Monday 9 May 2022

Bicara Tokoh ATMA : Arkeologi Alam Melayu : Impak Kepada Pembangunan Negara

 



Bicara Tokoh ATMA : Arkeologi Alam Melayu : Impak Kepada Pembangunan Negara
Tarikh : 21 April 2022
Penyampai : Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad


Profil Pembentang 

Prof. Madya Dr. Asyaari Bin Muhamad, Berjawatan Timbalan Pengarah dan Fellow Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Taman Melayu Pakar dalam bidang Arkeologi Darat dan Arkeologi Maritim. Pernah dilantik sebagai pakar rujuk dalam Jawatankuasa Penilaian Objek. Tapak Warisan Arkeologi dan Maritim oleh Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia dari tahun 2014-2021.

Banyak melakukan penyelidikan berhubung dengan bidang arkeologi sejak tahun 1996 hingga sekarang. Menghasilkan beberapa buah penulisan buku dan pernah memenangi Anugerah Buku Cemerlang 2019 di peringkat kebangsaan. Banyak menulis dalam artikel berhubung dengan pakar bidang seperti dalam dalam Jurnal tempatan dan Antarabangsa. Menghadiri dan membentang kertas kerja di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sejak 1998 hingga 2020.

Sinopsis

Bicara tokoh ini berkisarkan tentang pengalaman tokoh sepanjang penglibatan beliau dalam penyelidikan berhubung dengan bidang arkeologi.  Arkeologi adalah kajian mengenai budaya material yang ditinggalkan oleh masyarakat masa lalu dengan menggunakan teknik seperti ekskavasi, salvaj, survei dan analisis untuk mendapatkan data. Bukti material merangkumi benda-benda fizikal yang dibuat atau digunakan sesuatu masyakarat dari pakaian hingga ke bangunan. Oleh itu, arkeologi adalah aspek yang mengkaji lapisan budaya berdasarkan bukti jumpaan dan sejarah.

Sebelum kajian dijalankan,  penyelidik akan membuat sedikit literature review berdasarkan sumber cerita ataupun kesan sejarah, selain itu ia turut disokong dengan penggunaan  teknologi moden seperti machine detector, GPR, DIS, Drone, satelit dan sebagainya. Kajian yang dijalankan adalah mendapat kebenaran Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Akta ini  merupakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebudayaan di bawah air, rizab arkeologi dan relik arkeologi.

Tokoh turut menekankan kepentingan artifak kepada masyarakat, Berdasarkan pengalaman beliau, rata-rata apabila orang awam apabila mengetahui benda tersebut adalah lama dan bernilai, mereka akan simpan dan sorok. Jika bahan tersebut diserahkan, agensi akan memberikan saguhati kepada pemilik serta menasihati mereka supaya menyerahkannya kepada muzium.

Beliau turut berpandangan bidang ini secara tidak langsung merupakan salah satu produk pelancongan negara dan dapat membantu perkembangan ekonomi masyarakat setempat. Contohnya di Angkor Wat dan Borobudur, sebelum covid 19, tiket pelawat mencecah harga 38 USD seorang dan kawasan ini merupakan tarikan pelancong yg sangat hebat.

Poster Program

Bidang Arkeologi

Arkeologi adalah kajian purba, ratusan tahun dahulu yang mengambarkan masyarakat lampau. Ia adalah kajian mengenai budaya material yang ditinggalkan oleh masyarakat masa lalu dengan menggunakan teknik seperti ekskavasi, salvaj, survei dan analisis untuk mendapatkan data. Oleh itu, arkeologi adalah aspek yang mengkaji lapisan budaya berdasarkan bukti jumpaan dan sejarah.

Bidang arkeologi maritim sangat meluas, melibatkan semua kajian tentang samudera (ilmu kelautan), baik dari segi aspek penempatannya, teknologi, dari aspek pelayaran, pengaruh agama/pegangan dan sebagainya, dikategori dibawah kelompok arkeologi maritim. 

Arkeologi bawah air - khusus kapal laut / karam di lautan pula  khusus kepada penemuan kapal karam yang berada di dasar laut dan berada di dasar sungai. Selain daripada kapal, jika bercakap isu berkaitan arkeologi maritim ini, pengkajian biasanya memfokuskan  kepada suatu benda seperti kapal, misalnya sejarah pelayaran bergerak dari point mana kemana.


