Monday 4 December 2023

Keterlihatan Koleksi Sastera Peranakan Cina : Naratif Baharu

Koleksi Sastera Cina Peranakan merupakan penghuni terawal Perpustakaan UKM. Pemilikannya seusia Koleksi Manuskrip dan Nadir yang disimpan bersama Koleksi Khas Perpustakaan bertempat di Aras 6. Perpustakaan Tun Seri Lanang. Bersesuaian dengan sifat bahan-bahan tersebut yang dianggap sebagai nadir kerana penulisannya sudah tidak diterbitkan lagi.

Koleksi ini merupakan sebuah koleksi yang unik dan unggul yang setara dengan Perpustakaan Muzium Pusat di Jakarta. Kebanyakan karya tersebut, contohnya Njai Dasimah adalah cerita novel yang menerangkan sejarah sosial zaman tersebut. Kandungan karya tersebut memberikan gambaran menarik mengenai masyarakat tempatan terhadap penjajah.

Sejarah penempatan koleksi ini di perpustakaan bermula pada tahun 1973. Usaha ini dilakukan oleh Watson, seorang pensyarah Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM). Ketika beliau berada di Jakarta, Indonesia, beliau terpikat dengan sastera Cina Peranakan yang dijual oleh tukang luak (penjual jalanan). Terpesona dengan keunikan dan nilai budaya koleksi tersebut, Watson mencadangkan pembelian seluruh koleksi tersebut untuk ditempatkan di perpustakaan. Cadangan ini disambut baik oleh Tuan Haji Abdul Aziz Shaik Mydin, Ketua Pustakawan Pertama UKM, dan koleksi ini dibawa ke Perpustakaan UKM.

Meskipun koleksi ini tersimpan di Arkib & Koleksi Khas, keunikan di dalamnya semakin pudar dengan berlalunya waktu dan kemajuan teknologi. Namun, Perpustakaan UKM tetap berusaha mempromosikan dan memperkenalkan nilai koleksi klasik ini kepada generasi muda dengan inisiatif seperti pameran terpilih, reruai, dan promosi di media sosial.

Prakarsa yang dilakukan termasuk:

Pameran Koleksi Terpilih - Peranakan Cina

Sebuah pameran memperkenalkan etnik dan budaya Cina Peranakan telah diadakan di ruang legar aras 4 Perpustakaan dengan kerjasama  Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor, Dewan Bahasa dan Pustaka dan QIT Teknikal. Selain poster dan bunting terdapat juga pameran busana, tayangan video dan peralatan tradisi yang sinonim dengan budaya Baba Nyonya ditampilkan. Koleksi Arkib dan Khas juga membuat sorotan khas beberapa koleksi bahan bacaan dan novel fiksi Baba Nyonya yang terdapat dalam koleksi khas. Koleksi juga mendapat khidmat nasihat daripada Dr. Pue Giok Hun pensyarah daripada Institut Kajian Etnik (KITA) semasa menyediakan bahan pameran dan jaringan sosial. Pameran telah berlangsung bermula pada 26 Oktober 2023 hingga 9 November 2023.

 
Busana Baba & Nyonya
Bunting Pameran Dewan Bahasa & Pustaka




Sekitar Pameran di Aras 4, PTSL

Demo Masakan Kuih Tradisional Cina Peranakan – Kuih Angku

Koleksi dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor membuat demo masakan kuih tradisi Cina Peranakan iaitu kuih angku. Acara dimulakan pada jam 11.00 pagi dikelolakan oleh Nyonya Adeline Ee selaku jurucakap manakala  Nyonya Jennifer Lee dan Nyonya Clytia Wong membuat demo masakan. Semasa sesi masakan jurucakap turut menceritakan beberapa aspek daripada budaya Cina Peranakan terutamanya tentang masakan dan busana yang dipakai mereka. Para pengunjung disajikan dengan kuih angku yang telah siap dimasak di hujung sesi.



Sesi Demo Masakan Kuih Angku



Reruai Peranakan Cina sempena Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan UKM

Kakitangan koleksi menyediakan meja reruai dengan konsep Cina Peranakan dengan hiasan alas meja daripada kain batik dan daun herba yang biasa digunakan dalam masakan seperti pandan, kantan, kunyit, kari dan limau purut. Selain itu air bunga telang dan bungkusan bunga rampai disediakan sebagai saguhati kepada pengunjung. Permainan tradisional iaitu 2 unit papan congkak dan 2 set batu seremban turut diletakkan di meja reruai. Permainan ini menarik minat pengunjung dan pelajar antarabangsa untuk mencuba. Turut diadakan kuiz tentang budaya dan etnik Cina Peranakan yang menyediakan hadiah penanda buku magnetik bertemakan Cina Peranakan.

Peserta bersama bungkusan bunga rampai

Pelajar Luar Negara sedang mencuba Permainan Tradisional Batu Seremban

Peserta Luar Negara sedang mencuba Permainan Tradisional Congkak



Sepanjang aktiviti Reruai Peranakan Cina


Promosi Bahan di Platform Facebook

Bahan-bahan terpilih akan dimuat naik ke media sosial secara berkala bagi menghebahkan koleksi ini kepada masyarakat. Langkah menyebar luas koleksi melalui platform digital adalah bertujuan untuk mencapai lebih banyak audiens, khususnya di kalangan generasi yang aktif menggunakan media sosial. Dengan kehadirannya di dunia maya, diharapkan akan timbul interaksi dan keterlibatan yang lebih aktif dari masyarakat. Dengan cara ini, tidak hanya informasi yang tersebar luas, tetapi  terjalinlah komunikasi antara perpustakaan dan masyarakat, secara tidak langsung menjadikan koleksi ini lebih hidup dan relevan di tengah-tengah dinamika perkembangan zaman.

Inisiatif seperti pameran Peranakan Cina, demo masakan kuih tradisional, dan promosi di Facebook bertujuan untuk melibatkan masyarakat dan menjaga kehidupan koleksi ini dalam era digital. Dengan langkah-langkah ini, Perpustakaan UKM telah memainkan peranannya dalam menghubungkan warisan klasik dengan dunia digital dan memastikan warisan budaya yang berharga ini terus berkembang.

Promosi di Media Sosial



No comments:

Post a Comment