Tuesday, 16 June 2026

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa & Hari Pustakawan Malaysia 2026: Memusakakan Naskhah Menghidupkan Sejarah




BANGI, 10 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM dan Hari Pustakawan Malaysia 2026 yang bertemakan “Memusakakan Naskhah, Menghidupkan Sejarah”. Program yang berlangsung di Perpustakaan Tun Seri Lanang ini menghimpunkan kira-kira 120 orang warga perpustakaan dan universiti bagi meraikan kepentingan pemeliharaan khazanah ilmu, sejarah institusi serta profesion kepustakawanan.

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pustakawan UKM, Encik Hazmir Haji Zainal. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan usaha pendigitalan dan pemuliharaan bahan sebagai medium untuk memastikan sejarah dan warisan institusi terus lestari serta dapat diakses oleh generasi akan datang. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perpustakaan atas komitmen mereka dalam memperkasa agenda pemeliharaan memori institusi melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Antara segmen utama yang mendapat perhatian ialah slot Wawancara Tokoh: Memori dan Kenangan UKM Kampus Sabah yang menampilkan Tuan Haji Abd. Razak Hussin dan Dr. Kaswandi Md. Ambia sebagai panel. Sesi tersebut membawa hadirin mengimbau sejarah penubuhan UKM Kampus Sabah yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi di negeri itu, di samping berkongsi pengalaman serta kenangan sepanjang berkhidmat dan menuntut di kampus berkenaan.



Melalui perkongsian yang sarat dengan nostalgia, para panel turut menceritakan suasana pembelajaran yang unik serta hubungan erat antara pensyarah dan pelajar yang menjadi antara kekuatan utama UKM Kampus Sabah pada ketika itu. Mereka juga menyuarakan harapan agar baki tanah seluas empat ekar di bekas tapak kampus tersebut dapat dimanfaatkan oleh universiti melalui penubuhan pusat atau institut penyelidikan bagi meneruskan legasi UKM di Sabah.

Sambutan yang amat menggalakkan terhadap sesi wawancara ini turut mencetuskan cadangan agar satu sesi lanjutan diadakan pada masa hadapan bagi mengetengahkan perspektif dan pengalaman bekas pelajar UKM Kampus Sabah.

Bagi memberi pendedahan praktikal kepada pengunjung, penganjur turut mengadakan slot “Dr. Buku: Rawat & Pulihara”. Program ini menampilkan pembantu pemuliharaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemeliharaan dan pemuliharaan bahan perpustakaan. Melalui demonstrasi secara langsung, para peserta didedahkan kepada teknik penjilidan, pembaikan tisu, pembersihan bahan, pendigitalan serta penyelenggaraan bahan media seperti mikrofilem dan pita VHS.



Sesi tersebut mendapat sambutan yang amat memberangsangkan bukan sahaja daripada warga UKM, malah turut menarik penyertaan kakitangan perpustakaan institusi lain seperti Perpustakaan Al-Hikmah, Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim dan Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia yang hadir bagi menimba ilmu serta berkongsi pengalaman dalam bidang pemuliharaan bahan.

Acara kemuncak program ialah Telaah Memoir Pustakawan: Kisah Orang Pustaka 2.0 yang menampilkan Datin Nor Azzah Momin dan Dr. Mazni Md. Yusof sebagai panel. Sesi ini turut diserikan dengan Slot Istimewa: Sesi Buku Bersambut bersama Netizen Buku yang memberi ruang kepada warga perpustakaan berkongsi ulasan dan pengalaman pembacaan mereka.




Antara perkongsian yang paling menyentuh hati ialah pengalaman peribadi Dr. Mazni Md. Yusof dalam menghadapi cabaran kesihatan sepanjang kerjaya beliau. Kisah ketabahan dan semangat yang dikongsikan telah memberi inspirasi serta motivasi kepada para hadirin.

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung turut berpeluang melawat pameran “Yang Terawal di UKM dan Kenangan Kampus Sabah”. Pameran tersebut mengetengahkan pelbagai artifak bersejarah termasuk peralatan pejabat klasik seperti telefon dan mesin perakam waktu, jubah akademik, kad kampus serta bahan-bahan yang merakam sejarah perkembangan universiti.

Antara bahan yang paling mencuri perhatian ialah bingkai tandatangan terakhir kakitangan sempena penutupan UKM Kampus Sabah, yang membangkitkan nostalgia dan rasa sebak dalam kalangan pengunjung. Buat julung kalinya juga, Perpustakaan UKM menampilkan Koleksi Peribadi Milik Allahyarhamah Puan Sri Sohair Abdel Moneim Sery, sekali gus memberi peluang kepada warga universiti menelusuri koleksi berharga yang mempunyai nilai sejarah dan intelektual yang tinggi.



Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya memeriahkan sambutan Hari Arkib Antarabangsa dan Hari Pustakawan Malaysia 2026, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi perpustakaan, mempromosikan kepentingan pemeliharaan warisan dokumentari serta menyemai penghargaan terhadap sejarah dan memori institusi dalam kalangan warga universiti.

Oleh : Ruzita Kamis
Penolong Ketua Pustakawan





Tuesday, 19 May 2026

Masjid UKM

 



Masjid Universiti ini telah dibina di atas tapak seluas dua hektar. Pembinaannya dimulakan pada 16 Mac 1979 dengan kos berjumlah RM 5.1 juta, sebahagian dananya disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi. Pihak kontraktor telah menyerahkan secara rasmi kepada pihak UKM pada hari Rabu 14 April 1982 dan masjid ini mula digunakan pada hari Jumaat 16 April 1982.


Reka bentuk masjid ini diilhamkan oleh Encik Abdullah Bakri, bekas Pengarah Unit Pembangunan, UKM. Bangunan masjid ini juga dikelilingi oleh enam buah menara dan sebuah menara besar setinggi 6,666 sentimeter (simbolik dari 6,666 ayat AI-Quran) hasil cetusan ilham oleh Tun Syed Nasir, bekas Pro-Canselor UKM. Bangunan Masjid tiga tingkat ini mempunyai keluasan 25,713.41 meter persegi (74,500 kaki persegi) dan boleh menampung jemaah seramai 5,000 orang dalam satu masa.






Bangunan masjid ini terdiri dari 3 tingkat iaitu di aras satu mempunyai sebuah dewan solat, pejabat pentadbiran Pusat Islam UKM, tempat wudhu (lelaki dan wanita), tandas (lelaki dan wanita), sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik rehat imam dan bilal, tiga buah bilik seminar serta sebuah bilik pengurusan jenazah. Di aras dua mempunyai dewan solat, sebuah Kutub Khanah dan sebuah bilik tetamu (VIP).


Manakala di aras tiga pula mempunyai dewan solat wanita, bilik studio dan dua tempat wudhu. Persekitaran masjid mempunyai enam buah pondok wakaf, sebuah dapur (termasuk bilik mandi dan tandas), dua buah tempat wudhu di luar bangunan masjid serta terdapat lebih kurang 300 lot tempat letak kereta.


Sumber : 

  1. Laporan Pembangunan Fizikal Mesyuarat Jumaat Kedia 1980

  2. Mohd Ali Kamaruddin, 1981 UKM ; Sejarah Penubuhan

Prof. ChM. Dr. Yang Farina Abdul Aziz

 

Prof. ChM. Dr. Yang Farina Abdul Aziz

Yang Farina Abdul Aziz dilahirkan pada 9 November 1962 di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan. Beliau dibesarkan di Kuala Krai, Kelantan sehingga 1964 apabila bapa beliau seorang guru dipindahkan ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Malim, Perak. Dewan Suluh Budiman menjadi gelanggang untuk beliau bermain dan menyaksikan pementasan ulung Bukan Lalang Ditiup Angin yang meninggalkan kenangan manis yang mendalam dalam dirinya. Alam persekolahan beliau bermula di Methodist English School, Tanjong Malim sehingga Tingkatan 2 sebelum berpindah ke Senior Methodist Girls' School, Kuala Lumpur.

Pada 1979, beliau ditawarkan biasiswa MARA untuk melanjutkan pelajaran A-level di Koleg Aston, Wrexham, Wales, United Kingdom. Beliau memperoleh ijazah Bachelor of Science (Honours) dalam bidang Kimia daripada The University of Manchester pada tahun 1984 sebelum meneruskan pengajian peringkat PhD di The University of Reading pada 1985. Beliau dianugerahkan ijazah PhD tiga tahun kemudian dan melaporkan diri sebagai pensyarah di UKM pada 23 Disember 1988. Yang Farina adalah Juruaudit Persekitaran ISO 14000 bertauliah. Memperoleh Diploma Penterjemahan pada 1992.

Kerjaya Yang Farina bermula dengan lantikan beliau sebagai Pensyarah di Jabatan Kimia pada Januari 1989. Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada 1995 dan seterusnya Profesor pada 2005. Yang Farina turut memberi khidmat sebagai pentadbir bermula dengan Penyelaras Program Teknologi Kimia pada 1998 sehingga Fakulti Sains Fizik dan Gunaan distruktur semula menjadi Fakulti Sains dan Teknologi pada 1999. Sekembali daripada sabatikal kedua beliau pada 2002 Yang Farina dilantik Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa (PUSPA). Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah, PUSPA, UKM bermula pada 2005 sehingga 2007. Yang Farina dilantik sebagai Ketua, Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR) pada 2010.