Bagaimana kita tahu kawasan itu ia tinggalan sejarah?

1- Membuat kajian lepas maklumat yang ada kaitan sejarah tempat tersebut.

Penyelidik mendapatkan maklumat daripada arkib ataupun perpustakaan di negara asal dimana kapal itu berada dan mendapatkan data-data dimana sejarah pelayaran tersebut. Sekiranya kita tak dapat kesan, mungkin kita akan namakan kapal itu berdasarkan kawasan atau penemuan yang ada kaitan dengan kapal tersebut. Terdapat beberapa contoh. Misalnya, kajian arkeologi bawah air/maritim sebelum ini: ada beberapa penemuan sama ada penemuan itu dinamakan sebagai tapak ataupun nama kapal. Contohnya, Royal Nanhai dan kapal Desaru. Itu jika di negara Malaysia. Semua nama-nama itu diberi berdasarkan nama kapal atau nama tempat ataupun nama kargo yang dibawa. 

2- Memerhati clu tinggalan artifak/ kawasan pedalaman

Sebelum memulakan pengkajian, pengkaji akan membuat sedikit literature review berdasarkan kajian yang lepas dan mencari maklumat berdasarkan sumber-sumber yang ada kaitan dengan cerita-cerita ataupun kesan-kesan sejarah. Langkah seterusnya apabila kita dapat tahu misalnya di Kelantan. Perlu diketahui latar belakang, sejarah geografi Kelantan. Sebagai arkeologi perlu mengetahui bidang sejarah kerana sedikit sebanyak dapat membantu arkeologi membuat penyelidikan yang lebih sistematik. Kemudian perlu ketahui, zaman mana yang perlu difokuskan kerana bidang arkeologi ini luas. Sama ada sejarah kerajaan awal, sejarah British dan sebagainya. Katakanlah penyelidik itu berminat dengan zaman pra sejarah, jadi dia perlu ke perpustakaan membuat penyelidikan. Di Kelantan, kebiasaannya dari segi informasinya, dari segi kawasan seperti di Gua Musang atau Jeli, terdapatkan informasi batu kapur dan juga gua-gua semula jadi dan kawasan batu lingkungan. Disitu juga merupakan sejarah penyelidikan awal abad 1980-an, apabila penyelidik sudah tahu disitu merupakan kawasan yang berpotensi, maka mereka akan terus pergi ke kawasan itu dan akan membuat tinjauan susulan. Kebiasaannya ahli-ahli pra sejarah itu akan memfokuskan kepada batu, tembikar, sisa makanan, arang, tulang di kawasan permukaan itu sebelum melakukan analisis yang seterusnya.

Dengan syarat kawasan yang ingin digali itu tidak mengalami sebarang gangguan manusia atau haiwan. Contohnya aktiviti pendudukan tempatan yang mencari baja tahi kelawar yang akan membuatkan kawasan yang ingin digali itu rosak. Jika kawasan itu tidak diganggu, ia dianggap kawasan tersebut adalah virgin/ bersih daripada sebarang gangguan ataupun gangguan dari segi natural seperti banjir

3-  Penggunaan teknologi terkini

Oleh kerana perkembangan semasa yang banyak berubah dari segi aspek penggunaan teknologi untuk mengesan tapak pada peringkat awal, banyak membantu disiplin dan bidang. Contohnya darat, penyelidik membuat pemerhatian secara manual pada awal 90-an. Apabila terdapat teknologi canggih, ianya banyak membantu dan memberi petunjuk awal kepada pengkaji untuk tackle kawasan mana yang paling berpotensi untuk dibuat kajian. Contohnya pelbagai alat moden, survey, seperti Machine detector, GPR, satelit, DIS, drone dan sebagainya. Dahulu menggunakan foto udara, menggunakan helikopter untuk mengenalpasti suatu kawasan. Ianya sangat membantu sebagai penentu awal untuk buat kajian arkeologi.


Kajian / Galian perlu mendapat keizinan pihak berautoriti.?

