Tuesday, 19 May 2026

Prof. ChM. Dr. Yang Farina Abdul Aziz

 

Prof. ChM. Dr. Yang Farina Abdul Aziz

Yang Farina Abdul Aziz dilahirkan pada 9 November 1962 di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan. Beliau dibesarkan di Kuala Krai, Kelantan sehingga 1964 apabila bapa beliau seorang guru dipindahkan ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Malim, Perak. Dewan Suluh Budiman menjadi gelanggang untuk beliau bermain dan menyaksikan pementasan ulung Bukan Lalang Ditiup Angin yang meninggalkan kenangan manis yang mendalam dalam dirinya. Alam persekolahan beliau bermula di Methodist English School, Tanjong Malim sehingga Tingkatan 2 sebelum berpindah ke Senior Methodist Girls' School, Kuala Lumpur.

Pada 1979, beliau ditawarkan biasiswa MARA untuk melanjutkan pelajaran A-level di Koleg Aston, Wrexham, Wales, United Kingdom. Beliau memperoleh ijazah Bachelor of Science (Honours) dalam bidang Kimia daripada The University of Manchester pada tahun 1984 sebelum meneruskan pengajian peringkat PhD di The University of Reading pada 1985. Beliau dianugerahkan ijazah PhD tiga tahun kemudian dan melaporkan diri sebagai pensyarah di UKM pada 23 Disember 1988. Yang Farina adalah Juruaudit Persekitaran ISO 14000 bertauliah. Memperoleh Diploma Penterjemahan pada 1992.

Kerjaya Yang Farina bermula dengan lantikan beliau sebagai Pensyarah di Jabatan Kimia pada Januari 1989. Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada 1995 dan seterusnya Profesor pada 2005. Yang Farina turut memberi khidmat sebagai pentadbir bermula dengan Penyelaras Program Teknologi Kimia pada 1998 sehingga Fakulti Sains Fizik dan Gunaan distruktur semula menjadi Fakulti Sains dan Teknologi pada 1999. Sekembali daripada sabatikal kedua beliau pada 2002 Yang Farina dilantik Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PUSPA). Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah, PUSPA, UKM bermula pada 2005 sehingga 2007. Yang Farina dilantik sebagai Ketua, Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR) pada 2010.

Bidang kepakaran Yang Farina adalah kimia takorganik. khusus kepada peranan ion logam dalam sistem biologi. Beliau giat memperoleh geran penyelidikan bukan sahaja daripada dana aliran utama seperti MOSTI dan MOHE malah daripada syarikat luar. Penyelidikan beliau dalam bidang kimia tak organik telah diterbitkan dalam lebih 100 makalah meliputi jurnal antarabangsa dan kebangsaan yang sebahagian besar dalam jurnal berimpak. Penglibatan Yang Farina dalam bidang penyelidikan kimia takorganik turut menyaksikan beliau sering diundang sebagai penceramah jemputan. Yang Farina adalah juga pewasit beberapa jurnal dan bermula pada 2009 beliau menjadi pewasit untuk Journal of Applied Organometallic Chemistry, terbitan John Wiley and Sons.

Dalam pertubuhan nasional, Yang Farina menganggotai Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan Kimia, Institut Kimia Malaysia mulai 1995 hingga 2008 dan amat aktif menganjurkan bengkel keselamatan kimia khususnya di industri dan sekolah. Yang Farina dilantik oleh SIRIM sejak 1995 sehingga 2010 untuk menerbitkan Piawaian Malaysia (Malaysian Standards) berkaitan industri cat dan varnis. Beliau adalah ahli kumpulan yang telah mengasaskan Malaysian Analytical Sciences Society. Di peringkat antarabangsa beliau adalah ahli International Union of Crystallographers. Yang Farina turut bergiat aktif dalam mengetengahkan isu masyarakat melalui penulisan di dalam akhbar, blog dan Facebook serta penampilan dalam temu ramah bersama media siaran. Melalui jaringan sosial Yang Farina dan rakan-rakan sedang berusaha mengintegrasi masyarakat melalui Voices of Peace, Conscience and Reason. Beliau dilantik menjadi Anggota Majlis Pemikir dan Pemandu Persatuan Orang Kota Bharu (POKB). Yang Farina juga adalah Presiden Protem, Methodist English School Alumni, Tanjong Malim (MESA).

Yang Farina juga tidak asing dengan isu pengantarabangsaan pengajian tinggi. Beliau dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengetuai kumpulan pemikir teras Pengantarabangsaan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020. Sehubungan itu, beliau sering diundang untuk memberi ceramah dan berkongsi pengalaman dalam mempertingkatkan lagi agenda pengantarabangsaan di universiti tempatan. Beliau mengetuai Kumpulan Penyelidikan Penghargaan dan Pengiktirafan Akademia dan terlibat dalam melaksanakan projek tajaan KPT, Establishment of Branch Campus serta juga Kajian Pelajar Antarabangsa Di Malaysia. Yang Farina telah menjayakan projek University Cooperation for Internationalisation (UNCOFIN) biayaan Kesatuan Eropah (EU) yang melibatkan 11 universiti di EU dan ASEAN. Beliau turut meyumbang penulisan bab dalam buku Globalisation and Tertiary Education in the Asia Pacific, The Changing Nature of a Dynamic Market terbitan APRU, PECC dan World Scientific serta juga Globalisation and Internationalisation of Higher Education in Malaysia terbitan Penerbit USM. Yang Farina telah dilantik ke dalam Majlis Institut Kimia Malaysia bermula Mac 2010. Pada Jan 2011 beliau telah dilantik sebagai Associate, Academy of Sciences, Malaysia.

Beliau bukanlah calang-calang pensyarah; selain terkenal dengan rekod pendakian ke puncak Mount Kilimanjaro, beliau juga terus aktif menyumbang dalam dunia akademik dan profesional walaupun telah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2022 selepas berkhidmat sejak tahun 1984. 

Beliau memegang jawatan Naib Presiden Institut Kimia Malaysia, merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, serta pernah dilantik sebagai Ahli Titular Bahagian Kimia Tak Organik International Union of Pure and Applied Chemistry bagi tempoh 1 Januari 2024 dan berakhir pada Disember 2025. 

Sumber : Syarahan Perdana Profesor, 2011, Commonwealth Chemistry Congress - Abstract book 2025








No comments:

Post a Comment