Allahyarham Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Bin Abdul Rahman
Naib
Canselor Ke - 5
1 Februari 1984 – 31 Ogos 1993
Dilahirkan pada 1
Februari 1933 di Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Rendah Kebangsaan Bandar Penggaram sebelum berpindah ke Johor Bahru semasa
Perang Dunia Kedua dan bersekolah di Sekolah Jepun selama dua tahun. Pada tahun
1945, beliau menyambung pelajaran di Ngee Heng Primary School dan Bukit Zaharah
School sebelum melanjutkan ke English College, Johor Bahru. Setelah lulus
cemerlang dalam peperiksaan School Certificate, beliau mengikuti pengajian
peringkat persijilan lanjutan dan berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang
perubatan di Universiti Malaya, Singapura, dan memperoleh Ijazah MBBS pada
tahun 1960.
Beliau memulakan
kerjaya sebagai doktor pelatih (houseman) di Hospital Besar Johor Bahru dan
seterusnya berkhidmat di beberapa lokasi termasuk Batu Pahat, Pontian dan Kuala
Lumpur. Pada tahun 1965, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang
anaesthesiology di England selama tiga tahun. Sekembalinya ke tanah air, beliau
menjadi pakar bius di Hospital Besar Kuantan.
Pada Disember 1972,
beliau dipinjamkan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Kementerian
Kesihatan untuk menubuhkan Fakulti Perubatan, khususnya dalam membina struktur
kakitangan bukan akademik. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan
Anatomy dan Anaesthesiology, dan kemudiannya dilantik sebagai Dekan Fakulti
Perubatan UKM. Seterusnya, beliau dilantik sebagai Naib Canselor UKM ke-5,
berkhidmat dari 1 Februari 1984 hingga 31 Ogos 1993, menggantikan Prof.
Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh.
Dalam kehidupan
peribadi, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Rohana Zubir pada tahun
1964, yang juga merupakan pensyarah di Universiti Malaya. Mereka dikurniakan
empat orang cahaya mata: Mohd. Khairil, Suhana, Mohd. Akhlil dan Yohana.
Prof. Tan Sri Dr. Abdul Hamid bin Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada 30 Jun 2009 akibat pneumonia. Legasi beliau dalam bidang perubatan dan pendidikan tinggi kekal dikenang sebagai sumbangan besar kepada negara.
Sumber:
- ·
Aisha Rashid. Abdul
Hamid: An Unsung Malay Hamid. 2023
- ·
Dari Pakar
Perubatan ke Naib Canselor. Nadi Bangi. 1984
No comments:
Post a Comment