Bidang kepakaran Yang Farina adalah kimia takorganik. khusus kepada peranan ion logam dalam sistem biologi. Beliau giat memperoleh geran penyelidikan bukan sahaja daripada dana aliran utama seperti MOSTI dan MOHE malah daripada syarikat luar. Penyelidikan beliau dalam bidang kimia tak organik telah diterbitkan dalam lebih 100 makalah meliputi jurnal antarabangsa dan kebangsaan yang sebahagian besar dalam jurnal berimpak. Penglibatan Yang Farina dalam bidang penyelidikan kimia takorganik turut menyaksikan beliau sering diundang sebagai penceramah jemputan. Yang Farina adalah juga pewasit beberapa jurnal dan bermula pada 2009 beliau menjadi pewasit untuk Journal of Applied Organometallic Chemistry, terbitan John Wiley and Sons.

Dalam pertubuhan nasional, Yang Farina menganggotai Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan Kimia, Institut Kimia Malaysia mulai 1995 hingga 2008 dan amat aktif menganjurkan bengkel keselamatan kimia khususnya di industri dan sekolah. Yang Farina dilantik oleh SIRIM sejak 1995 sehingga 2010 untuk menerbitkan Piawaian Malaysia (Malaysian Standards) berkaitan industri cat dan varnis. Beliau adalah ahli kumpulan yang telah mengasaskan Malaysian Analytical Sciences Society. Di peringkat antarabangsa beliau adalah ahli International Union of Crystallographers. Yang Farina turut bergiat aktif dalam mengetengahkan isu masyarakat melalui penulisan di dalam akhbar, blog dan Facebook serta penampilan dalam temu ramah bersama media siaran. Melalui jaringan sosial Yang Farina dan rakan-rakan sedang berusaha mengintegrasi masyarakat melalui Voices of Peace, Conscience and Reason. Beliau dilantik menjadi Anggota Majlis Pemikir dan Pemandu Persatuan Orang Kota Bharu (POKB). Yang Farina juga adalah Presiden Protem, Methodist English School Alumni, Tanjong Malim (MESA).

Yang Farina juga tidak asing dengan isu pengantarabangsaan pengajian tinggi. Beliau dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengetuai kumpulan pemikir teras Pengantarabangsaan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020. Sehubungan itu, beliau sering diundang untuk memberi ceramah dan berkongsi pengalaman dalam mempertingkatkan lagi agenda pengantarabangsaan di universiti tempatan. Beliau mengetuai Kumpulan Penyelidikan Penghargaan dan Pengiktirafan Akademia dan terlibat dalam melaksanakan projek tajaan KPT, Establishment of Branch Campus serta juga Kajian Pelajar Antarabangsa Di Malaysia. Yang Farina telah menjayakan projek University Cooperation for Internationalisation (UNCOFIN) biayaan Kesatuan Eropah (EU) yang melibatkan 11 universiti di EU dan ASEAN. Beliau turut meyumbang penulisan bab dalam buku Globalisation and Tertiary Education in the Asia Pacific, The Changing Nature of a Dynamic Market terbitan APRU, PECC dan World Scientific serta juga Globalisation and Internationalisation of Higher Education in Malaysia terbitan Penerbit USM. Yang Farina telah dilantik ke dalam Majlis Institut Kimia Malaysia bermula Mac 2010. Pada Jan 2011 beliau telah dilantik sebagai Associate, Academy of Sciences, Malaysia.

Beliau bukanlah calang-calang pensyarah; selain terkenal dengan rekod pendakian ke puncak Mount Kilimanjaro, beliau juga terus aktif menyumbang dalam dunia akademik dan profesional walaupun telah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2022 selepas berkhidmat sejak tahun 1984. 

Beliau memegang jawatan Naib Presiden Institut Kimia Malaysia, merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, serta pernah dilantik sebagai Ahli Titular Bahagian Kimia Tak Organik International Union of Pure and Applied Chemistry bagi tempoh 1 Januari 2024 dan berakhir pada Disember 2025. 

Sumber : Syarahan Perdana Profesor, 2011, Commonwealth Chemistry Congress - Abstract book 2025








Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan


Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan Dekan Pertama Fakulti Farmasi


Ibrahim bin Jantan dilahirkan di Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka pada 1958. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sembawang, Singapura, Sekolah Rendah Masjid Tanah, Sekolah Menengah Masjid Tanah, Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang dan Sekolah Tinggi Melaka. Selepas itu dengan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam beliau melanjutkan pengajian ke University of Mansoura, Egypt dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Farmasi, (kepujian) pada 1981.


