Wednesday 29 June 2022

Bicara Tokoh ATMA : Dr. Kassim Bahali


Bicara Tokoh Atma@Fb Live Patma (Siri 11) 
Tajuk: Raya Terkejut: Ikut Rukyah Atau Hisab? 
Tarikh : 7 Jun 2022 (Selasa) 
Ahli Panel : Dr. Kassim Bahali 
Moderator : Prof. Madya Dr. Nazri Muslim 




 Profil Panel 

Dr. Kassim Bahali adalah Felo Tamu di Institut Alam & Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia dan Rektor, Akademik Falak Malaysia .Panel merupakan alumni UKM, Sarjana Muda Sains Fizik dan melanjutkan ke bidang Sains pengkhususan dalam Astronomi di UM dan Phd di Institut Alam dan Tamadun Melayu. Panel antara pakar ilmuan dalam ilmu falak syar'i. Bidang kepakaran panel antaranya Pendidikan Astronomi Islam, Astronomi Cerapan dan Inovasi perkakasan Astronomi. Selain itu, Panel merupakan Timbalan Yang Dipertua; Persatuan Falak Syar’i, Yang Dipertua; Persatuan Falak Syar’i Negeri Melaka, Ahli Jawatankuasa ruqyah Negeri Melaka dibawah Jabatan Mufti, Ahli Kesatuan Astronomi Antarabangsa di Paris., Ahli International Planetarium Society, ahli The Islamic Crescents Observation Project (ICOP) dan ahli Astronomi Malaysia yang berdaftar. Panel telah banyak menerima pelbagai anugerah dan menerbitkan buku dan jurnal. Panel juga aktif menulis di Majalah Dewan Kosmik dalam memberi khidmat masyarakat dalam menghuraikan isu-isu berkaitan dengan falak dan astronomi di Malaysia. Salah satu kontribusi Dr. Kassim Bahali dalam bidang astronomi (ilmu falak) adalah penelitiannya tentang awal waktu Subuh (fajar). Dr. Kassim Bahali melakukan penelitian waktu Subuh sejak 2017 sampai 2019 di tiga negara dalam kawasan Asia Tenggara yaitu Malaysia, Indonesia, dan selatan Thailand.


Rukyah dan Hisab dalam keadaan menentukan bilakah tarikh puasa dan tarikh hari raya?

Apa itu Rukyah? Berasal dari perkataan Arab bermaksud mencerap atau mengamati. 

Rukyah dalam kontek menentukan awal Ramadhan dan Syawal Bermaksud mencerap atau mengamati hilal sama ada dengan mata kasar atau alat optik dan ia merupakan satu kaedah penentuan awal bulan dalam takwim Islam (Hijrah). Rukyah hilal dilakukan selepas Matahari terbenam pada hari ke-29 hb. Hijri. Ini kerana hari dalam Islam ini bermula selepas terbenamnya matahari. Aktiviti Rukyah ini boleh dilakukan dengan mata kasar seperti pada zaman Rasulullah dan para sahabat dahulu, mereka hanya memerhati menggunakan mata kasar. Pencerap menggunakan mata sahaja. Seiring waktu, dengan menggunakan peralatan optik seperti Teodolit, Binokular dan Teleskop untuk mencerap hilal.

Apa itu Hisab? Berasal dari perkataan Arab bermaksud kiraan atau hitungan. 

Satu kaedah hisab digunakan bagi penentuan awal bulan Hijrah dengan menggunakan rumus matematik yang tertentu seperti penentuan waktu ghurub Matahari, bulan, altitud hilal, jarak lengkung, azimut, umur hilal, dan lain-lain dapat ditentukan. Dengan kaedah hitungan ini, dapat mengetahui parameter-parameter yang diperlukan dalam menentukan awal Ramadhan dan Syawal dan untuk setiap bulan-bulan dalam takwim islam (hijrah)

Kaedah hisab digunakan adalah berdasarkan kepada satu kriteria atau syarat untuk dipastikan bilakah permulaan 1 Ramadhan atau 1 Syawal itu. Di Malaysia ia dinamakan Kriteria Imkanur Rukyah. Kaedah hisab ini juga digunapakai dalam pembinaan takwim hijrah. Takwin ialah jadual yang disusun mengikut tarikh, bilangan hari, bilangan bulan dan tahun untuk tempoh waktu yang akan datang. 

