Cari Rekod Arkib UKM

Masukkan kata kunci dan pilih kategori carian.





Wednesday, 14 January 2026

Disangka Makam, Rupanya Simbol Kehidupan — Kisah Unik FPI UKM

 

Gambar : Sejarah Struktur “Makam” berhampiran Dewan Fakulti Pengajian Islam (FPI)



Pembinaan struktur yang dikenali sebagai “makam” berhampiran Dewan Fakulti Pengajian Islam (FPI) bermula pada 21 Mei 1979, serentak dengan pelaksanaan projek pembinaan bangunan FPI. Sejumlah peruntukan sebanyak $10,000 telah diluluskan bagi pembinaan struktur tersebut. Walau bagaimanapun, pembinaannya tidak dapat disiapkan dan terbengkalai meskipun bangunan FPI telah siap sepenuhnya pada 15 Oktober 1981.


Dari segi reka bentuk, struktur ini menyerupai sebuah makam, namun tidak dilengkapi dengan batu nisan bagi mengelakkan tanggapan bahawa ia merupakan sebuah makam sebenar. Menurut Prof. Datuk Dr. Haron Din, reka bentuk tersebut bertujuan sebagai peringatan simbolik kepada para pelajar tentang hakikat kehidupan, di mana perjalanan hidup diibaratkan seperti arus yang mengalir dan akhirnya kembali kepada Allah SWT.


Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan perancangan asal, bahagian bumbung struktur tersebut dicadangkan untuk dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadis. Inisiatif ini bertujuan mengingatkan para pelajar tentang kepentingan menuntut ilmu sepanjang hayat, sehingga ke alam kubur.


Sumber : Nadi Bangi (Oktober 1991)



Monday, 11 August 2025

Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Rashdan B. Hj. Baba

 

Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Rashdan B. Hj. Baba

Naib Canselor Pertama
1 September 1969 – 31 Mac 1971



Tan Sri Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Mohd Rashdan Baba dilahirkan pada 31 Oktober 1935 di Kampung Berkat, Chembong, Rembau. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Robiyah Abd. Majid pada 17 April 1965 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Rasylida. Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Melayu Chembong pada tahun 1942, sebelum melanjutkan pelajaran di Government English School, Tampin pada 1946 selepas lulus peperiksaan Special Malay Class. Beliau berjaya memperoleh Grade 1 Peperiksaan Senior Cambridge pada 1953, seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian dan menerima Diploma Pertanian dengan Kepujian Kelas Pertama pada 6 April 1957. Pada tahun 1960, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc.) dan pada 7 Julai 1964, beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.).

Kerjaya beliau bermula pada 11 Ogos 1964 sebagai Ahli Agronomi di Pusat Percubaan Pertanian Persekutuan sebelum dilantik sebagai Pengetua Kolej Pertanian Malaya, Serdang pada 26 Jun 1965. Peranan besarnya dalam pendidikan tinggi negara terserlah apabila beliau menganggotai Jawatankuasa Penaja UKM pada 25 Ogos 1968, sebelum dilantik sebagai Naib Canselor pertama UKM pada 1 September 1969. Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Naib Canselor UKM pada 31 Mac 1971, beliau meneruskan khidmat bakti sebagai Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (UPM) mulai 1 April 1971. Sumbangan beliau turut melangkaui bidang akademik apabila dilantik sebagai Pengerusi MARDI pada 1 Julai 1977 dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad pada 1 Februari 1982. Pada 15 Mei 1999, beliau sekali lagi kembali ke UKM sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Sebagai ahli Jawatankuasa Penaja UKM, beliau memainkan peranan penting dalam merangka struktur pentadbiran universiti melalui keanggotaan dalam AJK Bahagian Pentadbiran yang dipengerusikan oleh Dr. Ungku Omar Ahmad bersama Abdullah Mohd Salleh selaku Timbalan Pengerusi. Sumbangan beliau dalam penubuhan UKM kekal sebagai legasi besar terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara.

Tan Sri Mohd Rashdan Baba menghembuskan nafas terakhir pada 30 Mac 2020 jam 6.59 pagi di Hospital Ampang Puteri, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Jasa dan pengorbanan beliau dalam dunia akademik serta pembangunan institusi pendidikan negara akan sentiasa dikenang.

