Monday, 25 November 2024

Rerurai Jawi Jiwa Watan@ Arkib & Koleksi Khas

24 Oktober 2024 -  Unit Arkib dan Koleksi Khas telah menganjurkan program reruai jawi jiwa watan bersempena Hari bersama Pelanggan Perpustakaan Tun Seri Lanang 2024. 

Program ini berobjektif: 

  • Memahirkan pengetahuan mahasiswa-mahasiswa dalam pembacaan, penulisan tulisan jawi.
  • Menimbulkan dan mewujudkan semula generasi yang mengenali, cinta dan minat tulisan Al-quran, iaitu huruf jawi dan seni khat.
  • Memberi pendedahan Unit Arkib dan Koleksi Khas perkhidmatan dan koleksi kepada pelanggan perpustakaan.

Program ini mendapat kerjasama dari pelbagai rakan strategik:
  • Kumpulan Khufi Farisi, Kelab Penerbitan Kreatif, USIM
  • Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
  • Kelab Mahasiswa Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (Nadhah)
  • Persatuan Pelajar Siswazah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (PMFPI)

Perbincangan awal bersama Kumpulan Khufi Farisi, Kelab Penerbitan Kreatif, USIM



Pemenang Pertandingan Uji Jawi Anda

Poster Demontrasi Khat


Demontrasi Khat



\
Kotak Misteri bersama PEMBINA





Puzzle Jawi Bersama Odah

Program Reruai Jawi Jiwa Watan telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyemarakkan minat terhadap tulisan Jawi serta menyuburkan rasa cinta terhadap warisan budaya kebangsaan. Sambutan dan penglibatan yang positif daripada peserta menunjukkan bahawa tulisan Jawi masih relevan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. 











Syarahan Tun Ahmad Sarji 2024: Mengangkat Seni dan Warisan Negara

Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Syarahan Tun Ahmad Sarji bagi tahun 2024. Program ini merupakan program tahunan yang menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam pelbagai bidang. Tujuan syarahan ini khususnya untuk memberi penghormatan kepada bidang-bidang yang menjadi fokus serta sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji. Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, ia telah menjadi acara penting dalam kalendar perpustakaan, menghubungkan komuniti akademik dengan pelbagai sektor penting di Malaysia.

Setakat ini, Perpustakaan UKM telah menganjurkan tiga siri syarahan. Siri pertama diadakan pada 8 Julai 2019 yang menampilkan YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM. Beliau membicarakan topik kewangan dan pelaburan. Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI-UKM).

Siri kedua yang berlangsung pada 16 November 2023, mengangkat tema “Keunggulan Tamadun Islam.” Syarahan ini disampaikan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Syarahan beliau memfokuskan kepada nilai-nilai Islam dalam pembinaan tamadun selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Siri ketiga pula telah berlangsung pada 8 Ogos 2024 dengan fokus kepada sumbangan Allahyarham Tun Ahmad Sarji dalam bidang seni dan warisan. Syarahan yang dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dan Pusat Kebudayaan UKM turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam aspek memelihara warisan budaya (SDG 11.4) dan mempromosikan pendidikan berkualiti (SDG 4).

Tahun ini, syarahan bertajuk “P. Ramlee: Permata Seni yang Genius” telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang. Syarahan ini bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai ketokohan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Beliau merupakan seorang ikon seni negara yang telah memberi sumbangan besar kepada industri seni tanah air. Program ini juga merupakan satu inisiatif yang menyokong SDG dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menghargai dan melestarikan warisan seni dan budaya.






Bahan penerbitan yang berkait rapat dengan Allahyarham Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee, merupakan salah satu keunggulan dalam Koleksi Allahyarham Tun Ahmad Sarji yang terdapat di Perpustakaan UKM. Koleksi ini merangkumi lebih daripada 22,000 naskhah yang terdiri daripada foto, buku, artikel akhbar dan pelbagai bahan lain yang berkaitan dengan seni dan warisan negara. Koleksi yang disumbangkan ini berjaya menjadikan perpustakaan sebagai salah satu hub penting untuk kajian berkaitan Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee.

