Program “UKM Varsiti Kita : Dari Jalan Pantai ke Puncak Bangi” Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan UKM ke 56
Oleh : Ruzita Kamis
Pada 18 Mei 2026, Bahagian Pengurusan Memori Korporat UKM, Perpustakaan Tun Seri Lanang telah menganjurkan program “UKM Varsiti Kita: Dari Jalan Pantai ke Puncak Bangi” bersempena sambutan ulang tahun ke-56 penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Perpustakaan UKM. Program ini terbuka kepada 30 orang kakitangan Perpustakaan UKM yang memulakan perkhidmatan dalam tempoh 2024 hingga 2026.
Program ini bertujuan memupuk semangat kekitaan serta meningkatkan kesedaran warga perpustakaan terhadap identiti dan warisan UKM. Melalui pengisian yang disusun, para peserta dibawa menelusuri perjalanan sejarah UKM bermula daripada penubuhannya di Jalan Pantai sehingga berkembang megah di Puncak Bangi, sekali gus menyemai rasa bangga dan penghargaan terhadap sejarah perkembangan universiti.
Program sehari ini dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu oleh En. Yazid Abzal Khan bertajuk “Sejarah Pembangunan dan Perkembangan Kampus UKM”, diikuti dengan lawatan lapangan ke Muzium Warisan Akademik dan Galeri Tuanku Canselor. Sesi ini memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai sejarah pembangunan fizikal kampus serta legasi yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan aktiviti berbentuk jejak eksplorasi sebagai medium pembelajaran interaktif. Para peserta bergerak secara berkumpulan ke beberapa checkpoint yang telah ditetapkan bagi mengikuti pelbagai pengisian menarik, antaranya :
- Perpindahan PTSL dari Lembah Pantai ke Puncak Bangi
- Mengenali Tun Seri Lanang
- Apresiasi Sastera melalui sajak “Perpustakaan Tun Seri Lanang”
- Trivia Perpustakaan
- Evolusi ICT: Dari DOBIS ke KOHA,
- Koleksi Pengasas UKM
Penganjuran program ini berjaya menyemai rasa bangga, cinta dan jati diri dalam kalangan peserta, sekali gus meningkatkan penghargaan mereka terhadap sejarah serta perjuangan yang telah membentuk universiti ini sepanjang 56 tahun penubuhannya. Alhamdulillah, rata-rata peserta menunjukkan minat yang sangat baik dan teruja mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. Program ini diharap akan terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman sejarah institusi serta memupuk semangat kecintaan terhadap UKM dalam kalangan warga perpustakaan.
No comments:
Post a Comment