Sumber: Dari Menara Gading ke Mercu Korporat: Biografi Rashdan Baba. 2004

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ariffin B. Hj. Ngah Marzuki

 

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ariffin B. Hj. Ngah Marzuki

Naib Canselor Ke - 2
1 April 1972 – 31 Mac 1974



Dato’ Dr. Ariffin Ngah Marzuki dilahirkan pada 3 September 1925 di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Kangsar, beliau kemudian meneruskan pelajaran di Clifford School, Anderson School Ipoh, Ika Daigaku Japanese Medical College dan King Edward VII Medical College. Beliau memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih di Johor Bahru pada tahun 1954 sebelum berkhidmat di Perak dan Terengganu pada 1955. Pada tahun 1956, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi di England dan berjaya memperoleh keahlian MRCOG pada 1960, menjadikannya Doktor Melayu pertama dengan kelayakan tersebut.

Sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik sebagai Pakar Obstetrik dan Ginekologi Negeri Perak di Hospital Besar Ipoh (1960–1965) dan kemudian berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur (1965–1976). Pada 1 April 1971, beliau dilantik sebagai Naib Canselor kedua Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menerajui universiti hingga 1974, memainkan peranan penting dalam mengukuhkan struktur akademik dan pentadbiran UKM pada peringkat awal penubuhannya.

Dato’ Dr. Ariffin Ngah Marzuki kembali ke rahmatullah pada 17 Ogos 2019 pada usia 94 tahun. Sumbangan beliau dalam bidang perubatan serta peranan penting sebagai pentadbir universiti kekal menjadi sebahagian daripada sejarah pendidikan tinggi negara.

 

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Mohd. Ghazali Hj. Abdul Rahman

 

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Mohd. Ghazali Hj. Abdul Rahman

Pemangku Naib Canselor
1 April 1974 – 31 Mac 1975



Prof. Dato’ Dr. Mohd Ghazali Abdul Rahman dilahirkan pada 16 Mei 1938 di Tanjung Malim, Perak, sebagai anak ketiga kepada pasangan Haji Ab Rahman Yusop dan Hajah Esah Bachik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Jalan Batu sebelum melanjutkan persekolahan di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Selepas tamat Tingkatan Lima, beliau menyambung pengajian peringkat matrikulasi sains di Australia.

Beliau menamatkan pengajian di University of Western Australia dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) pada tahun 1962 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik nuklear pada tahun 1964. Kerjaya beliau bermula sebagai pensyarah di Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Malaya sebelum berhijrah ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pensyarah di Jabatan Kaji Hayat.

Prof. Ghazali memberi sumbangan besar kepada penubuhan UKM dan merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan UKM. Beliau adalah antara tenaga akademik terawal, pengasas Fakulti Sains UKM serta Dekan Fakulti Sains yang pertama. Pada 1 April 1974, beliau dilantik sebagai Pemangku Naib Canselor UKM sehingga 31 Mac 1975 dan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Program Matrikulasi UKM serta mengukuhkan asas pembangunan universiti pada peringkat awal. Beliau turut menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor UKM dari 1975 hingga 1982 dan dua kali memangku jawatan Naib Canselor, iaitu pada 1974–1975 dan 1980.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam menubuhkan Fakulti Perubatan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan memajukan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Mahasiswa (PALAPES) universiti.

Prof. Ghazali berkahwin dengan Sharifah Mariam Syed Mansor dan dikurniakan dua orang putera serta seorang puteri. Beliau meninggal dunia pada 25 Mei 2007 pada usia 69 tahun. Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan sains dan teknologi negara terus dikenang sebagai sebahagian penting daripada sejarah UKM. 

Sumber: Roosfa Hashim. Mohd Ghazali Abdul Rahman 1938-2007: dari Mercu ke Mercu. 2010

Allahyarham Prof. Tan Sri Dr. Anuwar Mahmud

 

Allahyarham Prof. Tan Sri Dr. Anuwar Mahmud

Naib Canselor Ke - 3
1 April 1975 – 31 Mac 1980



Tan Sri Dr. Anuwar bin Mahmud dilahirkan pada tahun 1927 di Petaling, Selangor. Beliau cemerlang dalam Peperiksaan Cambridge School Certificate pada tahun 1948 dan menerima biasiswa di bawah Rancangan Colombo untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains veterinar di India. Pada tahun 1952, beliau memperoleh Ijazah G.V.Sc. dan dianugerahkan pingat perak atas kecemerlangan akademik. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di University of Hawaii dan memperoleh Ijazah Sarjana Sains (M.Sc.) pada tahun 1963, di samping dipilih sebagai ahli Phi Kappa Phi Honours Society.

Kerjaya beliau bermula sebagai pegawai veterinar di beberapa negeri sebelum menyertai Fakulti Pertanian Universiti Malaya pada tahun 1964 dan menjadi Dekan tempatan pertama fakulti tersebut. Pada 28 Ogos 1968, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Kecil Konsep dan Ilmiah yang merangka asas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjadikan beliau antara tokoh penting dalam sejarah awal UKM. Pada tahun 1971, beliau dilantik sebagai Pengarah MARDI setelah berlaku penggabungan Fakulti Pertanian dengan Kolej Pertanian Malaya. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Naib Canselor ketiga UKM dan berkhidmat dari 1 April 1975 hingga 30 Mac 1980.