Sekembalinya ke tanah air beliau bertugas sebagai ahli farmasi pelatih selama setahun di Hospital Seremban sebelum didaftarkan sebagai ahli farmasi. Oleh kerana berminat untuk mendalami ilmu dalam kimia ubatan beliau memohon biasiswa JPA dan berjaya meneruskan pengajian di University of Minnesota, Amerika Syarikat. Setelah mendapat Ijazah Sarjana Sains (Kimia Ubatan) pada 1985 beliau ditawarkan berkhidmat dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai pegawai penyelidik dalam tumbuhan ubatan. Semasa berkhidmat di FRIM beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di Universiti Malaya dan pada 1993 mendapat Ph.D dalam bidang kimia sebatian semula jadi.
Semasa berkhidmat di FRIM Dr. Ibrahim menerima pelbagai anugerah dan mendapat latihan dalam penyelidikan tumbuhan ubatan menerusi sangkutan sebagai research fellow di Tsukuba Forestry and Forest Products Research Institute, Jepun, anjuran JICA (1988); Sttingbourne Research Institute, Shell Research Limited, UK, anjuran UNDP (1989); University of Strathclyde, di bawah program Chevening, UK (1991); Natural Resources Institute, Catham, UK, anjuran Overseas Development Agency (ODA) (1992); dan Natural Resources Research Institute, Seoul National University, anjuran Korean Scientific and Technological Foundation (1996). Setelah genap 10 tahun berkhidmat di FRIM. pada 1 Oktober 1996 beliau memulakan perkhidmatannya di UKM dan dilantik terus ke jawatan Profesor Madya. Pada April 2002, beliau dilantik ke jawatan Profesor dalam bidang kimia ubatan dan sebatian semula jadi. Selepas dua tahun di UKM, Dr. Ibrahim diberi tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Farmasi (1998-2007), kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSKB (2007-2008) dan kini sebagai Dekan Fakulti Farmasi. Semasa menjadi Ketua Jabatan Farmasi beliau bertindak sebagai Ketua Projek program CICHE untuk membangunkan program sarjana muda farmasi dan sarjana farmasi klinikal di UKM menerusi kerjasama dengan beberapa buah universiti di United Kingdom. Beliau juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Sebatian Semulajadi Malaysia, Institut Kimia Malaysia dan Persatuan Farmasi Malaysia.


Profesor Dr. Ibrahim aktif dalam penyelidikan pelbagai aspek tumbuhan ubatan; pengasingan dan penentuan struktur sebatian aktif, analisis kualitatif dan kuantitatif minyak pati, penentuan aktiviti biologi dan analisis struktur-aktiviti (antiplatelet, perencatan ikatan PAF dengan reseptor, antimikrob dan insektisid). Beliau telah menghasilkan 100 penerbitan dalam jurnal, 64 kertas persidangan, 3 bab dalam buku dan 1 paten inovasi. Beliau pernah memenangi anugerah inovasi MINDEX (1991), anugerah penyelidikan MTDC (1994), anugerah rekacipta FRIM (1993), anugerah penerbitan FRIM (1997), penyelidik kanan FSKB (2005), anugerah inovasi ITEX (2007), ahli Sidang Pengarang UKM (2003) menjadi ketua editor pertama Jurnal Sains Kesihatan Malaysia (2003-2006), editor Journal of Tropical Medicinal Plants dan Asian Coordinating Group for Chemistry and Chemical Research Communication dan pengadil artikel dalam banyak jurnal antarabangsa.


Kesarjanaan Felo Penyelidik Utama INBIOSIS, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Jantan turut diiktiraf sebagai Top 2% Saintis  Dunia oleh Elsevier (Stanford University) untuk tiga tahun berturut-turut dari tahun 2023 hingga kini.

  • Sumber:
    • Syarahan Perdana Profesor,2008, Portal Berita Rasmi UKM-INBIOSIS 20 Tahun Melangkaui Zaman, 2025.


UKM Varsiti Kita : Dari Jalan Pantai


Program “UKM Varsiti Kita : Dari Jalan Pantai ke Puncak Bangi” Sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan UKM ke 56

Oleh : Ruzita Kamis



Pada 18 Mei 2026, Bahagian Pengurusan Memori Korporat UKM, Perpustakaan Tun Seri Lanang telah menganjurkan program “UKM Varsiti Kita: Dari Jalan Pantai ke Puncak Bangi” bersempena sambutan ulang tahun ke-56 penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Perpustakaan UKM. Program ini terbuka kepada 30 orang kakitangan Perpustakaan UKM yang memulakan perkhidmatan dalam tempoh 2024 hingga 2026.

Program ini bertujuan memupuk semangat kekitaan serta meningkatkan kesedaran warga perpustakaan terhadap identiti dan warisan UKM. Melalui pengisian yang disusun, para peserta dibawa menelusuri perjalanan sejarah UKM bermula daripada penubuhannya di Jalan Pantai sehingga berkembang megah di Puncak Bangi, sekali gus menyemai rasa bangga dan penghargaan terhadap sejarah perkembangan universiti.

