sejak usia muda, namun kini dilihat semakin sepi tanpa kehadiran pengunjung. Keadaan ini dipercayai berpunca daripada faktor lokasi yang mempunyai akses terhad, selain koleksi bahan bacaan yang tidak lagi selari dengan keperluan serta minat semasa kanak-kanak. Perkembangan teknologi digital dan perubahan gaya hidup turut mempengaruhi penurunan minat membaca dalam kalangan generasi muda. 

Program Jom Membaca 10 minit bersama Kanak-Kanak Tunas Permata UKM

Walaupun pengurusan dan penyelenggaraan perpustakaan ini masih diteruskan oleh Biro Perpustakaan Kanak-Kanak, usaha penambahbaikan dan pemerkasaan perlu dipergiatkan agar fungsi asalnya dapat dikembalikan. Dalam konteks ini, Perpustakaan Kanak-Kanak SUKMANITA bukan sekadar ruang fizikal, tetapi merupakan khazanah ilmu dan warisan sejarah yang signifikan kepada warga UKM serta wajar terus dipelihara dan dibanggakan.

Sumber : 

  • Buletin Suaranita Oktober 1988
  • Minit Mesyuarat Agung Sukmanita Bil 3 dan 4

Penulis : Ruzita Kamis, Unit Arkib & Koleksi Khas

No comments:

Post a Comment