Tun Ahmad Sarji sendiri sangat aktif dalam bidang gerak budaya dan warisan. Antara sumbangan beliau adalah sewaktu menjadi Pengerusi Yayasan Karyawan Malaysia, selain turut berbakti sebagai Presiden Badan Warisan Malaysia. Minat beliau terhadap seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee, juga luar biasa. Beliau bukan sahaja mengumpul pelbagai bahan penerbitan dan seni kreatif berkaitan seniman legenda tersebut, tetapi turut mendalami perihal kehidupannya sehingga menghasilkan dua buah buku iaitu P. Ramlee: Erti yang Sakti (1999) dan P. Ramlee: The Bright Star (2002).



Allahyarham P. Ramlee dikenali sebagai seniman yang memberi impak besar dalam mempromosi nilai-nilai kemanusiaan melalui seni. Usaha untuk memperingati dan menghidupkan kembali warisan beliau selaras dengan SDG 11, yang menekankan pentingnya memelihara warisan budaya sebagai asas untuk pembangunan bandar dan komuniti yang mampan.

Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Yussof Latiff menekankan bahawa meskipun Allahyarham P. Ramlee tidak menerima pendidikan formal dalam bidang perfileman, beliau mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Sebagai tambahan, sempena program syarahan ini, pameran bertajuk “P. Ramlee: Di Mana Kan Ku Cari Ganti” turut diadakan. Pameran ini memamerkan pelbagai bahan berharga milik P. Ramlee, seperti kerusi pengarah, biola, peti nyanyi, piring hitam, dan piala anugerah yang diterima beliau dalam bidang seni.

Acara ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh yang mendendangkan lagu “Azizah” dan “Dengar Ini Cerita”, serta penyanyi dari Pusat Kebudayaan UKM yang menyampaikan lagu “Berkorban Apa Saja.” Persembahan ini bukan sahaja menambah kemeriahan acara, tetapi juga mempromosikan seni sebagai alat pendidikan dan kesedaran sosial, sejajar dengan nilai-nilai yang digariskan dalam SDG.

Program ini mendapat sambutan hangat bukan sahaja dalam kalangan keluarga dan kenalan Allahyarham P. Ramlee, tetapi juga dari para pengkaji seni, pempengaruh dan rakan artis. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen bersama untuk memelihara dan mengangkat warisan seni Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan aspirasi global untuk pembangunan mampan.









Peluncuran Buku Cik Rohaya Umar : Perjalanan Seorang Pustakawan

Pada 21 Nov 2024,  Detik bersejarah bagi Unit Arkib & Koleksi Khas kerana berjaya melahirkan buku sulung  yang melibatkan beberapa penulis daripada pustakawan dan kakitangan. 

Naskhah ini mendokumentasikan kisah hidup alumni UKM sehinggalah bergelar seorang figura hebat dalam institusi kepustakawanan. 




Buku ini melibatkan 9 orang penulis yang terdiri daripada kakitangan Arkib dan beberapa orang pustakawan yang berminat dengan penulisan tentang Cik Aya. Kerja-kerja penulisan, penyuntingan dan  susun atur dibuat dalam tempoh 4 bulan. 

Semoga dengan lahirnya buku ini, ia menjadi rujukan dan sumber  inspirasi kepada warga perpustakaan.





Majlis Penyerahan Koleksi Cikgu Nordin kepada Perpustakaan UKM

 



Cikgu Nordin menyempurnakan acara gimik penyerahan koleksi kepada perpustakaan UKM

Pada 21 Nov 2024,  Majlis Penyerahan Koleksi Cikgu Nordin kepada Perpustakaan UKM berjalan dengan lancar. Majlis ini diraikan bersempena Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM  yang dihadiri seramai 22 orang tetamu alumni terawal UKM.

Selain itu, pameran koleksi sumbangan cikgu turut diadakan di aras 4, PTSL


Pameran Koleksi Cikgu di aras 4, PTSL

Idea pemerolehan koleksi beliau merupakan sebahagian daripada aktiviti Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium yang dilancarkan pada 8 November 2023.  Kakitangan Arkib & Muzium telah mengunjungi rumahnya di Darul Hani 1, Kampung Landak Hilir Kupang, Baling pada 6 Februari 2024. 