Pada tahap awalnya sebelum jabatan warisan dan muzium dan antikuiti berpecah, pada awalnya kita mempunyai akta 1974. Jadi penyelidik menggunakan akta itu sebagai asas untuk meminta kebenaran kepada ketua pengarah jabatan muzium 1970-an hingga tahun 2005. Apabila jabatan muzium pada waktu itu dipecahkan di bawah agensi Jabatan Warisan Negara dan sejarah tahun 2005 dengan adanya akta baru yang di kuatkuasa daripada akta sebelum ini iaitu akta Warisan Kebangsaan 2005 (akta 645).  Akta itu digunakan sebagai dasar untuk meminta keizinan lesen atau permit sebelum melakukan sebarang pengkajian. Akta warisan kebangsaan ini juga merangkumi warisan ketara, warisan tidak ketara dan warisan semula jadi. Arkeologi ini diletakkan dibawah akta warisan ketara iaitu akta 645 dan digunakan sebagai kajian dan rujukan.


Pentingnya artifak kepada masyarakat?

1- Masyarakat kurang cakna bahan tinggalan sejarah.

Sebahagian masyarakat mereka tidak tahu nilai sejarah, wang ringgit dan warisan. Berdasarkan pengalaman lepas beliau, rata-rata apabila orang awam mengetahui benda tersebut adalah lama dan mereka tahu bernilai, mereka akan simpan dan sorok dan tidak dedah kepada umum serta sedar bahawa adalah ianya adalah salah sekiranya simpan benda tersebut. Pada awal 60-70an, rata-rata penduduk kurang cakna atau peka walhal nilainya amat tinggi dari segi nilai sejarah. Apabila pengkaji cuba untuk meminta maklumat, mereka takut ditangkap walaupun hanya ingin mengambil gambar. Penemuan tersebut penting dan perlu dikongsi kepada masyarakat.

2- Pemberian saguhati kepada penyumbang

Pengkaji akan menasihati dan bertanya, bahan tersebut jumpa dimana dan sebagainya. Mungkin niatnya bukan untuk mencuri dan terkadang tidak sengaja. Sekiranya sengaja, mengikut teori ianya dikira salah. Jika bahan tersebut diserahkan, agensi akan memberikan saguhati kepada pemilik serta menasihati supaya mereka serahkan kepada muzium. Penyumbang tidak boleh tentukan nilai sesuatu penempuan. Pemberian saguhati adalah dikhususkan oleh pihak kerajaan atau agensi mengikut nilai penemuan tersebut.

Sejauh mana bidang ini reliable kepada pembangunan Negara?

Bidang ini jarang diperkata tetapi sering muncul di akhbar-akhbar atau dalam berita media massa. Ianya banyak memberi implikasi dalam beberapa aspek. Bidang arkeologi secara tidak langsung menjadi pemangkin salah satu produk pelancongan negara. Di Malaysia tidak nampak dan tidak kelihatan gah seperti di Angkor Wat dan Borobudur. Sebelum covid, dapatan pelawat tiket untuk seorang sahaja daripada 25 USD kini mencecah 38 USD seorang. Kawasan ini merupakan tarikan pelancong yang sangat hebat. Tidak termasuk dengan perkembangan ekonomi kecil-kecilan seperti jual air, cenderamata dan sebagainya. 

Kesimpulannya, bidang ini boleh memberi nilai tambah terhadap industri pelancongan. Sekiranya kita betul-betul cakna menguruskan untuk masa depan negara, misalnya di Eropah, Asia Timur seperti Jepun dan Korea, setiap pembangunan fizikal, mereka mempunyai peruntukan beberapa peratus untuk pasukan arkeologi untuk sebarang pembangunan infrastruktur yang dibina. Tetapi mereka takut nilai sejarah dan warisan lupus hilang akibat pembangunan semasa. Tetapi di negara kita Malaysia, kita ada di bawah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Warisan Negara yang menasihatkan mereka yang ingin membuat pembangunan sama ada penambakan laut, pembinaan bangunaan, LRT dan sebagainya harus membuat kajian awalan. Jadi adanya kajian ini, kita cuba mengimbangkan pembangunan dan memulihara warisan yg ada di negara kita, Malaysia. Kita tidak menentang pembangunan, tetapi biarlah pembangunan ini selari dengan warisan pembangunan di negara kita. 

No comments:

Post a Comment