Bagaimanakah takwim itu disusun? 
Takwim itu disusun berdasarkan kaedah Hisab dan menggunakan Kriteria Imkanur Rukyah yang diamalkan di negara Malaysia. Penting mempelajari ilmu falak atau astronomi ini kerana ia menentukan tentang ibadah seharian umat Islam tentang puasa, tentang masuk waktu solat dan sebagainya.


Bagaimana sejarah penentuan awal Ramadhan dan Syawal di Malaysia?

Kronologi Penentuan awal puasa dan syawal di Malaysia 

Bermula sebelum merdeka hingga tahun 1970 menggunakan kaedah Rukyah. Dimana sama ada hilal kelihatan atau tidak pada petang rukyah. Jika rukyah kelihatan, maka esok adalah 1 Ramadhan atau Syawal dan sekiranya tidak kelihatan, maka esok digenapkan menjadi 30 sya'ban atau ramadhan. Hanya terdapat 3 lokasi sebagai tempat rasmi ruqyah di Teluk Kemang, Negeri Sembilan/ Johor Bahru dan Kampung Pulau Sayak, Kedah. 

Kemudian pada tahun 1970 sehingga 1977 (1390H - 1397H), beralih menggunakan kaedah Hisab. Jika hilal Ramadhan dan Syawal tidak kelihatan padahal nya mengikut kiraan ahli falak hilal itu ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak boleh digunakan. Walaupun kaedah hisab diterima, kaedah rukyah masih diteruskan bagi memenuhi tuntutan syarak 

Pada tahun 1977 sehingga 1982, menggunakan semula kaedah Rukyah. Jika hilal Ramadhan dan Syawal tidak kelihatan disebabkan terlindungi oleh awan(ghaim) atau apa-apa halangan seperti jerebu dan sebagainya, tetapi mengikut kiraan falak hilal ada, maka kiraan falak boleh digunakan. Tetapi sekiranya cuaca baik dan hilal tidak kelihatan maka bulan sya'ban dan ramadhan akan digenapkan menjadi 30 hari.  

Pada tahun 1983 sehingga 1992, bermulanya menggunakan gabungan kaedah rukyah dan hisab dimana ia digunakan serentak. Pada tempoh tersebut negara menggunakan kriteria atau syarat daripada Resolusi Persidangan Negara Islam di Istanbul (1978) dan syaratnya:
“Kedudukan matahari dan bulan waktu matahari terbenam tidak kurang daripada 8 º Ketinggian hilal pada ketika matahari terbenam tidak kurang daripada 5 º ”

*Syarat tersebut berdasarkan kepada pengiraan astronomi kemungkinan hilal boleh kelihatan pada hari rukyah 

Kemudian pada tahun 1992 - 2021, masih mengekalkan kaedah gabungan rukyah dan hisab tetapi menggunakan kriteria atau syarat yang baru yang ditambah baik dari kaedah Istanbul. Yang berdasarkan Mesyuarat Menteri-Menteri Negara MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura) telah setuju menerima kriteria/syarat  baru kenampakan hilal/ Kriteria Imkanur Rukyah 1992 (KIR 1992)

“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut: - 
  • ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2 º dan jarak lengkungan bulan-matahari tidak kurang daripada  3 º  ATAU
  • ketika bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku” 
Dan pada tahun 2021 sehingga kini, mengekalkan kaedah gabungan rukyah dan hisab. Negara Malaysia dan MABIMS telah menggunakan satu lagi kriteria baru selepas didapati ada kelemahan pada kriteria (1992), maka kriteria baru ini menyebut :- 

