Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan Dekan Pertama Fakulti Farmasi
Ibrahim bin Jantan dilahirkan di Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka pada 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sembawang, Singapura, Sekolah Rendah Masjid Tanah, Sekolah Menengah Masjid Tanah, Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang dan Sekolah Tinggi Melaka. Selepas itu dengan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam beliau melanjutkan pengajian ke University of Mansoura, Egypt dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Farmasi, (kepujian) pada 1981.
Sekembalinya ke tanah air beliau bertugas sebagai ahli farmasi pelatih selama setahun di Hospital Seremban sebelum didaftarkan sebagai ahli farmasi. Oleh kerana berminat untuk mendalami ilmu dalam kimia ubatan beliau memohon biasiswa JPA dan berjaya meneruskan pengajian di University of Minnesota, Amerika Syarikat. Setelah mendapat Ijazah Sarjana Sains (Kimia Ubatan) pada 1985 beliau ditawarkan berkhidmat dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai pegawai penyelidik dalam tumbuhan ubatan. Semasa berkhidmat di FRIM beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di Universiti Malaya dan pada 1993 mendapat Ph.D dalam bidang kimia sebatian semula jadi.
Semasa berkhidmat di FRIM Dr. Ibrahim menerima pelbagai anugerah dan mendapat latihan dalam penyelidikan tumbuhan ubatan menerusi sangkutan sebagai research fellow di Tsukuba Forestry and Forest Products Research Institute, Jepun, anjuran JICA (1988); Sttingbourne Research Institute, Shell Research Limited, UK, anjuran UNDP (1989); University of Strathclyde, di bawah program Chevening, UK (1991); Natural Resources Institute, Catham, UK, anjuran Overseas Development Agency (ODA) (1992); dan Natural Resources Research Institute, Seoul National University, anjuran Korean Scientific and Technological Foundation (1996). Setelah genap 10 tahun berkhidmat di FRIM. pada 1 Oktober 1996 beliau memulakan perkhidmatannya di UKM dan dilantik terus ke jawatan Profesor Madya. Pada April 2002, beliau dilantik ke jawatan Profesor dalam bidang kimia ubatan dan sebatian semula jadi. Selepas dua tahun di UKM, Dr. Ibrahim diberi tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Farmasi (1998-2007), kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSKB (2007-2008) dan kini sebagai Dekan Fakulti Farmasi. Semasa menjadi Ketua Jabatan Farmasi beliau bertindak sebagai Ketua Projek program CICHE untuk membangunkan program sarjana muda farmasi dan sarjana farmasi klinikal di UKM menerusi kerjasama dengan beberapa buah universiti di United Kingdom. Beliau juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Sebatian Semulajadi Malaysia, Institut Kimia Malaysia dan Persatuan Farmasi Malaysia.
Profesor Dr. Ibrahim aktif dalam penyelidikan pelbagai aspek tumbuhan ubatan; pengasingan dan penentuan struktur sebatian aktif, analisis kualitatif dan kuantitatif minyak pati, penentuan aktiviti biologi dan analisis struktur-aktiviti (antiplatelet, perencatan ikatan PAF dengan reseptor, antimikrob dan insektisid). Beliau telah menghasilkan 100 penerbitan dalam jurnal, 64 kertas persidangan, 3 bab dalam buku dan 1 paten inovasi. Beliau pernah memenangi anugerah inovasi MINDEX (1991), anugerah penyelidikan MTDC (1994), anugerah rekacipta FRIM (1993), anugerah penerbitan FRIM (1997), penyelidik kanan FSKB (2005), anugerah inovasi ITEX (2007), ahli Sidang Pengarang UKM (2003) menjadi ketua editor pertama Jurnal Sains Kesihatan Malaysia (2003-2006), editor Journal of Tropical Medicinal Plants dan Asian Coordinating Group for Chemistry and Chemical Research Communication dan pengadil artikel dalam banyak jurnal antarabangsa.
Kesarjanaan Felo Penyelidik Utama INBIOSIS, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan turut diiktiraf sebagai Top 2% Saintis Dunia oleh Elsevier (Stanford University) untuk tiga tahun berturut-turut dari tahun 2023 hingga kini.
- Sumber:
- Syarahan Perdana Profesor,2008, Portal Berita Rasmi UKM-INBIOSIS 20 Tahun Melangkaui Zaman, 2025.
No comments:
Post a Comment