Tuesday 28 November 2023

Syarahan Tun Ahmad Sarji: Keunggulan Tamadun Islam

Majlis Syarahan Tun Ahmad Sarji Siri Kedua telah berlangsung di Anjung Pro Canselor, Perpustakaan Tun Seri Lanang pada 16 Nov 2023. 

Majlis wacana ilmiah ini mengabadikan nama Allahyarham Tun Ahmad Sarji, seorang negarawan dan figura terbilang dalam  pentadbiran awam negara dan korporat.   Ia adalah syarahan bersiri yang dirancang untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dalam pelbagai bidang khususnya bidang yang pernah diceburi dan diminati oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji.  Bertemakan ‘Keunggulan Tamadun Islam’, majlis ini merupakan anjuran Perpustakaan UKM dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). 

Objektif penganjuran program adalah;

  • Mengingati jasa, sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji di peringkat negara dan antarabangsa. pada masa yang sama memanjangkan waqaf ilmu yang beliau sumbangkan.
  • Berkongsi pengetahuan dan pemikiran  dalam bidang yang diceburi dan diminati.
  • Menjalin kerjasama strategik universiti bersama rakan sinergi.
  • Meningkatkan keterserlahan UKM, khususnya perpustakaan  sebagai hub kepada penciptaan ilmu baharu selain penyebaran dan perkembangan ilmu dan pemikiran kontemporari serta retrospektif.
  • Meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang keunggulan tamadun Islam di Malaysia.


Pada kali ini, syarahan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz. Pemilihan Dato’ Wan kerana beliau merupakan Alumni UKM yang paling rapat dan pernah bekerjasama dengan Almarhum Tun. Ini terbukti syarahannya banyak menumpukan sumbangan besar dan jasa utama Almarhum Tun semasa era beliau menyandang jawatan Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi IKIM sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 28 Ogos 2021.



Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz sedang menyampaikan syarahan
 

Antara jasa Almarhum  yang dikongsi ialah menyediakan panduan pengiklanan di radio IKIM dan menapis iklan di saluran radio termasuk mengangkat  IKIM sebagai satu badan yang mesra dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam.  Almarhum  juga banyak mengeluarkan pekeliling dalam perkhidmatan awam sehingga beliau di gelar Mat Pekeliling.

Dato’ Wan turut berkongsi pengalaman beliau yang berlaku 33 tahun yang lepas, iaitu ketika beliau menguruskan pernikahan anak Almarhum yang sulung di mana beliau mencadangkan supaya  Almarhum sendiri yang menikahkan anaknya tanpa menggunakan khidmat wakil wali. Almarhum tidak memberi reaksi negatif bahkan bersetuju dengan cadangan tersebut. Inilah dikatakan resepi kecemerlangan Almarhum kerana beliau bersedia menerima pandangan dan nasihat orang lain walaupun idea itu adalah daripada kakitangan bawahan. Almarhum bersifat tawaduk dalam ketegasan, mencintai ilmu dan membudayakan membaca. 




Sesi lawatan ke Tapak Pameran

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Dekan Fakulti Pengajian Islam mewakili Naib Canselor, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long; isteri Allahyarham Tun Ahmad Sarji, Toh Puan Sagiyah Salikin serta ahli keluarganya.



Toh Puan Sagiyah Salikin menyumbang koleksi tokoh kepada PTSL


Barisan tetamu VIP yang hadir


Program ini berjaya memberi impak yang besar, antaranya sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji sentiasa dihargai dan diingati terutama sifat kepimpinan dan cintakan ilmu yang dimiliki. Untuk menjadi tokoh hebat sepertinya, kita perlulah membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu dan ulamak.




Sunday 26 November 2023

Koleksi Pengasas UKM dirasmikan

Pengasas UKM merupakan tokoh pejuang yang terlibat secara langsung dalam merancang penubuhan sebuah Universiti Kebangsaan. Gagasan Idea untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pengajian dan keilmuan.

Perjuangan tokoh-tokoh hebat ini tidak pernah pudar sehingga mencapai kejayaan dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 yang beroperasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tokoh yang berada dalam kumpulan ini ialah;

• Profesor Tunku Shamsul Bahrin
• Profesor Syed Husin Ali
• Profesor Abu Bakar Hamid
• Profesor Mohd Ghazali Abdul Rahman
• Datuk Mohd Zain Majid
• Profesor Zainal Abidin Wahid.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka, Perpustakaan UKM mewujudkan Koleksi Khas Pengasas UKM.  Koleksi ini menempatkan bacaan ilmiah milik tokoh yang mengandungi pengetahuan dan pemikiran dalam bidang yang diceburi dan diminati oleh mereka. Pengasas yang telah menyumbangkan koleksi mereka adalah:

  • Dr Syed Husin Ali – sebanyak 5,677 naskah (Majalah, Buku, Surat, Keratan Akhbar, Artikel,laporan, Seminar/bengkel, kertas kerja, memorandum, terbitan, sulit dan umum)
  • Allahyarham Prof Zainal Abidin Abdul Datuk Wahid – 645 naskah (Buku , Risalah / Seminar, Buku, Seminar) dan
  • Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid – 160 naskhah (Majalah dan Buku)

Dalam usaha untuk meningkatkan keunikan dan kepentingan, satu transformasi yang signifikan telah dilakukan pada ruang eksklusif ini. Ruang yang sebelumnya adalah Bilik Senyap Bestari kini telah ditingkatkan menjadi sebuah bilik khas yang dirancang khusus untuk Koleksi Pengasas. Perubahan ini bukan hanya sekadar dari segi estetik, tetapi juga mencerminkan komitmen untuk memberikan penghormatan yang setimpal kepada peranan dan sumbangan pengasas dalam perkembangan UKM.


Kerja-kerja menceriakan dinding Pameran Bilik Koleksi Pengasas


Kerja-kerja menceriakan rak koleksi


Keputusan untuk menaiktaraf ruang kepada satu bilik khas pengasas adalah tindakan strategik yang menonjolkan penghargaan terhadap sejarah dan warisan koleksi. Bilik ini tidak hanya mencerminkan peribadi pengasas, tetapi juga berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk generasi akan datang.  Usaha menceriakan bilik ini dilakukan dengan kerjasama erat warga kerja Arkib & Koleksi Khas, Unit Perkhidmatan Pelanggan dan Muzium.

Bilik Koleksi Pengasas sebelum Perasmian

Pada 8 November 2023 yang lalu, detik bersejarah tercipta apabila bilik koleksi ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak. Majlis ringkas ini dimulai dengan bacaan doa khusus untuk pengasas, diikuti dengan bicara perjuangan tokoh pengasas oleh Encik Mohd Yazid bin Mohd Abzal Khan, Kurator Muzium Warisan Akademik, UKM, dan diakhiri dengan sesi tanda tangan plak.


Warga Arkib & Muzium bergambar kenangan bersama tokoh hebat UKM



Sesi perkongsian kehebatan tokoh kepada semua tetamu yang hadir. 


Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Tuan Haji Abdul Razak Husin Mantan Pendaftar UKM, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Bin Abdul Hamid, Datuk Zainal Izlan Bin Datuk Zainal Abidin, Waris Allahyarham Datuk Zainal Abidin) dan beberapa orang Alumni UKM.

Kempen Derma Koleksi Arkib dan Muzium dilancarkan

 


Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium dilancarkan semasa Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM pada 8 November 2023 yang lalu. Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak.

Kempen ini merupakan satu inisiatif yang julung kali dilaksanakan bagi memberi kesedaran serta menarik lebih ramai lagi yang memiliki bahan-bahan berkaitan UKM untuk disumbangkan kepada Perpustakaan. Inisiatif ini terbuka kepada seluruh komuniti UKM, termasuk warga universiti yang masih berkhidmat, mereka yang telah bersara, alumni UKM, dan juga orang awam.

Bahan-bahan yang boleh didermakan merangkumi gambar, kad pekerja lama, pelekat kenderaan lama, cop jawatan, hasil karya, bahan penyelidikan, anugerah dan pengiktirafan, serta koleksi peribadi lain yang relevan sepanjang mereka berkhidmat di UKM.

Dalam majlis ini Perpustakaan menerima koleksi peribadi milik Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak alumni pertama Fakulti Perubatan UKM, yang menyumbangkan baju korporat, baju sukan dan tali leher UKM.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak bersama koleksinya 

Prof. Asiah Sarji menyumbangkan koleksinya kepada Pengerusi LPU

Selain itu, Prof. Asiah Sarji, Prof Fatimah Abdullah dan Prof Asmah Bee Md. Noor ( Graduan Sulung UKM) turut memberi sumbangan koleksi foto kenangan sepanjang pengajian mereka di UKM, Lembah Pantai pada tahun 1971-1975.

Antara koleksi yang diterima;

Kad Perpustakaan


Koleksi Foto dalam Perpustakaan

Perpustakaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Alumni UKM yang memberi kerjasama yang baik dalam memastikan warisan UKM  kekal  untuk generasi akan datang.