Program sehari ini dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu oleh En. Yazid Abzal Khan bertajuk “Sejarah Pembangunan dan Perkembangan Kampus UKM”, diikuti dengan lawatan lapangan ke Muzium Warisan Akademik dan Galeri Tuanku Canselor. Sesi ini memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai sejarah pembangunan fizikal kampus serta legasi yang telah dibina oleh generasi terdahulu.

Peserta Program bergambar di hadapan Galeri Tuanku Canselor

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan aktiviti berbentuk jejak eksplorasi sebagai medium pembelajaran interaktif. Para peserta bergerak secara berkumpulan ke beberapa checkpoint yang telah ditetapkan bagi mengikuti pelbagai pengisian menarik, antaranya :

  • Perpindahan PTSL dari Lembah Pantai ke Puncak Bangi
  • Mengenali Tun Seri Lanang
  • Apresiasi Sastera melalui sajak “Perpustakaan Tun Seri Lanang”
  • Trivia Perpustakaan
  • Evolusi ICT: Dari DOBIS ke KOHA,
  • Koleksi Pengasas UKM

Peserta sedang melengkapkan puzzle "Bangunan Sejarah PTSL di Lembah Pantai"



Peserta sedang menjawab kuiz online "Evolusi ICT Perpustakaan UKM"

Penganjuran program ini berjaya menyemai rasa bangga, cinta dan jati diri dalam kalangan peserta, sekali gus meningkatkan penghargaan mereka terhadap sejarah serta perjuangan yang telah membentuk universiti ini sepanjang 56 tahun penubuhannya. Alhamdulillah, rata-rata peserta menunjukkan minat yang sangat baik dan teruja mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. Program ini diharap akan terus menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman sejarah institusi serta memupuk semangat kecintaan terhadap UKM dalam kalangan warga perpustakaan.



Friday, 15 May 2026

Bendahari

 

Setelah lebih 50 tahun kewujudan Jabatan Bendahari, seramai 9 orang Bendahari telah dilantik menerajui pentadbirannya. Kini, Jabatan ini diterajui oleh Bendahari selaku Ketua Jabatan dan dibantu oleh tiga orang Timbalan Bendahari di bawah portfolio Strategik, Operasi dan Kampus Kuala Lumpur serta 194 orang kakitangan P&P dan kakitangan sokongan pelbagai peringkat.

Dato' (Dr.) Megat Abdul Rahman Bin Megat Ahmad

1970 - 1973



Encik Ashaari Bin Ayub

1973 - 1974



Datuk Ishak Bin Imam Abas

1975 - 1978



Tuan Haji Che Omar Bin Ahmad

1978 - 1999



Dato' Haji Mohd Abd Rashid Mohd Fadzil

1999 - 2015



Hjh Khalijah Binti Haji Bakar
2015 - 2018



Encik Mokshin Bin Tumin

2018 - 2019

(Memangku Tugas Bendahari)




Puan Norini Bin Mohamad

2019 - 2022



Tuan Haji Mohd Azli Bin Mohd Kasirun
2022 - Kini

Senarai Pendaftar UKM

Jabatan Pendaftar merupakan satu jabatan yang diwujudkan sejak penubuhan UKM yang bertanggungjawab dalam menguruskan sumber manusia, akademik pelajar, kemudahan am dan keselamatan Universiti. Pada tahun 2011, Jabatan Pendaftar telah menstrukturkan semula bahagian dan unit di bawahnya mengikut fungsi dan tanggungjawab untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian. Kini, Jabatan Pendaftar terbahagi kepada empat (4) bahagian iaitu Pejabat Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Pentadbiran dan Kemudahan dan Bahagian Keselamatan. Jabatan Pendaftar telah diketuai oleh sebelas orang Pendaftar sejak penubuhannya pada tahun 1970.

SENARAI PENDAFTAR DARI TAHUN 1970 HINGGA KINI​



YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud
2 Januari 2025 hingga kini


YBhg. Dato' Dr. Syed Kamarudin Hj. Sadakkuthulla
3 Februari 2022 hingga 20 Mei 2024


YBhg. Dr. Hjh Ina Md Yasin
1 Ogos 2019 - 10 Disember 2021



YBrs. Tuan Haji Abd Razak Hussin
1 Jun 2016 - 31 Mei 2019


YBrs. Puan Hjh. Asmahan Musa
11 Jun 2013 - 27 November 2015


YBrs. Tuan Haji Ab. Aziz Othman
1 Januari 2007 - 1 Disember 2012


YBhg. Datuk Taip Abu
9 Jun 2004 - 31 Disember 2006


YBhg. Datuk Basir Elon
25 Oktober 1996 - 8 Jun 2004


YBrs. Encik Baharudin Hj Alang Ishak
15 Disember 1982 - 24 September 1996

YBhg. Prof. Dato' Sri Dr. Syed Arabi Idid
25 Julai 1978 - 1 Disember 1981


YBrs. Encik Mohd Ghadzali Ahmad
1 April 1974 - 23 Julai 1978


YBrs. Encik Abdul Rahim Jalal
27 Januari 1972 - 24 Januari 1974


YBhg. Tun Abdullah Hj Mohd Salleh
23 Mei 1970 - 1 Januari 1972

























Wednesday, 13 May 2026

LAKARAN MEMORI KORPORAT UKM: WAWANCARA SEJARAH LISAN BERSAMA PROF. DING CHOO MING DAN EN. ISMAIL JUHAIL

Lakaran Memori Korporat UKM: Wawancara Sejarah Lisan Bersama Prof. Ding Choo Ming dan Encik. Ismail Juhail