Kriteria Imkanur Rukyah 2021

“Altitud (ketinggian) hilal dari ufuk sekurang-kurangnya 3 º ketika ghurub matahari DAN  : jarak lengkung matahari dan bulan sekurang-kurangnya 6.4 º ”

*Kedua-dua syarat ini perlu dipenuhi 

Ringkasan Kronologi penentuan awal ramadhan dan Syawal :


Tempoh 

Kaedah 

Kriteria

Sebelum merdeka

Rukyah 


1957-1970

Rukyah 


1971-1977

Hisab


1978-1982

Rukyah 


1983-1991

Rukyah dan Hisab

KIR Istanbul

1992-2021

Rukyah dan Hisab

KIR 1992

2022-kini

Rukyah dan Hisab

KIR 2021


Perlu perjelaskan tentang penggantian istilah anak bulan dengan menggunakan istilah hilal yang lebih tepat dan mempopularkan penggunaan istilah tersebut.


Bagaimana kaedah yang digunakan dalam menentukan awal Ramadhan dan Syawal di Malaysia?


Kaedah penentuan Ramadhan/ Hari Raya Puasa di Malaysia dibawah kuasa Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Ramadhan/ Hari Raya Puasa adalah berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab. 


Untuk melaksanakan proses penentuan satu jawatankuasa dilantik yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja/ Dipertuan Agong terdiri daripada sekurang-kurangnya: 

  • Mufti Kerajaan Negeri (Ketua)
  • Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri
  • Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 
  • Pengarah Ukur Negeri 
  • Kadi Besar 
  • Pegawai Agama Daerah 
  • Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri 

* Ahli dan bilangan mengikut keperluan negeri


Selepas jawatankuasa diperkenan, maka penyimpan Cop Mohor Besar Raja-Raja akan membuat pengumuman pengisytiharan tarikh melihat hilal dan tempat cerapan beberapa hari sebelum daripada tarikh rukyah/melihat hilal bagi jawatankuasa pergi melihat hilal dan ditempat yang telah diwartakan. Terdapat 29 lokasi melihat hilal yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 


Proses seterusnya, Mencerap hilal atau rukyatul hilal pada hari 29 Sya’ban bagi menentukan 1 Ramadhan dan 29 Ramadhan bagi menentukan 1 Syawal. Jadi, ahli jawatankuasa akan pergi melihat pada tarikh yang berkenaan dan ditempat yang diwartakan dengan menggunakan peralatan optik dengan bantuan daripada jabatan ukur dan pemetaan Malaysia.


Sebaik sahaja cerapan selesai, maka laporan akan disampai oleh ketua jawatankuasa kepada penyimpan mohor besar Raja-Raja. Kemudian, akan dipersembahkan kepada YDP Agong oleh Penyimpan mohor  Raja-Raja untuk mendapatkan perkenan dan akhir sekali, pengisytiharan bilakah permulaan 1 Ramadhan dan 1 Syawal. 


Melihat pada jawatankuasa cerapan gabungan profesional dan agama dalam kepakaran dengan bantuan alat teknologi maka sukar untuk kredibilitas itu untuk dipertikai. 


Apa maksud sebenar hilal?

Hilal adalah istilah yang terdapat di dalam al-quran dalam surah al-Baqarah (189)


۞ يَسْـَٔلُوْنَكَ عَنِ الْاَهِلَّةِ ۗ 

Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) apakah itu hilal (anak bulan)?


Hilal ialah fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran sinodis mengelilingi Bumi. Ia adalah sebahagian kecil dari permukaan Bulan yang bercahaya yang kelihatan seperti satu lengkuk cahaya yang halus. 


Contoh Hilal 



Apa itu Ijtimak?
Ijtimak merupakan kedudukan bulan, bumi dan matahari berada dalam satu garisan meridian yang sama. 

Ijtimak berlaku diakhir bulan iaitu pada 29 haribulan Hijrah dan akan masuk ke bulan baru. Setiap bulan akan berlaku fenomena ijtimak ini.