Kunjungan kami disambut baik apabila cikgu berminat menyerahkan koleksinya kepada perpustakaan.  koleksinya yang terdiri daripada dokumen, keratan artikel akhbar, memorabilia universiti, koleksi foto memberi gambaran kehidupan kampus ketika itu. Bagi menghargai kepercayaan yang diberi, kami memelihara dengan baik iaitu membuat kapsul, jilid, memasang bingkai (atifak) termasuk membuat digital.

Kemuncak program jejak Alumni 2024, sesi penyerahan koleksinya berjaya dijalankan dengan jayanya.











Sunday, 3 November 2024

Enkapsulasi Inovasi Pemeliharaan Bahan Arkib

Karya : Mohd Syamil Abd Halim

    

Terdapat pelbagai cara dan metodologi preservasi bahan bercetak, antaranya adalah mengkapsulkan bahan yang secara asasnya membungkus bahan menggunakan plastik terpakai. Enkapsulasi merupakan salah satu modikum preservasi yang telah diperhalusi oleh kumpulan Arkivis yang bersifat versatil. 

Enkapsulasi atau "encapsulation" dalam bahasa inggerisnya,, membawa maksud memelihara kondisi sesuatu bahan itu seperti sedia ada dengan cara memeterai atau mengedap setiap penjuru bahan yang lapisi dengan plastik bebas asid. Berkonsepkan penjimatan bahan mentah dan kos sambil mengambil-kira faktor kondisi bahan yang ingin dipelihara secara tidak langsung mengoptimalkan penjimatan kos. Pengaplikasian metodologi ini mudah diaplikasikan dan diselaras penggunaannya. Secara amnya, cara pengaplikasian metodologi ini boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai sumber dan skill. 

Diaplikasikan sebagai metodologi penyelamat sekunder, enkapsulasi bertindak sebagai lapisan perlindungan tambahan bagi bahan-bahan nipis yang sensitif pada pengudaraan, cahaya dan sentuhan manusia. Pengaplikasian metodologi ini sebaiknya dilaksanakan di ruangan steril, dan perkakasan yang diperlukan hanyalah pisau pemotong dan pembaris serta mesin pengedap. Dengan adanya lapisan penyelamat sekunder ini, kondisi asal bahan dapat diselamatkan dan secara tidak langsung memanjangkan umur hayat bahan. Dengan berbuat demikian ia menaikkan kelas dan penampilan apatah lagi ia juga menambah nilai kepada bahan yang dipelihara.

Idealnya, metodologi ini oleh dilaksanakan bila-bila diperlukan. Yang menariknya, enkapsulasi ini telah diinspirasikan dengan cara memeterai plastik bungkusan kerepek, dan telah diperhalus setiap kali proses dijalankan. Secara asasnya, proses preservasi bermula dengan memeriksa kondisi bahan dan diperbaiki sebaik mungkin tanpa mengubah bentuk fizikal bahan tersebut. Usai diberus dan dibersihkan dari habuk dan debu, bahan disemak lagi untuk memastikan tiada serangga perosak sebelum bergerak ke langkah seterusnya. Selepas itu, plastik bebas asid diukur mengikut saiz bahan dan dipotong dengan cermat. 

Untuk memastikan tiada poket udara tertinggal, bahan yang telah dilapisi dengan plastik bebas asid dilap dan dibuang angin sehabis baik, untuk memastikan bahan yang telah dimeterai tiada gelembung udara. Plastik itu, kemudian, dimeterai satu bahagian dan bahan disusun di tengah-tengah, sambil dilap plastik bahan dilap berulang kali supaya tiada gelembung udara diantara bahan dan plastik bebas asid. Sejurus itu, plastik bebas asid itu dimeterai semua bucunya dan plastik yang telah dimeterai dibuat kemasan. 

Kesimpulannya, cara ini memudahkan penyimpan dan pengguna untuk mudah akses, memanjangkan hayat bahan dan secara tidak langsung dapat dapat menyelamatkan bahan -bahan yang mempunyai nilai sejarah selamat dari ancaman serangga perosak, suhu dan kelembapan yang tidak menentu dan juga faktor-faktor yang tidak dapat dijangka.