Beliau meninggal dunia pada 21 April 1993 kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Legasi Tan Sri Dr. Anuwar Mahmud kekal utuh dalam sejarah pendidikan tinggi negara, khususnya melalui sumbangannya dalam penubuhan UKM dan pembangunan penyelidikan pertanian negara.

Sumber: https://bangi.pulasan.my/anuwar_mahmud

 

 

Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had B. Salleh


Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had B. Salleh

Naib Canselor Ke - 4
16 Julai 1980 – 15 Februari 1984




Tan Sri Dato’ Dr. Awang Had bin Salleh dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Kampung Bagan, Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak Laki-Laki dan Sekolah Melayu Sungai Korok Lama, Alor Setar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sultan Abdul Hamid College. Secara berdikari, beliau menduduki peperiksaan LCE pada 1956, MCE pada 1957 dan HSC pada 1959. Seterusnya, beliau menuntut di Universiti Malaya (1961–1964) dan memperoleh Ph.D dalam Pendidikan dan Sosiologi dari Stanford University, Amerika Syarikat pada tahun 1972.

Kerjaya beliau bermula sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunong, Kedah pada tahun 1950, kemudian berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah termasuk Sultan Abdul Hamid College. Beliau seterusnya menjadi pensyarah di Maktab Bahasa, Dekan Fakulti Pendidikan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya. Pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Pengarah ITM, seterusnya menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 Julai 1980 hingga 15 Februari 1984.  

Tan Sri Awang Had meninggal pada 1 Julai 2013 ketika berusia 79 tahun di Hospital Putrajaya akibat komplikasi paru-paru. Allahyarham meninggal balu Puan Sri Salmah Abu Bakar dan tujuh orang anak terdiri dari lima lelaki dan dua perempuan. Jenazah beliau di kebumikan di Tanah Perkuburan Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya.

 

Sumber: Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh.

https://www.ilmuandarulaman.com.my/index.php/ilmuan/ilmuan-darulaman-dalam-sejarah/details/1/6110/tan-sri-prof-emeritus-dr-awang-had-salleh

 


Allahyarham Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Bin Abdul Rahman

 Allahyarham Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Bin Abdul Rahman

Naib Canselor Ke - 5
1 Februari 1984 – 31 Ogos 1993




Dilahirkan pada 1 Februari 1933 di Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Penggaram sebelum berpindah ke Johor Bahru semasa Perang Dunia Kedua dan bersekolah di Sekolah Jepun selama dua tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di Ngee Heng Primary School dan Bukit Zaharah School sebelum melanjutkan ke English College, Johor Bahru. Setelah lulus cemerlang dalam peperiksaan School Certificate, beliau mengikuti pengajian peringkat persijilan lanjutan dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya, Singapura, dan memperoleh Ijazah MBBS pada tahun 1960.

Beliau memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih (houseman) di Hospital Besar Johor Bahru dan seterusnya berkhidmat di beberapa lokasi termasuk Batu Pahat, Pontian dan Kuala Lumpur. Pada tahun 1965, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang anaesthesiology di England selama tiga tahun. Sekembalinya ke tanah air, beliau menjadi pakar bius di Hospital Besar Kuantan.

Pada Disember 1972, beliau dipinjamkan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan Fakulti Perubatan, khususnya dalam membina struktur kakitangan bukan akademik. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Anatomy dan Anaesthesiology, dan kemudiannya dilantik sebagai Dekan Fakulti Perubatan UKM. Seterusnya, beliau dilantik sebagai Naib Canselor UKM ke-5, berkhidmat dari 1 Februari 1984 hingga 31 Ogos 1993, menggantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh.

Dalam kehidupan peribadi, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Rohana Zubir pada tahun 1964, yang juga merupakan pensyarah di Universiti Malaya. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata: Mohd. Khairil, Suhana, Mohd. Akhlil dan Yohana.

Prof. Tan Sri Dr. Abdul Hamid bin Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada 30 Jun 2009 akibat pneumonia. Legasi beliau dalam bidang perubatan dan pendidikan tinggi kekal dikenang sebagai sumbangan besar kepada negara.

Sumber:

  • ·        Aisha Rashid. Abdul Hamid: An Unsung Malay Hamid. 2023
  • ·        Dari Pakar Perubatan ke Naib Canselor. Nadi Bangi. 1984