Oleh Ruzita Kamis

Bangi, 6 Mei 2026 – Unit Arkib dan Koleksi Khas, Perpustakaan Tun Seri Lanang telah berjaya menganjurkan program wawancara sejarah lisan sebagai usaha mendokumentasikan memori korporat dan warisan institusi Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh rekod sejarah universiti melalui pengumpulan koleksi peribadi mantan kakitangan serta rakaman pengalaman mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Program ini dibahagikan kepada dua sesi utama yang menampilkan dua tokoh daripada latar perkhidmatan yang berbeza, namun masing-masing meninggalkan kesan besar terhadap pembangunan universiti.

Sesi 1: Prof. Ding Choo Ming – Dari Penyelaras IBKKM ke Ketua Koleksi Asia Tenggara

Sesi pertama menelusuri perjalanan intelektual Prof. Ding Choo Ming, seorang tokoh akademik dan kepustakawanan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ilmu di UKM.

Beliau menyertai UKM pada 1 Jun 1972, ketika universiti masih beroperasi di kampus sementara di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, dengan memulakan kerjaya sebagai Pembantu Perpustakaan. Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah berkhidmat sebagai Penyelaras di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), dengan peranan penting dalam memperkukuh penyelidikan serta pengurusan ilmu berkaitan Alam Melayu.

Kemuncak kerjayanya ialah sebagai Ketua Koleksi Asia Tenggara, satu jawatan strategik yang menuntut visi besar dalam membangunkan koleksi serantau yang komprehensif. Beliau turut memainkan peranan penting dalam menangani isu pengaksesan bahan pengajian Melayu, pembangunan makmal mikrofis bagi menyelamatkan manuskrip lama, serta pembentangan pelbagai kertas kerja di peringkat antarabangsa berkaitan kepustakawanan Orientalis.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah universiti terletak pada kelengkapan koleksi ilmu tempatan yang menjadi “jantung ilmu” kepada penyelidikan dan pembangunan akademik negara.






Sesi 2: Dari Tukang Kebun ke Pemandu – Kisah En. Ismail Hj. Juahil

Sesi kedua menyelami kisah  En. Ismail Hj. Juahil, antara kakitangan terawal yang menyaksikan sendiri sejarah awal penubuhan UKM di Lembah Pantai sebelum perpindahan ke kampus induk Bangi.

Beliau memulakan kerjaya sebagai tukang kebun di Kolej Islam Malaya sebelum diberi kepercayaan memegang tanggungjawab sebagai pemandu universiti. Perjalanan kerjaya ini memperlihatkan ketekunan dan kesetiaan beliau dalam menyokong kelancaran operasi universiti pada era awal pembangunannya.

Satu fakta sejarah yang menarik ialah beliau merupakan antara kakitangan yang diserap terus daripada Kolej Islam Malaya tanpa melalui proses temu duga rasmi.

Dalam sesi wawancara, Beliau berkongsi kisah-kisah menarik tentang suasana Bandar Baru Bangi yang masih dalam fasa pembangunan, kewujudan warung di bawah jambatan yang menjadi tempat tumpuan warga kampus, serta pelbagai kisah mistik yang mewarnai pengalaman kehidupan kampus pada era awal.

Antara perkongsian yang paling mencuri perhatian ialah penjelasan beliau terhadap kisah lagenda “pemindahan warga halus” dari kampus UKM ke tangga Bukit Larut, sekali gus menjawab persoalan yang sekian lama menjadi cerita lisan dalam kalangan warga universiti.

Program ini membuktikan bahawa sejarah universiti bukan sahaja tercatat melalui dokumen rasmi, tetapi turut hidup melalui pengalaman, kenangan dan naratif lisan individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan institusi.

Usaha seperti ini amat signifikan dalam memastikan memori korporat Universiti Kebangsaan Malaysia terus terpelihara sebagai khazanah ilmu untuk generasi akan datang.







Tuesday, 12 May 2026

Surat Tawaran Masuk Universiti Kebangsaan Malaysia

 

(Siti Khadijah Othman, 12 Mei 2026: |"Kenang-kenangan (UKM: 1978-1982)").

