Monday, 11 August 2025

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Bin Ali

 

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Bin Ali


Naib Canselor Ke - 7
1 Mei 1998 – 30 April 2003




Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali dilantik sebagai Naib Canselor UKM ketujuh menggantikan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Sham Mohd. Sani yang tamat tempoh pada 24 Mac 1998. Pelantikan beliau berkuat kuasa pada 1 Mei 1998 hingga 30 April 2003. Sepanjang pentadbirannya, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif pembangunan akademik termasuk penstrukturan fakulti rumpun sains dan sosial serta melancarkan Pelan Strategik UKM 2000–2020. Antara kejayaan penting dalam tempoh ini ialah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mula beroperasi sepenuhnya.

Beliau dilahirkan pada 11 Julai 1946 di Jasin, Melaka dan menerima pendidikan menengah di Melaka High School sebelum melanjutkan pengajian ke Queen’s University of Belfast, United Kingdom, di mana beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (BSc Econs) pada tahun 1970. Ketika berkhidmat sebagai tutor dan pensyarah di UKM, beliau melanjutkan pengajian ke University of Leicester (MSc) dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Kent, Canterbury, United Kingdom.

Kerjaya akademiknya di UKM bermula pada tahun 1973 sebagai tutor di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dari April 1994 hingga September 1995 dan telah menabur bakti kepada UKM hampir tiga dekad. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (1995–1998) dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (2001–2003).

Selepas bersara daripada UKM, Tan Sri Anuwar terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara apabila dilantik sebagai Naib Canselor dan Presiden Universiti Terbuka Malaysia serta Canselor Universiti Cyberjaya. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (2017–2020). Kepakarannya dalam bidang ekonomi dan pengajian tinggi menjadikannya salah seorang tokoh penting dalam pembangunan akademik negara.

Sumber:

Wajah dan Karisma Anuwar Ali: Rampaian Cetusan Pemikiran, 2003

Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharipah Hapsah Bt. Syed Shahabudin

 

Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharipah Hapsah Bt. Syed Shahabudin


Naib Canselor Ke - 9
28 Ogos 2006 – 31 Disember 2013


Prof. Emerita Tan Sri Dato' Seri Dr. Sharifah Hapsah binti Syed Hasan Shahabudin (lahir 1948, Kedah) merupakan tokoh pendidikan negara yang pernah menyandang jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 27 Ogos 2006 hingga 31 Disember 2013. Beliau ialah anak kepada Dato’ Syed Hasan Syed Zain Shahabudin dan Datin Sharifah Zaharah Syed Ahmad AlJafri.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya (1973), beliau seterusnya memperoleh Sarjana Kesihatan (Personnel Education) dari Universiti New South Wales, Australia (1982) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubatan pada tahun 1997.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjadi Ketua Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM (1976–1979), Pengarah Pusat Pembangunan Akademik UKM, serta memainkan peranan penting di Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (2000–2004) dan Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti (2004–2006). Beliau terlibat dalam penggubalan Panduan Kualiti Pendidikan Tinggi bersama UNESCO dan OECD, serta dalam rundingan WTO mengenai perkhidmatan pendidikan tinggi.

Beliau turut menjadi ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Integriti Penguatkuasa Undang-undang, serta menganggotai jawatankuasa kebangsaan seperti MAPEN II dan Panel Bebas Mengkaji Pelan Pendidikan. Sumbangan besarnya termasuk membangunkan kurikulum perubatan bersepadu UKM, mewujudkan sistem akreditasi perubatan negara, serta memperkukuh agenda jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia.

Prof. Sharifah menerima Ijazah Kehormat daripada lima universiti antarabangsa serta beberapa pengiktirafan berprestij seperti Fretz Katz Memorial Medal for Excellence in Medical Education (1993) dan ICDE-COL Special Award of Excellence for Distance Education (1995). Selain itu, beliau pernah menjadi Presiden National Council of Women’s Organisations (NCWO), ahli Akademi Perubatan Malaysia, Akademi Sains Malaysia, serta Penasihat Pendidikan Perubatan WHO.

Sumber: Rokiah Talib. Sharifah Hapsah: Inspiring Futures. 2014

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali

 

Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali

Naib Canselor Ke - 10
1 Januari 2014 – 31 Disember 2018




Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dilahirkan pada 17 Jun 1964 di Port Weld, Perak. Anak kepada pasangan guru, Haji Ghazali bin Chik dan Hajjah Halijah binti Ayub. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Gunong Semanggol sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah King Edward VII, Taiping; Sekolah Rendah Bagan Serai; serta Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar.

