Masjid Universiti ini telah dibina di atas tapak seluas dua hektar. Pembinaannya dimulakan pada 16 Mac 1979 dengan kos berjumlah RM 5.1 juta, sebahagian dananya disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi. Pihak kontraktor telah menyerahkan secara rasmi kepada pihak UKM pada hari Rabu 14 April 1982 dan masjid ini mula digunakan pada hari Jumaat 16 April 1982.
Reka bentuk masjid ini diilhamkan oleh Encik Abdullah Bakri, bekas Pengarah Unit Pembangunan, UKM. Bangunan masjid ini juga dikelilingi oleh enam buah menara dan sebuah menara besar setinggi 6,666 sentimeter (simbolik dari 6,666 ayat AI-Quran) hasil cetusan ilham oleh Tun Syed Nasir, bekas Pro-Canselor UKM. Bangunan Masjid tiga tingkat ini mempunyai keluasan 25,713.41 meter persegi (74,500 kaki persegi) dan boleh menampung jemaah seramai 5,000 orang dalam satu masa.
Bangunan masjid ini terdiri dari 3 tingkat iaitu di aras satu mempunyai sebuah dewan solat, pejabat pentadbiran Pusat Islam UKM, tempat wudhu (lelaki dan wanita), tandas (lelaki dan wanita), sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik rehat imam dan bilal, tiga buah bilik seminar serta sebuah bilik pengurusan jenazah. Di aras dua mempunyai dewan solat, sebuah Kutub Khanah dan sebuah bilik tetamu (VIP).
Manakala di aras tiga pula mempunyai dewan solat wanita, bilik studio dan dua tempat wudhu. Persekitaran masjid mempunyai enam buah pondok wakaf, sebuah dapur (termasuk bilik mandi dan tandas), dua buah tempat wudhu di luar bangunan masjid serta terdapat lebih kurang 300 lot tempat letak kereta.
Sumber :
Laporan Pembangunan Fizikal Mesyuarat Jumaat Kedia 1980
Mohd Ali Kamaruddin, 1981 UKM ; Sejarah Penubuhan
No comments:
Post a Comment