Sunday 26 November 2023

Koleksi Pengasas UKM dirasmikan

Pengasas UKM merupakan tokoh pejuang yang terlibat secara langsung dalam merancang penubuhan sebuah Universiti Kebangsaan. Gagasan Idea untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua bidang pengajian dan keilmuan.

Perjuangan tokoh-tokoh hebat ini tidak pernah pudar sehingga mencapai kejayaan dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 yang beroperasi pertamanya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tokoh yang berada dalam kumpulan ini ialah;

• Profesor Tunku Shamsul Bahrin
• Profesor Syed Husin Ali
• Profesor Abu Bakar Hamid
• Profesor Mohd Ghazali Abdul Rahman
• Datuk Mohd Zain Majid
• Profesor Zainal Abidin Wahid.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka, Perpustakaan UKM mewujudkan Koleksi Khas Pengasas UKM.  Koleksi ini menempatkan bacaan ilmiah milik tokoh yang mengandungi pengetahuan dan pemikiran dalam bidang yang diceburi dan diminati oleh mereka. Pengasas yang telah menyumbangkan koleksi mereka adalah:

  • Dr Syed Husin Ali – sebanyak 5,677 naskah (Majalah, Buku, Surat, Keratan Akhbar, Artikel,laporan, Seminar/bengkel, kertas kerja, memorandum, terbitan, sulit dan umum)
  • Allahyarham Prof Zainal Abidin Abdul Datuk Wahid – 645 naskah (Buku , Risalah / Seminar, Buku, Seminar) dan
  • Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid – 160 naskhah (Majalah dan Buku)

Dalam usaha untuk meningkatkan keunikan dan kepentingan, satu transformasi yang signifikan telah dilakukan pada ruang eksklusif ini. Ruang yang sebelumnya adalah Bilik Senyap Bestari kini telah ditingkatkan menjadi sebuah bilik khas yang dirancang khusus untuk Koleksi Pengasas. Perubahan ini bukan hanya sekadar dari segi estetik, tetapi juga mencerminkan komitmen untuk memberikan penghormatan yang setimpal kepada peranan dan sumbangan pengasas dalam perkembangan UKM.


Kerja-kerja menceriakan dinding Pameran Bilik Koleksi Pengasas


Kerja-kerja menceriakan rak koleksi


Keputusan untuk menaiktaraf ruang kepada satu bilik khas pengasas adalah tindakan strategik yang menonjolkan penghargaan terhadap sejarah dan warisan koleksi. Bilik ini tidak hanya mencerminkan peribadi pengasas, tetapi juga berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk generasi akan datang.  Usaha menceriakan bilik ini dilakukan dengan kerjasama erat warga kerja Arkib & Koleksi Khas, Unit Perkhidmatan Pelanggan dan Muzium.

Bilik Koleksi Pengasas sebelum Perasmian

Pada 8 November 2023 yang lalu, detik bersejarah tercipta apabila bilik koleksi ini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak. Majlis ringkas ini dimulai dengan bacaan doa khusus untuk pengasas, diikuti dengan bicara perjuangan tokoh pengasas oleh Encik Mohd Yazid bin Mohd Abzal Khan, Kurator Muzium Warisan Akademik, UKM, dan diakhiri dengan sesi tanda tangan plak.


Warga Arkib & Muzium bergambar kenangan bersama tokoh hebat UKM



Sesi perkongsian kehebatan tokoh kepada semua tetamu yang hadir. 


Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Tuan Haji Abdul Razak Husin Mantan Pendaftar UKM, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Bin Abdul Hamid, Datuk Zainal Izlan Bin Datuk Zainal Abidin, Waris Allahyarham Datuk Zainal Abidin) dan beberapa orang Alumni UKM.

No comments:

Post a Comment