Beliau melanjutkan pengajian ke University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat dan memperoleh B.Sc. Business Administration (Finance) pada 1986 serta MBA (Finance) pada 1988. Beliau kembali ke universiti yang sama untuk menyelesaikan Ph.D. dalam Ekonomi pada 1997 dengan pencapaian akademik cemerlang.

Kerjaya beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula pada 1988 sebagai pensyarah di Jabatan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan. Beliau kemudiannya menjawat pelbagai jawatan pentadbiran termasuk Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Perniagaan, Dekan UKM-Graduate School of Business, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, dan akhirnya dilantik sebagai Naib Canselor UKM ke-10 (2014–2018). Ketika pentadbirannya, beliau memperkenalkan slogan “Mencabar Kelaziman” dan ikon “Payung Merah” yang menjadi simbol budaya kerja luar biasa di UKM.

Di peringkat nasional, kepakaran beliau dalam ekonomi membawanya berkhidmat di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU). Beliau turut menjadi Edward S. Mason Fellow di Harvard Kennedy School pada 2011 serta memegang pelbagai jawatan penasihat ekonomi negara, termasuk sebagai Ahli Majlis MARA, Pakar Rujuk Parlimen dan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Atas sumbangannya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Commonwealth Fellow (Cardiff University), Fulbright Scholar (Harvard) serta Tokoh Bitara UKM. Kini, beliau terus menyumbang di UKM sebagai Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) selain memegang jawatan penting dalam beberapa institusi pendidikan dan ekonomi negara.

Sumber:

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman. Teks Ucapan Syarahan Perdana Profesor "Melakar Masa Depan Ekonomi Malaysia dalam Landskap Global Baharu: Pengukuhan Pertumbuhan dan Daya Saing, 2024

Prof. Ir. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor

 

Prof. Ir. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor

Naib Canselor Ke - 11
1 Januari 2019 – 30 Oktober 2020



Prof. Ir. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik menjadi Naib Canselor UKM ke-11 menggantikan Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali yang tamat tempoh pada 31 Disember 2018. Pelantikannya berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 hingga 30 Oktober 2020. Semasa pentadbirannya beliau memperkukuh UKM sebagai universiti penyelidikan berimpak tinggi dan berpendapatan mampan.

Fokus utama diberikan kepada penjanaan sumber kewangan universiti, pengukuhan Bahasa Melayu sebagai nadi universiti watan, serta pemantapan penyelidikan strategik yang menyumbang kepada reputasi UKM di peringkat global.

Beliau dilahirkan pada tahun 1971 dan membesar di Muar, Johor. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian daripada Imperial College, London, United Kingdom; Ijazah Sarjana dalam Advanced Manufacturing and Management Technology daripada University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), UK; serta Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan daripada Kyoto University, Jepun.

Beliau memulakan kerjaya akademik di Universiti Malaya pada tahun 1995 sebagai tutor sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Engineering Design and Manufacture pada tahun 1997, dan kemudiannya menerajui jabatan tersebut sebagai Ketua Jabatan dari 2003 hingga 2006.

Selepas menamatkan perkhidmatannya di UKM, beliau kembali ke Universiti Malaya pada 1 November 2020 sebagai Naib Canselor ke‑13 dan berkhidmat sehingga 31 Oktober 2023.

Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman

 

Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman

Naib Canselor Ke - 12
1 Januari 2021 – 2 Februari 2025




Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dilantik sebagai Naib Canselor UKM menggantikan Prof. Ir. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada 1 November 2020. Pelantikan beliau berkuatkuasa pada 1 Jan 2021 hingga 2 Februari 2025.

Dilahirkan pada 11 September 1969 di Johor Bahru, dan merupakan anak kedua kepada pasangan Haji Toriman dan Hajah Safiah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman sebelum melanjutkan pelajaran menengah di beberapa sekolah dan menamatkan Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru pada tahun 1988. Berbekalkan keputusan cemerlang, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Geografi Fizikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK).

Setelah tamat pengajian di UKM, beliau menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan di University of Manchester, UK pada tahun 1994. Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang hidrologi sekitaran daripada University of Newcastle Upon Tyne, UK pada tahun 1999 dengan pencapaian tesis cemerlang.