Bagaimana hilal terbentuk:
Selepas beberapa jam bulan melepas titik ijtimak maka sebahagian bulan yang bercahaya akan dapat dilihat dari bumi dan sebahagian tersebut sangat sedikit dapat dilihat satu lengkuk halus atau sabit. 

Kenapa masih diperlukan lagi untuk melihat hilal pada setiap bulan dalam dunia serba moden ini? 
Dalam penentuan awal bulan, melihat hilal adalah sunnah. Terdapat pelbagai pandangan akan tetapi panel berpegang kepada perlunya berpegang dalam melihat hilal kerana terdapat hikmah kenapa ia disyariatkan.

Seperti dalam hadis: 

Rasulullah s.a.w. Bersabda yang bermaksudnya: “Sebulan itu adalah dua puluh sembilan hari. Bila kamu sekalian melihat hilal Ramadhan berpuasalah dan bila kamu sekalian melihat hilal Syawal berayalah. Jika mendung takdirkanlah hilal itu ” (Muslim)

Hikmah: Ramadhan ada hubungan dengan Alam 
Kerana alam merupakan ciptaan Allah s.w.t yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah supaya umat islam dapat memasuki bulan Ramadhan dengan penuh keimanan. Allah mentarbiyah orang beriman dengan tanda- tandanya terlebih dahulu yaitu dengan melihat hilal. Contoh lain; fajar, ghurub, siang malam, lailatul qadar, urjunil qadim, manzilah , fasa bulan. 

Hilal adalah makhluk Allah dan tanda kekuasaan Allah. Dengan melihat hilal, Allah mentarbiyah umatnya supaya menghidupkan jiwa dan hati supaya umatnya sentiasa bertakwa. 

Apakah yang dimaksudkan dengan Syarat/ Kriteria Imkanur Rukyah dan penggunaanya serta adakah negara Islam menggunakan kriteria ini seperti di Saudi, Turki dan sebagainya tentang syarat ini?
 
Panduan Umum(Asas) kriteria kenampakan hilal dalam takwim Hijrah kepada pembinaan kriteria.

Pada tarikh 29hb Hijri - Ijtimak telah berlaku sebelum matahari terbenam 

Satu kaedah atau kriteria kenampakan hilal hendaklah menepati kenampakan sebenar dan maksud hadis “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban tiga puluh hari” (Bukhari dan Muslim).

Di Malaysia sebelum ini menggunakan Kriteria Imkanur Rukyah 1992 (KIR 1992)

“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut: - 

a) ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2 º dan jarak lengkungan bulan-matahari tidak kurang daripada  3 º 
ATAU 
b) ketika bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku” 

Dan pada tahun 2021, Malaysia dan negara-negara MABIMS telah merubah dan menggunakan kriteria baru disebabkan adanya kelemahan pada kriteria sebelum ini. 

Kriteria Imkanur Rukyah 2021

“Altitud (ketinggian) hilal dari ufuk sekurang-kurangnya 3 º ketika ghurub matahari DAN  : jarak lengkung matahari dan bulan sekurang-kurangnya 6.4 º ”
*Kedua-dua syarat ini perlu dipenuhi 

Manakala untuk negara Islam lain, mereka tidak terikat dengan kriteria MABIMS gunakan, mereka menggunakan kaedah/kriteria masing-masing. Seperti Arab Saudi menggunakan Ummul Qura, ada jugak menggunakan kaedah hisab semata-mata seperti Singapura. Ada juga yang tidak menggunakan kaedah hisab hanya berdasarkan kepada kaedah Rukyah semata. 

Bagaimana kriteria Imkanur Rukyah 1992 digunakan dan berapa kali hilal Ramadhan dan Syawal dapat dilihat dan apakah perbezaan antara kriteria 1992 dan kriteria 2021? 