Pada era awal penubuhan UKM, tawaran kemasukan kepada pelajar disampaikan melalui telegram, mencerminkan kaedah komunikasi pantas yang digunakan pada waktu itu sebelum kemunculan teknologi digital.

Pada waktu itu semua Fakulti UKM di Kuala Lumpur baru berpindah ke Kampus yang lebih besar di Bangi kecuali Fakulti Sains dan Fakulti Perubatan. Mahasiswa menjalani minggu orientasi bersama-sama mahasiswa baru yang lain di Bangi.


Sistem Kad Perakam Waktu UKM

 



Mesin kad perakam waktu ini merupakan sistem awal yang digunakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merekod kehadiran kakitangan.

Diperkenalkan pada Ogos 1978, Perpustakaan Tun Seri Lanang merupakan  jabatan pertama yang melaksanakannya bagi merekod kehadiran kerja seramai 130 orang kakitangan.
Ketika itu, waktu operasi perpustakaan adalah dari 8.15 pagi hingga 11.00 malam, mencerminkan komitmen perkhidmatan yang panjang kepada warga kampus.

Sistem ini kemudiannya diperluaskan dan dikuatkuasakan di seluruh UKM pada 1 September 1982, meliputi semua warga universiti kecuali kakitangan akademik.




Pembangunan Sumber Manusia Perpustakaan UKM : Sepuluh tahun pertama

 Pembangunan Sumber Manusia Perpustakaan UKM : Sepuluh tahun pertama

Oleh: 
Harith Faruqi Sidek
Bahagian Pengurusan Memori Korporat
Perpustakaan Tun Seri Lanang

Laporan Jawatankuasa penaja yang disediakan pada tahun 1969 menetapkan, ketika Perpustakaan UKM ditubuhkan, ia perlu mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) orang kakitangan yang terlatih serta mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang Sains Perpustakaan. Enam pegawai perintis ini akan bertindak sebagai Pengarah Perkhidmatan atau Ketua Pustakawan, Ketua Pengkatalog, Ketua Bahagian Pemilikan (kini disebut Perolehan) dan 3 jawatan sebagai pengkatalog. Pegawai perintis ini juga akan berfungsi sebagai pembimbing kepada pegawai baru yang dilantik sementara mereka memperolehi kelayakan ikhtisas ketika dalam perkhidmatan, iaitu melalui skim pengajian lanjutan sepertimana yang dirancang oleh Universiti Kebangsaan bagi kakitangan akademik. 

Perancangan kakitangan pelaksana bagi perpustakaan juga diambilkira, jawatankuasa penaja mencadangkan 13 kakitangan pelaksana perlu disediakan bagi perpustakaan pada ketika ia ditubuhkan, pecahan jawatan yang dimaksudkan juga termasuk seorang jurutrengkas yang akan membantu tugas pentadbiran Ketua Pustakawan. Dibahagian perkhidmatan pembaca pula akan diletakkan dua orang atendan pejabat, sementara Bahagian Pengkatalogan pada peringkat awal ini akan mempunyai tiga orang kerani dan dua orang atendan pejabat. Bahagian Perolehan (dulunya Pemilikan) akan disediakan seorang pembantu pegawai perolehan, tiga orang kerani dan seorang atendan pejabat. Jawatankuasa penaja juga meletakkan unjuran perkembangan kakitangan perpustakaan bagi lima tahun pertama. Menjelang tahun 1975, Perpustakaan UKM perlu mempunyai 16 orang pegawai ikhtisas atau Pustakawan dan 43 orang kakitangan pelaksana.


Pencarian kakitangan awal

Berdasarkan Buku Log Perkhidmatan Kakitangan tahun 1970, 10 kakitangan perpustakaan yang terawal mengisi perjawatan di UKM mengikut Nombor Pekerja ialah Kamarudin Alimat (Nombor Pekerja 18), Rukiah Kamaruddin (Nombor Pekerja 21), Tuan Haji Abdul Aziz Sheikh Mydin (Nombor Pekerja 22), Shamsiah Ismail (Nombor Pekerja 30), Ho Chooi Hon (Nombor Pekerja 36), Zawiyah Mahmud (Nombor Pekerja 64), Mohd Tahir Alang Abas ( Nombor Pekerja 65), Mohd Amin Osman (Nombor Pekerja 67), Khairul Bariah Osman (Nombor Pekerja 73) dan Masnah Omar (Nombor Pekerja 77). Pegawai pengurusan Perpustakaan UKM yang terawal dilantik ialah Ketua Pustakawan, Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin, dan Penolong Pustakawan, Ho Chooi Hon. Sharifah Naema Syed Mansor ialah satu-satunya Pembantu Perpustakaan dengan kelulusan ikhtisas dalam bidang kepustakawanan, sementara lima lagi Pembantu Perpustakaan terawal tanpa kelulusan ikhtisas ialah Hapipah Mubin, Galoh Zakiah Abdul Malik, Embok Chik Hussein, Norsham Muslim dan Zainal Azman Rajudin. Perpustakaan juga mempunyai seorang Pembantu Perpustakaan Muda, iaitu Ali Haji Ahmad. 

