Tuesday, 28 April 2026

Kolej Ungku Omar : Kolej Terawal UKM

 


Kolej Ungku Omar merupakan sebuah kediaman pelajar terawal yang terletak berhampiran Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan serta kemudahan seperti Pusanika, Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Pusat Kesihatan UKM.

Pada peringkat awal kolej ini dikenali sebagai Komsis (Kompleks Kediaman Siswa) atau Kamsis (Kampus Siswa) C. Projek pembinaannya seiring dengan pembangunan kampus tetap UKM di Bangi pada tahun 1970an. Butiran lengkap pembangunan adalah seperti jadual berikut:

  • Nama Asal: Dahulunya dikenali sebagai Komsis C.
  • Kontraktor Utama: Tetuan Malbina Sdn. Bhd.
  • Tarikh Mula Pembinaan: 23 Jun 1976.
  • Tarikh Siap: 7 Januari 1978.
  • Kos Pembinaan: Harga kontrak asal adalah RM6,610,076.47, manakala harga sebenar adalah RM6,748,071.58.
  • Keluasan Lantai: 219,566 kaki persegi.
Di awal pembinaan, kolej ini dibina dengan kapasiti dan kemudahan seperti berikut:
  • Blok Asrama: 4 blok yang mengandungi 256 bilik untuk 512 pelajar dan 16 bilik felo.
  • Pangsasiswa: 23 blok dengan 368 bilik untuk 368 pelajar.
  • Pangsasiswa Kelamin (Keluarga): 4 blok dengan 64 unit (96 bilik) untuk 64 pelajar.
  • Tempat Letak Kereta: 71 unit.
Pada awal penubuhan, kolej ini terdiri daripada 31 blok dengan 720 bilik yang mampu menampung 944 pelajar dan 16 felo. Kini, kapasiti tersebut telah meningkat kepada 1,024 penghuni melalui penyediaan 4 blok asrama, 23 blok pangsa siswa dan 3 blok pangsarama. Selain itu, kolej turut menawarkan dua jenis rumah tamu untuk disewa oleh pelawat.

Kakitangan pentadbiran perintis yang bertangggungjawab menguruskan komsis adalah ;

  • Encik Yusof Hussein (Pengetua)
  • Encik Aziz Abdullah (Pengurus Komsis)
  • Encik Jamal Ali (Fellow)
  • Encik Hamzah Samad (Fellow)
  • Encik Mat Fauzi Abd. Rahman (Fellow)
 

 
Kamsis C diisytiharkan secara rasmi sebagai Kamsis Ungku Omar pada 8hb Mac 1985 (15 Jamadil Akhir 1405) oleh Y.M. Tengku Datin Khatijah Sulaiman iaitu balu kepada Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ungku Omar bin Ahmad.

Dengan akronim KUO, Kolej Ungku Omar dinamakan sempena Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ungku Omar bin Ahmad (1931–1969), seorang tokoh perubatan dan saintis ulung negara. Beliau diiktiraf sebagai anak Melayu pertama yang dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) dan merupakan salah seorang penggerak utama dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prasarana kolej kini semakin baik dengan penambahbaikan pelbagai kemudahan demi keselesaan penghuni. Kolej dilengkapi dengan prasarana yang lengkap seperti kedai fotostat, kedai dobi, C-mart, kafetaria, pusat siber, pusat sumber, bilik ICT, serta kemudahan beriadah yang merangkumi gimnasium, gelanggang bola keranjang, sepak takraw, badminton, dan squash.

Pada tahun 2015, kerja-kerja menaik taraf telah dilaksanakan, yang melibatkan pembinaan sistem telaga tiub sebagai sumber air alternatif bagi menangani masalah gangguan bekalan air di kampus. Projek ini bermula pada 14 September 2015 dan siap sepenuhnya pada September 2016.


Sumber : 
  • Laporan Jaksa Kamsis Ungku Omar. Majalah Aspirasi kesepuluh 1985/1986
  • Majalah Cahaya sesi 1981/1982

No comments:

Post a Comment