Asal Usul Tapak UKM Universiti Kebangsaan Malaysia " Bukit Puteri"
Kawasan Universiti Kebangsaaan terletak di banjaran bukit. Bukit itu dari segi sejarahnya dikenali dengan panggilan bukit puteri di zaman berlakunya perang saudara di Selangor. Menurut Tuan Haji Hanzah Tok Pawang Mohamad ketika itu berlaku peperangan antara orang kenamaan Kelang, yang dibantu orang Sumatera pada tahun 1869 yang berlangsung hampir 2 bulan. Akibat peperangan tersebut ramai yang melarikan diri kerana ketakutan antaranya Saad Khitib dan rakannya Ali Kasim (Kelang) dan Daimon (Petaling). Merekalah yang mula-mula membuka perkampungan disitu sebelum diterokai orang asli.
Sejarah Dikenali Bukit Puteri
"Rambut Tuan Puteri yang panjang menghurai dan hanyut di sungai disangka oleh Tujuh Perkasa Bugis sebagai akar hanyut...."
Keinginan Raja Kesuma (Orang Asli) ingin memiliki Cik Jainah (Isteri Cik jusoh) yang bersembunyi di bukit. Raja Kesuma telah memerintah 7 Perkasa Bugis mencari tempat persembunyian Cik Jainah. Mereka bersampan menghulu ke Sungai Langat. Ketika menelusuri sungai tersebut, Mereka ternampak satu rimbunan rambut yang menghurai hanyut di hadapan sampan mereka, dan menganggapnya sebagai timbunan akar kayu yang berjuntai hanyut di sungai. Sangkaan mereka ia adalah mayat Cik Jainah, namun ketika usaha mencari mayat Cik Jainah mereka terpandang seorang puteri cantik yang sedang bermandi manda di telok yang berhampiran kaki bukit. Kecantikan puteri telah menimbulkan pergaduhan sesama mereka. Kekecohan ini disedari puteri dan ia melarikan diri dan terus menghilangkan diri. (ghaib dari pandangan).
Puas Perkasa Bugis mencarinya, namun tidak ditemui sebaliknya mereka hanya bertemu pokok kunyit, cili, puding putih serta sebuah kolam yang indah bagaikan sebuah taman bunga.
Kemudian, tersebarlah berita dibukit itu ada seorang puteri yang tersangat cantik dan terkenallah bukit itu dengan panggilan Bukit Puteri.
Universiti Kebangsaan Bukit Puteri Bangi
Penduduk sekitar kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia begitu inginkan universiti dinamakan sebagai Universiti Kebangsaan Bukit Puteri Bangi. Ini kerana ia adalah satu-satunya peristiwa sejarah yang tidak harus dilupakan oleh generasi akan datang. Mungkin Tuan Puteri yang menjelma di bukit itu telah memberi ilham kepada Allahyarham Tuan Abdul Razak untuk memilihnya sebagai tapak UKM.
Sumber : Nadi Bangi September 1988
No comments:
Post a Comment