Beliau juga pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Pembangunan) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau turut berperanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Pada 3 Febuari 2025 beliau telah mengundur diri sebagai Naib Canselor UKM secara sukarela.


Sumber: Teks Ucapan sempena Syarahan Perdana “Hidrologi Sekitaran: Dari Alur ke Sungai, Daripada Tercemar kepada Terawat”. 2019

Encik Wan Suhaimi Ariffin

 




KETUA PUSTAKAWAN UKM KE 7

Encik Wan Suhaimi Ariffin
Tempoh Berkhidmat: 4 Mei 2017 – 3 Mac 2020

Beliau dilahirkan di Palekbang, Kelantan dan dibesarkan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Rendah Sri Petaling pada tahun 1968, di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada tahun 1974 dan seterusnya di Yayasan Anda Akademik tahun 1980.

Kemudiannya beliau menyambung pengajian di peringkat Diploma dalam jurusan Sains Perpustakaan di Institut Teknologi Mara (ITM). Di atas minat untuk menceburi bidang kepustakawanan beliau seterusnya, melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama dan memperolehi Masters in Library Science dari Syracuse University, New York pada tahun 1987.

Kerjaya beliau bermula sebagai Pegawai Perpustakaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Oktober 1985 selama 14 tahun. Pada 1 Februari 1994, beliau telah memulakan perkhidmatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ditempatkan di Perpustakaan Cabang Perubatan, Fakulti Perubatan. Berdasarkan pengalaman selama lebih 3 dekad  dalam bidang kepustakawanan serta menyandang jawatan di pelbagai peringkat telah melayakkan beliau dilantik sebagai Ketua Pustakawan yang ke-7 pada 4 Mei 2017.

Sebagai Ketua Pustakawan UKM, beliau menekankan prinsip kepimpinan bagi memastikan hala tuju perpustakaan sentiasa jelas dan terselaras. Pendekatan pengurusannya berfokus kepada mempermudahkan urusan iaitu menyelesaikan backlog ‘buku Sabah’, serta pelaksanaan inisiatif praktikal seperti pemendekan waktu operasi perpustakaan mengikut keperluan. Beliau turut memperkenalkan kaedah kutipan dana yang lebih mesra penyumbang dan menjadikan penglibatan pelajar sebagai strategi menyokong operasi teknikal. Gaya kepimpinannya dikenali sebagai tegas, sistematik dan berorientasikan penyelesaian.

Sumber : Wawancara bersama Encik Wan Suhaimi Ariffin pada 2023


Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin

 

NAIB CANSELOR UKM KE 8

Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh bin Mohamed Yasin
Tempoh Berkhidmat: 1 Mei 2003 – 27 Ogos 2006
Gelaran : Bapa Pengantarabangsaan UKM

Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin dilantik sebagai Naib Canselor UKM pada 1 Mei 2003, menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali. Sepanjang pentadbirannya, beliau memacu UKM ke arah universiti bertaraf dunia menerusi Pelan Strategik UKM (PS2020) dan agenda RIQ (Penyelidikan, Pengantarabangsaan, Jaminan Kualiti). Di bawah kepimpinannya, UKM meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk disenaraikan antara 100 universiti sains terbaik dunia serta menjadi tuan rumah MGI dan International Institute for Global Health (UNU-IIGH). Beliau turut memperluas jaringan global dan memperkenalkan budaya kerja kreatif, sehingga dikenang sebagai Bapa Pengantarabangsaan UKM.

Dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1950, beliau merupakan anak ke-12 daripada 13 adik-beradik. Disebabkan ayahnya seorang pegawai kerajaan, beliau mendapat pendidikan di beberapa sekolah, antaranya Sekolah Kebangsaan Ismail Muar, English College Johor Bahru dan Maktab Tentera Diraja, sebelum melanjutkan pelajaran tingkatan enam di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beliau menerima biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian Biologi Gunaan di Institut Teknologi Bandung dan seterusnya menyambung pengajian PhD di University of Bath, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjaya di UKM sebagai tutor pada tahun 1974, dan kemudiannya dilantik sebagai Pengasas serta Dekan pertama Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (kini FSK). Beliau turut memegang jawatan Timbalan Naib Canselor dan seterusnya dilantik sebagai Naib Canselor UKM sehingga bersara pada tahun 2006. Selepas persaraan, beliau berkhidmat di Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pengasas International Institute for Global Health (IIGH) di bawah Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU).