Monday 10 June 2024

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM


Pesara yang hadir ke program Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM


Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM buat julung kalinya telah diadakan pada tanggal 6 Jun 2024 yang juga merupakan Hari Pustakawan Malaysia. Bersempena dengan hari yang sinonim dengan profesion kepustakawanan ini, Perpustakaan UKM meraikan dengan pengisian aktiviti yang menjurus kepada sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada mantan pustakawan menerusi Forum Memoir Pustakawan UKM. Panel forum ini terdiri daripada Puan Miskiah Ahmad (pengkisahan Perpustakaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)), Puan Maimunah Kadir (pengkisahan Perpustakaan Undang-Undang) Puan Aripah Mohamed ((pengkisahan Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu) dan Puan Ramlah Hj Khalid ((pengkisahan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL)). Moderator forum adalah Encik Harith Faruqi Sidek, Timbalan Ketua Pustakawan, PTSL mengupas perjuangan kesemua mantan untuk membangunkan koleksi perpustakaan di awal penubuhan sehingga kini menjadi khazanah ilmu yang bernilai. Kesukaran dan kesungguhan mantan pustakawan bersama kakitangan perpustakaan ketika itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi pustakawan masa kini untuk meneruskan legasi dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti.

Perpustakaan juga turut menjemput kesemua mantan pustakawan dan kakitangan Perpustakaan UKM yang berkesempatan untuk sama-sama meraikan sambutan ini. Mengambil ruang dan peluang melalui sambutan, satu Kempen Derma Koleksi untuk pengumpulan bahan arkib seperti dokumen, gambar lama, peralatan artifak dari perpustakaan dan sijil pengiktirafan daripada kalangan mantan yang hadir. Malahan kesemua mantan diberi peluang untuk memberi input dari segi nama program atau acara berdasarkan gambar lama yang dipamerkan menerusi slot yang dikenali Secebis Ingatan, Sejuta Kenangan. Selain daripada itu, sambutan turut diserikan dengan Pertandingan Pustakawan Terpaling yang menyaksikan pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti Pustakawan Terpaling Sensasi, Terpaling Tegas, Terpaling Karisma, Terpaling Sporting dan Ceria. Slot acara turut diiringi dengan persembahan live band daripada Kumpulan Kugiran D’Lanang yang terdiri daripada kakitangan Perpustakaan UKM. 

Suasana meriah diteruskan pada sesi petang menerusi acara Borak Petang Bersama Cik Rohaya Umar, Ketua Pustakawan UKM menerusi slot yang dikenali Di Sini Ilmu Disemai, Di Sinilah Bakti Dituai. Slot ini dikendalikan secara santai tetapi sampai oleh Encik Muhammad Hazriq Ghazali, Pustakawan UKM selaku moderator. Nasihat kepimpinan, harapan, pengalaman, dan kasih sayang yang disalurkan oleh Ketua Pustakawan UKM menerusi slot ini akan menjadi kenangan untuk semua warga Perpustakaan UKM. Dendangan lagu Sedetik Lebih dan Hanya Rindu yang menjadi selingan program menciptakan momen dan memori indah sepanjang bertugas di Perpustakaan UKM.

Gambar keseluruhan program














Wednesday 15 May 2024

Kempen Derma Koleksi Zon Utara


Pada 5-6 Februari 2024, Unit Arkib & Koleksi Khas Bersama Muzium Warisan Akademik telah menganjurkan Program Jejak Alumni : Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium, bertempat di Kupang, Baling, Kedah dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

Program yang dijalankan berobjektif:

  • Mengesan, mengenal pasti dan memperolehi koleksi dokumen, bahan bercetak, artifak serta yang berkaitan untuk meningkatkan perolehan bahan di Unit Arkib & Koleksi Khas / Muzium.
  • Mengumpul rakaman sejarah lisan serta memberi tumpuan kepada kumpulan alumni dan mantan warga UKM bagi meningkatkani koleksi memori institusi.
  • Mewujudkan hubungan kolaborasi dalam berkongsi maklumat dan bahan dengan pihak-pihak berkaitan.
  • Melihat dan meneliti aspek-aspek yang boleh menambah baik pengurusan bahan koleksi dan aspek persembahan pameran.

Alumni yang terlibat dalam program ini adalah:

  • Cikgu Nordin Kayat 
  • Puan Hajah Yang Chek Minhat 
  • Tuan Haji Che Uda Che Nik
  • Dato’ Nadzir Sheikh Fadzil

Program ini turut mendapat penyertaan 3 orang dari Pusat Perhubungan Alumni, UKM iaitu Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor, Encik  Wan Nursyaffiq Bin Wan Mahamood dan Pn. Rosnita Manap.

Aktiviti yang dijalankan adalah mengumpul koleksi peribadi milik tokoh alumni dan membuat rakaman sejarah lisan. 

 

Selain itu,turut diadakan lawatan ke pusat / institusi yang berdekatan dengan penginapan tokoh seperti Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang, Baling Kedah, Galeri P.Ramlee di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Galeri Persatuan Melayu Pulau Pinang  (PEMENANG)



Keberhasilan program :

  • Berjaya mengesan dan memperolehi koleksi dokumen, bahan bercetak, artifak serta yang berkaitan untuk meningkatkan perolehan bahan di Unit Arkib & Koleksi Khas / Muzium.
  • Berjaya mengumpul koleksi peribadi milik tokoh yang berjumlah 194 judul bahan bercetak yang terdiri daripada buku, keratan akhbar, majalah, artifak dan lain-lain. Manakala bahan digital berjumlah 105 judul yang terdiri daripada koleksi foto, keratan akhbar dan sijil tokoh. 
  • Berjaya memperkaya rakaman sejarah lisan UKM daripada 4 orang tokoh alumni hebat UKM.