NAIB CANSELOR UKM KE 8
Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh bin Mohamed YasinTempoh Berkhidmat: 1 Mei 2003 – 27 Ogos 2006
Gelaran : Bapa Pengantarabangsaan UKM
Profesor
Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin dilantik sebagai Naib
Canselor UKM pada 1 Mei 2003, menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr.
Anuwar Ali. Sepanjang pentadbirannya, beliau memacu UKM ke arah universiti
bertaraf dunia menerusi Pelan Strategik UKM (PS2020) dan agenda RIQ
(Penyelidikan, Pengantarabangsaan, Jaminan Kualiti). Di bawah kepimpinannya,
UKM meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk disenaraikan antara
100 universiti sains terbaik dunia serta menjadi tuan rumah MGI dan International
Institute for Global Health (UNU-IIGH). Beliau turut memperluas jaringan global
dan memperkenalkan budaya kerja kreatif, sehingga dikenang sebagai Bapa
Pengantarabangsaan UKM.
Dilahirkan
di Muar, Johor pada tahun 1950, beliau merupakan anak ke-12 daripada 13
adik-beradik. Disebabkan ayahnya seorang pegawai kerajaan, beliau mendapat
pendidikan di beberapa sekolah, antaranya Sekolah Kebangsaan Ismail Muar,
English College Johor Bahru dan Maktab Tentera Diraja, sebelum melanjutkan
pelajaran tingkatan enam di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Beliau menerima
biasiswa JPA untuk mengikuti pengajian Biologi Gunaan di Institut Teknologi
Bandung dan seterusnya menyambung pengajian PhD di University of Bath, United
Kingdom.
Beliau
memulakan kerjaya di UKM sebagai tutor pada tahun 1974, dan kemudiannya dilantik
sebagai Pengasas serta Dekan pertama Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (kini
FSK). Beliau turut memegang jawatan Timbalan Naib Canselor dan seterusnya
dilantik sebagai Naib Canselor UKM sehingga bersara pada tahun 2006. Selepas
persaraan, beliau berkhidmat di Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan
kemudian dilantik sebagai Pengarah Pengasas International Institute for Global
Health (IIGH) di bawah Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU).
No comments:
Post a Comment