Tuesday 28 November 2023

Syarahan Tun Ahmad Sarji: Keunggulan Tamadun Islam

Majlis Syarahan Tun Ahmad Sarji Siri Kedua telah berlangsung di Anjung Pro Canselor, Perpustakaan Tun Seri Lanang pada 16 Nov 2023. 

Majlis wacana ilmiah ini mengabadikan nama Allahyarham Tun Ahmad Sarji, seorang negarawan dan figura terbilang dalam  pentadbiran awam negara dan korporat.   Ia adalah syarahan bersiri yang dirancang untuk berkongsi maklumat dan pengalaman dalam pelbagai bidang khususnya bidang yang pernah diceburi dan diminati oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji.  Bertemakan ‘Keunggulan Tamadun Islam’, majlis ini merupakan anjuran Perpustakaan UKM dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). 

Objektif penganjuran program adalah;

  • Mengingati jasa, sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji di peringkat negara dan antarabangsa. pada masa yang sama memanjangkan waqaf ilmu yang beliau sumbangkan.
  • Berkongsi pengetahuan dan pemikiran  dalam bidang yang diceburi dan diminati.
  • Menjalin kerjasama strategik universiti bersama rakan sinergi.
  • Meningkatkan keterserlahan UKM, khususnya perpustakaan  sebagai hub kepada penciptaan ilmu baharu selain penyebaran dan perkembangan ilmu dan pemikiran kontemporari serta retrospektif.
  • Meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang keunggulan tamadun Islam di Malaysia.


Pada kali ini, syarahan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz. Pemilihan Dato’ Wan kerana beliau merupakan Alumni UKM yang paling rapat dan pernah bekerjasama dengan Almarhum Tun. Ini terbukti syarahannya banyak menumpukan sumbangan besar dan jasa utama Almarhum Tun semasa era beliau menyandang jawatan Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi IKIM sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 28 Ogos 2021.



Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz sedang menyampaikan syarahan
 

Antara jasa Almarhum  yang dikongsi ialah menyediakan panduan pengiklanan di radio IKIM dan menapis iklan di saluran radio termasuk mengangkat  IKIM sebagai satu badan yang mesra dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam.  Almarhum  juga banyak mengeluarkan pekeliling dalam perkhidmatan awam sehingga beliau di gelar Mat Pekeliling.

Dato’ Wan turut berkongsi pengalaman beliau yang berlaku 33 tahun yang lepas, iaitu ketika beliau menguruskan pernikahan anak Almarhum yang sulung di mana beliau mencadangkan supaya  Almarhum sendiri yang menikahkan anaknya tanpa menggunakan khidmat wakil wali. Almarhum tidak memberi reaksi negatif bahkan bersetuju dengan cadangan tersebut. Inilah dikatakan resepi kecemerlangan Almarhum kerana beliau bersedia menerima pandangan dan nasihat orang lain walaupun idea itu adalah daripada kakitangan bawahan. Almarhum bersifat tawaduk dalam ketegasan, mencintai ilmu dan membudayakan membaca. 




Sesi lawatan ke Tapak Pameran

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak; Ketua Pustakawan, Cik Rohaya Umar; Dekan Fakulti Pengajian Islam mewakili Naib Canselor, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long; isteri Allahyarham Tun Ahmad Sarji, Toh Puan Sagiyah Salikin serta ahli keluarganya.



Toh Puan Sagiyah Salikin menyumbang koleksi tokoh kepada PTSL


Barisan tetamu VIP yang hadir


Program ini berjaya memberi impak yang besar, antaranya sumbangan dan ketokohan Allahyarham Tun Ahmad Sarji sentiasa dihargai dan diingati terutama sifat kepimpinan dan cintakan ilmu yang dimiliki. Untuk menjadi tokoh hebat sepertinya, kita perlulah membudayakan amalan membaca dan mencintai ilmu dan ulamak.




No comments:

Post a Comment