Sebagai sebuah perpustakaan akademik yang sedang berada diperingkat awal penubuhannya, antara cabaran yang dihadapi ialah kekurangan pustakawan terlatih untuk melaksanakan perkhidmatan asas sebuah perpustakaan. Pada ketika itu perpustakaan UKM hanya mempunyai dua orang pustakawan yang mempunyai kelayakan ikhtisas sebagai seorang pustakawan, mereka ialah Tuan Haji Abdul Aziz Mydin dan Ho Chooi Hon. Mereka memperolehi ijazah dalam bidang kepustakawanan ketika dalam perkhidmatan di Perpustakaan Universiti Malaya, sementara lima lagi pembantu perpustakaan mempunyai kelulusan ikhtisas dalam bidang lain, mereka ialah Zainal Azman Rajudin, Hapipah Mubin, Galoh Zakiah, Embok Chik Hussein dan Norsham Muslim. Pada tahun 1971, perpustakaan UKM berjaya mendapatkan seorang pustakawan terlatih dari Amerika Syarikat yang akan berkhidmat dibawah program sukarelawan United States Peace Corps (USPC), iaitu Robin Barker, beliau kemudiannya disertai oleh Donald Clay Johnson dan Rebecca Padgett yang juga dibawah program USPC. Donald Johnson yang pada ketika itu berusia 31 tahun merupakan bekas pustakawan di Northern Illinois University dan Yale University, sementara Rebecca Padgett yang berusia 29 tahun pada ketika itu pernah berkhidmat sebagai pustakawan dan pensyarah dalam bidang Sains Perpustakaan di University of California. 

Kehadiran pustakawan luar negara dibawah program United States Peace Corps (USPC) di UKM adalah untuk memberi bimbingan dan latihan kepada kakitangan perpustakaan UKM, selain mengisi jawatan Penolong Pustakawan. Donald Johnson telah diamanahkan untuk mengetuai bahagian perkhidmatan pelanggan, sementara Rebecca Padgett pula mengetuai bahagian katalog.  Perkhidmatan Robin Barker di Perpustakaan UKM berakhir pada akhir 1973, diikuti Donald Johnson pada bulan November 1974, sementara perkhidmatan Rebeccca Padgett pula berakhir pada bulan Mac 1975, kehadiran kedua sukarelawan United States Peace Corps (USPC) ini ternyata memberi impak yang besar dalam pembangunan Perpustakaan UKM, Robin Barker misalannya telah dilantik sebagai Penolong Bendahari Persatuan Perpustakaan Malaysia bagi sesi 1972/1973, sementara Rebecca Padgett pula telah berjaya menyelesaikan masalah katalog tertunggak apabila beliau dengan kakitangan bahagian katalog telah berjaya mengkatalog bahan dengan purata 300 bahan seorang. Antara Pembantu Pustakawan bahagian katalog yang bertugas bersama Rebecca Padgett pada ketika itu ialah Embok Chik Hussein, Nora Karen Iqbal, Zainab Ab. Kader, Thuraiyen Nadzrah Mohd Ghazali, Rogayah M. Yassin, Tusiman Mingun dan Jamilah Ahmad. 

Pada tahun 1975, Perpustakaan UKM berjaya mendapat 4 orang lagi Pustakawan sukarelawan, iaitu Sue Anne Manville, Joyce L. Anggio dan Lynne M. Byrne dari United States Peace Corps (USPC) dan Frances Turner dari Australian Volunteer Abroad (AVA). Sue Anne Miller memulakan perkhidmatan sebagai Ketua Cawangan Rujukan dan Latihan, sementara Frances Turner, Joyce L Anggio dan Lynne M. Byrne berkhidmat sebagai pengkatalog dibawah Rebecca Padgett.

Kesimpulannya, pengisian perjawatan perintis Perpustakaan UKM telah berjaya mengemudi organisasi ini melepasi tempoh kritikal 10 tahun pertama dengan jayanya. Kekurangan kakitangan dengan latar pendidikan bidang Sains Perpustakaan juga dapat ditampung dengan adanya kakitangan sukarelawan terlatih dibawah program United States Peace Corps (USPC) dan Australian Volunteer Abroad (AVA).

Rujukan:

  • Laporan Kedudukan Perpustakaan pada awal Februari 1975, Perpustakaan UKM.
  • Adibah Amin (23 April 1972) Donald dan Rebecca to train varsity staff. The Straits Times.
  • Buku Log Perkhidmatan Kakitangan 1970, Jabatan Pendaftar, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Laporan Tahunan Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 – 1971
  • Laporan Tahunan Kedua Universiti Kebangsaan Malaysia 1971- 1972