Monday 10 June 2024

Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM


Pesara yang hadir ke program Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM


Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat Perpustakaan UKM buat julung kalinya telah diadakan pada tanggal 6 Jun 2024 yang juga merupakan Hari Pustakawan Malaysia. Bersempena dengan hari yang sinonim dengan profesion kepustakawanan ini, Perpustakaan UKM meraikan dengan pengisian aktiviti yang menjurus kepada sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada mantan pustakawan menerusi Forum Memoir Pustakawan UKM. Panel forum ini terdiri daripada Puan Miskiah Ahmad (pengkisahan Perpustakaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)), Puan Maimunah Kadir (pengkisahan Perpustakaan Undang-Undang) Puan Aripah Mohamed ((pengkisahan Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu) dan Puan Ramlah Hj Khalid ((pengkisahan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL)). Moderator forum adalah Encik Harith Faruqi Sidek, Timbalan Ketua Pustakawan, PTSL mengupas perjuangan kesemua mantan untuk membangunkan koleksi perpustakaan di awal penubuhan sehingga kini menjadi khazanah ilmu yang bernilai. Kesukaran dan kesungguhan mantan pustakawan bersama kakitangan perpustakaan ketika itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi pustakawan masa kini untuk meneruskan legasi dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti.

Perpustakaan juga turut menjemput kesemua mantan pustakawan dan kakitangan Perpustakaan UKM yang berkesempatan untuk sama-sama meraikan sambutan ini. Mengambil ruang dan peluang melalui sambutan, satu Kempen Derma Koleksi untuk pengumpulan bahan arkib seperti dokumen, gambar lama, peralatan artifak dari perpustakaan dan sijil pengiktirafan daripada kalangan mantan yang hadir. Malahan kesemua mantan diberi peluang untuk memberi input dari segi nama program atau acara berdasarkan gambar lama yang dipamerkan menerusi slot yang dikenali Secebis Ingatan, Sejuta Kenangan. Selain daripada itu, sambutan turut diserikan dengan Pertandingan Pustakawan Terpaling yang menyaksikan pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti Pustakawan Terpaling Sensasi, Terpaling Tegas, Terpaling Karisma, Terpaling Sporting dan Ceria. Slot acara turut diiringi dengan persembahan live band daripada Kumpulan Kugiran D’Lanang yang terdiri daripada kakitangan Perpustakaan UKM. 

Suasana meriah diteruskan pada sesi petang menerusi acara Borak Petang Bersama Cik Rohaya Umar, Ketua Pustakawan UKM menerusi slot yang dikenali Di Sini Ilmu Disemai, Di Sinilah Bakti Dituai. Slot ini dikendalikan secara santai tetapi sampai oleh Encik Muhammad Hazriq Ghazali, Pustakawan UKM selaku moderator. Nasihat kepimpinan, harapan, pengalaman, dan kasih sayang yang disalurkan oleh Ketua Pustakawan UKM menerusi slot ini akan menjadi kenangan untuk semua warga Perpustakaan UKM. Dendangan lagu Sedetik Lebih dan Hanya Rindu yang menjadi selingan program menciptakan momen dan memori indah sepanjang bertugas di Perpustakaan UKM.

Gambar keseluruhan program