Sunday 25 December 2022

Dr Abdul Latiff Dato' Abdul Razak ; Doktor Melayu Pertama Malaysia





Doktor Abdul Latiff adalah seorang doktor Melayu yang pertama di negara ini, dan beliau telah merintis jalan bagi generasi seterusnya. Dr Abdul Latiff dilahirkan pada 27 hb Mei 1889 di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan telah mendirikan rumahtangga dengan Che Safiah Sulong di Singapura pada tahun 1910. Mereka telah dikurniakan sembilan orang cahaya mata iaitu enam orang putera dan 3 orang puteri.

Dr. Abdul Latiff mempunyai sembilan orang anak hasil perkahwinannya bersama Che Safiah Sulong pada tahun 1910. Hasil didikan beliau, telah melahirkan anak-anak yang berjaya, antaranya Tan Sri Yaacob Latiff (Datuk Bandar Kedua Kuala Lumpur, 1972), Tan Sri Jamal Latiff (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Perancis dan Portugal, 1956) dan Dato’ Mohd Ismail Latiff (Setiausaha ke-2 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, 1959-1969). Dua daripada anak lelakinya menjawat jawatan dalam perkhidmatan polis, sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (bersara 1976) dan Asisstant Superitendent Polis. Manakala anaknya yang lain berkhidmat sebagai guru dan kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Sabak Bernam. Kemudian menyambung pelajarannya di Victorian Institution, Kuala Lumpur dan meneruskan pengajian di Maktab Melayu, Kuala Kangsar. Beliau telah menunjukkan kecenderungan terhadap ilmu kejuteraan sejak di sekolah tetapi oleh kerana beliau didapati cemerlang dalam mata pelajaran sains, maka beliau telah dinasihatkan oleh bapanya Dato' Abdul Razak bin Abdul Ghani untuk mengambil pelajaran ilmu perubatan. Oleh itu, beliau telah dihantar ke Maktab Perubatan King Edward VII, Singapura untuk melanjutkan pelajaran beliau dalam ilmu bidang perubatan.

Pada tahun 1905 Dr. Abdul Latiff  memulakan pengajiannya di Maktab Perubatan King Edward VII dan tamat pada tahun 1910. Dengan itu, bermula peristiwa bersejarah mengenai kerjaya dalam bidang pendidikan tinggi untuk orang-orang Melayu. Beliau telah berjaya menarik perhatian Sir Arthur Young, Gabenor Singapura pada masa itu, yang telah mengucapkan tahniah kepadanya sebagai anak melayu pertama yang berjaya menerima segulung ijazah kedoktoran.

Setelah tamat pelajarannya dalam bidang perubatan, Dr. Abdul Latiff telah berkhidmat dengan kerajaan dan ditempatkan pada mulanya di Pejabat Perubatan, Kajang. Kemudian beliau telah meneruskan perkhidmatannya di beberapa tempat lagi iaitu di Pekan, Pahang dan di Kuala Lumpur. Beliau telah berkhidmat dengan kerajaan sehingga tahun 1936 dan selepas itu bersara kerana keuzuran. Beliau juga pernah membuka klinik perubatan sendiri di Kuala Lumpur. Khidmat beliau amat diperlukan oleh kerajaan dan beliau bekerja semula dengan kerajaan pada tahun 1939,1946 dan 1950. Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah. Mengenangkan jasa-jasa dan sumbangan Dr. Abdul Latiff, pada tahun 1949 kerajaan British menganugerahkan kepada beliau pingat kehormat M.B.E.

Dr. Abdul Latiff amat disenangi oleh orang ramai dan sentiasa berdamping dengan semua lapisan masyarakat. Mereka yang pernah bekerja dengan Dr. Abdul Latiff merasakan diri mereka mempunyai seorang sahabat sepanjang hayat. Beliau mempunyai sikap yang lemah lembut dan pemurah. Allahyarham Dr. Abdul Latiff adalah seorang yang sangat baik hati dan sederhana dalam kehidupannya.

Sebagai seorang doktor, Dr. Abdul Latiff ialah seorang yang tekun, gigih dan teliti dalam menjalankan tugasnya. Beliau seorang yang berdisiplin, amanah dan tegas serta sentiasa memberi perangsang kepada kakitangannya supaya menjalankan kerja dengan penuh minat dan bersungguh. Dr. Abdul Latiff adalah seorang yang jujur dan bekerja dengan penuh dedikasi hingga ke akhir hayatnya. Sifatnya yang sabar, jujur, berdedikasi dan tekun dalam melakukan kerja dan tanggungjawabnya menjadikan beliau seorang doktor yang cemerlang.

Dr. Abdul Latiff percaya kepada kepentingan pelajaran dan beliau berpendapat bahawa kita boleh meninggalkan semua harta kekayaan dalam dunia ini kepada anak-anak, tetapi harta benda tidak erti sekiranya mereka tidak berpelajaran. Oleh kerana itu, apa jua harta yang ada padanya telah digunakannya untuk kepentingan pelajaran anak-anaknya.

Menghargai sumbangan dan kecemerlangannya, Kerajaan Negeri Selangor telah menamakan asrama Yayasan Negeri Selangor sebagai Asrama Doktor Abdul Latiff supaya penuntut2 yang mendiaminya akan mendapat semangat dari seorang manusia yang mempunyai watak dan pelajaran tinggi, yang sukar hendak ditandingi ini. Sebatang jalan raya kawasan Hospital Kuala Lumpur juga dinamakan sempena nama beliau iaitu Jalan Doktor Abdul Latiff. Namanya juga di abadikan di Gedung Maklumat Perpustakaan Perubatan UKM.



Jasa dan bakti Allahyarham kepada bangsa dan negara akan terus di kenang dan menjadi ikutan anak-anak bangsa. Dr. Abdul Latiff telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1956 dalam usia 67 tahun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


No comments:

Post a Comment