Setelah KIR 1992 digunakan selama 30 tahun, sejak tahun 1992 hingga 2021 (1413H hingga 1442H), dalam penentuan awal Ramadhan dan Syawal, hilal hanya dapat dilihat 6 kali sahaja (3 kali Ramadhan dan 3 kali Syawal). Hilal Ramadhan 1415 (1995); Ramadhan 1422H (2001) di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan yang terakhir hilal Ramadhan 1438H (2017) di Wilayah Persekutuan Labuan. 

Perbandingan Kriteria 1992 dengan Kriteria 2021
Dapat dilihat dari segi Syarat ketinggian hilal itu dan jarak lengkung ia. 

Kelemahan KIR 1992 
  • Kemungkinan berlaku pada 29hb
  • Ijtimak belum berlaku - maka hilal memang tidak dapat dilihat 
  • Bulan terbenam lebih dahulu dari matahari 
  • Altitud hilal sangat rendah - sukar untuk dilihat
Apa sebenarnya isu Raya terkejut 2022, dan apakah hilal itu kelihatan? 

Mengikut kepada kriteria baru (KIR 2021) 6.4 º jarak lengkung antara bulan dengan matahari (bahagian atas matahari) ketika matahari terbenam. 

Pada rajah sebelah kanan adalah keadaan mengikut kiraan (hisab) ketika matahari terbenam, jarak lengkung antara matahari ke pusat bulan/ hilal adalah 6.2 º , kurang sedikit dari 6.4 º. Manakala tingginya adalah 5.4 º . Jika mengikut Hisab, maka hilal tidak memenuhi syarat. Jika tidak memenuhi syarat/hisab, maka perlu digenapkan Ramadhan kepada 30 hari. Sebab itu di kalendar yang telah dicetak, Ramadhan 2022 adalah 30 hari. Akan tetapi, telah berlaku sebaliknya.


Kriteria pertama ini digunakan buat kali pertama sejak diwartakan, berdasarkan cerapan dari 29 tempat, tidak dapat melihat hilal kecuali satu di Labuan. Di Labuan, pencerap melaporkan dapat melihat hilal menerusi kamera CCD yang dihubungkan kepada teleskop dan melalui monitor laptop. Mereka dapat melihat bentuk sabit/ hilal pada petang itu. Maka, jawatankuasa di Labuan memutuskan bahawa hilal dapat dilihat melalui kamera CCD. 

Maka dengan keputusan itu, cukup untuk digunakan dalam amalan penentuan awal bulan Ramadhan dan Syawal di Malaysia bahawa satu tempat dapat melihatnya, maka tempat lain juga dapat menggunakan  penampakan yang berlaku di Labuan. Jadi sebab itu pengisytiharan oleh pemegang cop mohor Raja-Raja menyebut  Hari Raya pada hari Isnin. Selalunya kalender dan pengisytiharan adalah selari akan tetapi pada tahun 2022 menukar kepada kriteria baru ini maka keadaan ini mengejutkan. 

Dan satu lagi sebabnya ialah beza dari hasil kiraan, ada selisihnya dimana syarat itu tidak dipenuhi (6.2 º), syarat sepatutnya 6.4 º. Panel berpendapat mungkin syarat ini perlu diperhalusi semula sebab jika 6.2 º sudah dapat dilihat, maka ia menimbulkan perbezaan pandangan dari ahli falak, sama ada hilal tersebut perlu didefinisikan semula, atau bolehkah menerima kenampakan hilal melalui kamera CCD ataupun berpegang pada kenampakan dengan menggunakan alat optik yang nyata. 

Labuan menjadi tempat terbaik untuk mencerap 

Panel bersetuju ini kerana kedudukan Labuan itu, berada di lautan yang lebih luas terbuka berbanding di Semenanjung (Selat Melaka bertentangan dengan Sumatra) dengan keadaan cuaca yang lebih baik. Peluang melihat matahari terbenam itu lebih baik.



Disediakan oleh : Nuralina Azman (Pelajar Latihan Industri UITM)







No comments:

Post a Comment